Dalam filem sensasi The Wandering Earth, penduduk Bumi berasa gusar akan takdir Matahari yang bakal melangkah ke peringkat hidup berikutnya iaitu Gergasi Merah (Red Giant). Peringkat ini akan menjelang dalam masa 7 bilion tahun akan datang apabila Matahari telah kehausan bahan bakar hidrogen dan heliumnya, seterusnya mengalami pengembangan yang bakal ‘menelan’ planet-planet berhampiran termasuklah Bumi. Justeru, dalam filem tersebut, para saintis berikhtiar untuk meloloskan Bumi dari Sistem Suria (Solar System) dan menjadikan Bumi sebagai sebuah kapal angkasa gergasi yang berkelana di ruang semesta. Persoalannya, munasabahkah? Bagaimana?
Bumi mengelilingi Matahari disebabkan daya graviti, dan tenaga yang ‘memegang’ Bumi pada orbitnya dikenali sebagai tenaga keupayaan graviti (EG). Semakin jauh kita cuba untuk menyasarkan Bumi dari orbitnya, semakin tinggi tenaga yang diperlukan. Perkara ini dapat dicapai jika kita mampu membekalkan tenaga kinetik (EK) yang bersamaan atau melebihi EG:
EK = EG
0.5mv2 = GM/r
yang mana m adalah jisim Bumi, M adalah jisim Matahari, r adalah jejari orbit Bumi, dan jika kita menyelesaikan v:
v = (2GM/r)1/2
kita memperolehi halaju yang diperlukan untuk meloloskan Bumi dari Matahari, yang lazimnya dipanggil halaju pelepas (escape velocity, vE), iaitu 42 km/s.
42 km/s adalah nilai halaju yang sangat tinggi. Disebabkan Bumi sememangnya sedang mengorbit pada halaju 30 km/s, kita hanya perlu membekalkan baki halaju sejumlah 12 km/s bagi mencapai vE. Walau bagaimanapun, dalam filem tersebut, saintis tidak mahu meloloskan Bumi serta-merta, sebaliknya, mahu menganjakkan Bumi perlahan-lahan dari Matahari putaran demi putaran sehingga akhirnya Bumi tidak mengalami daya tarikan Matahari. Hal ini mengambil masa beberapa dekad.
Untuk mencapai tujuan ini, tenaga yang diperlukan jauh lebih tinggi kerana Bumi sentiasa mengalami tarikan graviti selagi ia berada berhampiran Matahari. Maka, tenaga perlu dibekalkan secara terus menerus selama tempoh beberapa dekad tersebut. Berdasarkan teknologi roket yang wujud masa kini, jumlah roket bagi menujah Bumi keluar perlahan-lahan dari Matahari bakal menutupi setiap inci separuh permukaan Bumi – di daratan dan lautan!
Pada pandangan anda, sekiranya kita perlu membuat pilihan, adakah Bumi harus berkelana, atau kita (umat manusia) yang harus berkelana mencari planet baharu untuk didiami?
Rujukan: https://www.youtube.com/watch?v=Dgu1syQP124
MENGENAI PENGARANG
Beliau merupakan penerima ijazah sarjana muda fizik (UPM) dan doktor falsafah dalam sains angkasa (UKM). Kini, beliau merupakan pensyarah kanan di Jabatan Fizik, Fakulti Sains, UPM. Beliau percaya bahawa ahli akademik merupakan wadah yang menghubungkan masyarakat dengan ilmu aras tinggi.
3 thoughts on “Sang Bumi yang Berkelana”