Penyakit kulit kental atau lumpy skin disease (LSD) ialah penyakit virus rentas sempadan yang disenaraikan oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) sebagai penyakit yang boleh menyumbang kepada kerugian ekonomi yang ketara serta potensi penyebaran yang cepat.
Virus LSD (LSDV) yang berasal daripada genus Capripoxvirus daripada keluarga Poxviridae mampu menjangkiti lembu dan kerbau dengan menyebabkan demam panas, nodul pada kulit di sebahagian atau keseluruhan badan ternakan, pembengkakan nodus limfa pada bahu dan paha serta rembesan mata dan hidung berlebihan, pengurangan pengeluaran susu dan kadangkala kematian. Tempoh inkubasi LSD adalah 28 hari serta kadar jangkitan LSD dalam ternakan adalah antara lima hingga 45% dan mempunyai kadar kematian kurang daripada 10%.
Walaupun LSD tidak menyebabkan kematian yang tinggi, ia tetap memberi impak ekonomi kepada industri penternakan dan kerugian kepada penternak akibat penurunan pengeluaran susu, penurunan berat badan, keguguran dan kemandulan kepada ternakan pejantan. Tiada rawatan khusus untuk merawat jangkitan LSD. Oleh itu, ternakan yang telah terjangkit diberikan rawatan sokongan bagi mengelak jangkitan sekunder. Tambahan itu, LSD bukan penyakit zoonotik yang tidak menjangkiti manusia. Namun sekiranya ternakan yang terjangkit menunjukkan tanda-tanda klinikal yang teruk dan mengalami jangkitan pada organ dalaman, maka ia tidak sesuai dimakan dan perlu dilupuskan sepenuhnya.
Pemerebakan virus Capripox adalah secara mekanikal melalui vektor serangga yang menggigit seperti nyamuk (Aedes aegypti), lalat (Stomoxys calcitrans) atau kutu/sengkenit (spesies Rhipicephalus dan Amblyomma). Terdapat bukti bahawa lalat rumah Musca domestica juga berperanan dalam penularan LSDV. Selain itu, LSD juga boleh merebak melalui kontak rapat dengan haiwan yang terjangkit melalui air mani, rembesan air liur dan lelehan hidung. Walau bagaimanapun, penularan LSD melalui rembesan air liur dan lelehan hidung kurang efektif berbanding melalui vektor dan air mani.
Berasal dari benua Afrika, LSD telah dilaporkan menular di beberapa negara Asia termasuk India, Bangladesh, Nepal, Bhutan, China, Chinese Taipei, Vietnam, Myanmar dan memasuki Thailand pada April 2021. Malaysia mula dijangkiti LSD susulan kemasukan enam konsainan ternakan lembu yang diimport dari Thailand pada 2 hingga 18 Mei 2021. Kesemua enam konsainan tersebut didapati positif LSD dan akhirnya pada 8 Jun 2021, Malaysia mengesahkan jangkitan LSD yang pertama kalinya pada ternakan lembu tempatan.
Kejadian ini juga berkemungkinan disebabkan oleh aktiviti penyeludupan ternakan dari negara jiran yang dijangkiti. Memandangkan virus LSD disebarkan melalui gigitan serangga vektor, pemerebakan penyakit ini boleh berlaku dengan pantas di antara ternakan atau ladang berdekatan terutamanya apabila ternakan yang terjangkit itu tidak dilupuskan segera.
Baca Bahagian 2 di sini.
Rujukan
- Jabatan Perkhidmatan Veterinar. (2021). Protokol Veterinar Malaysia: Lumpy Skin Disease (LSD).
- Khoo C.K., Dahlan R., Mat Desa Z., Syarina P.N.A., Mohd. Salim S.S.H., Barker Z., Abu Hassan M.H., Hassan R., and Mohd Saied F.H. (2022). Molecular detection of lumpy skin disease virus in Malaysia 2021. International Journal of Infectious Diseases 116: S1-S130.
- WAHIS (WOAH) (2022). Follow up report Lumpy Skin Disease virus, Malaysia: 1-124.
- https://www.woah.org/en/document/lumpy-skin-disease-technical-disease-card/
Disunting oleh Sulaiman Ali
MENGENAI PENGARANG
Siti Fatimah merupakan graduan dari Universiti Teknologi Malaysia dalam bidang Sains (Teknologi Herba) dan Universiti Malaysia Terengganu dalam bidang Sains Biologi. Beliau kini bertugas sebagai Pegawai Penyelidik di Makmal Veterinar Zon Timur (Pahang). Berperanan dalam usaha pembangunan ujian diagnostik molekular bagi mengesan penyakit haiwan. Mempunyai misi untuk mengkaji kelebihan pelbagai tumbuhan herba dalam merawat penyakit haiwan.
One thought on “Ancaman Penyakit Kulit Kental (Bahagian 1)”