Apakah Kegunaan Alat Semburan Hidung?

Alat semburan hidung (nasal spray) mungkin bukanlah bentuk sediaan ubat yang sering digunakan oleh kebanyakan orang. Namun, alat ini sangat membantu sesetengah individu yang mengalami masalah hidung tersumbat atau gejala alergi. Alat semburan hidung mengandungi bahan aktif yang telah diformulasi dalam bentuk cecair yang mudah meresap ke dalam salur darah pada permukaan dalam hidung.

Cara penggunaan alat semburan hidung. Sumber: my-doc.com

Dalam situasi tertentu, alat semburan hidung lebih menjadi pilihan kerana bahan aktifnya dapat diserap lebih cepat berbanding ubat yang diambil secara oral. Penyerapan yang pantas ini membolehkan pengguna mendapat kelegaan yang lebih cepat. Oleh sebab itu, cara penggunaan yang betul harus dititikberatkan agar penyerapan bahan aktif dapat dioptimumkan dan seterusnya memberi kesan yang dikehendaki.

Kegunaan alat semburan hidung

Alat semburan hidung biasanya digunakan dalam beberapa keadaan yang secara umumnya bergantung kepada bahan aktif utama di dalam alat tersebut. Pengguna hendaklah mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi sebelum menggunakan alat semburan hidung untuk memastikan alat yang betul digunakan bagi merawat masalah yang dialami. Terdapat beberapa kegunaan utama alat semburan hidung, iaitu:

(a) Sebagai dekongestan bagi hidung tersumbat

Antara bahan aktif yang digunakan dalam alat semburan hidung jenis dekongestan ialah oxymetazoline dan phenylephrine. Bahan-bahan aktif ini melegakan rasa tersumbat dengan cara menyempitkan saluran darah dan sekali gus mengecilkan tisu hidung yang membengkak. Alat semburan hidung dekongestan sesuai digunakan sekiranya pengguna memerlukan kelegaan pantas. Contohnya, ketika pengguna mengalami selesema ataupun alergi yang agak serius.

Walau bagaimanapun, alat semburan hidung dekongestan tidak boleh digunakan lebih daripada tiga hari. Penggunaan berpanjangan berisiko menyebabkan penggunanya menjadi terlalu bergantung kepada bahan aktif dan kemudiannya mengakibatkan pesakit mengalami kesan melantun (rebound) iaitu simptom muncul kembali selepas rawatan tamat.

(b) Mengurangkan keradangan akibat serangan alergi

Gejala keradangan seperti bengkak pada bahagian dalam hidung, hingus yang banyak dan kerap bersin boleh dirawat dengan alat semburan hidung yang mengandungi bahan aktif daripada kumpulan steroid. Oleh sebab itu, alat semburan hidung jenis ini sesuai digunakan untuk merawat rinitis, sinusitis dan polip hidung (nasal polyp). Antara contoh ubat yang tergolong dalam kumpulan ini termasuklah budesonide, fluticasone, mometasone dan triamcinolone.

Secara umumnya, alat semburan hidung ini tidak menyebabkan kesan sampingan yang serius sekiranya digunakan dengan cara atau pada dos yang betul. Namun begitu, pengguna perlu berhati-hati apabila menggunakan alat semburan hidung yang mengandungi steroid dan sentiasa cakna akan gejala kesan sampingan seperti hidung berasa pedih, rasa kering dan sakit pada tekak serta hidung berdarah.

(c) Mencairkan mukus dalam hidung

Alat semburan hidung yang mengandungi cecair garam (saline) pula berfungsi untuk mencairkan mukus dan mengelakkannya daripada menjadi keras. Fungsi ini dapat membantu pengguna mengekalkan hidung dalam keadaan lembap. Di samping itu, cecair garam sebagai bahan aktif juga dapat membantu mengeluarkan bendasing yang mungkin terperangkap pada bahagian dalam hidung. Namun begitu, alat semburan hidung jenis ini tidak boleh mengubati keadaan hidung tersumbat.

(d) Menghasilkan kesan secara sistemik bagi beberapa penyakit tertentu

Selain merawat gejala yang berkaitan dengan hidung secara langsung, sesetengah alat semburan hidung digunakan untuk memberi kesan secara sistemik. Contohnya, pesakit diabetes insipidus biasanya menggunakan alat semburan hidung yang mengandungi desmopressin sebagai salah satu rawatan. Pendarahan hidung akut pula dapat dihentikan dengan menggunakan alat semburan hidung dengan bahan aktif gabungan lignocaine dan phenylephrine. Alat semburan hidung yang sama juga boleh digunakan sebagai anestetik topikal sebelum sesuatu prosedur perubatan.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

Rujukan

  • Garis Panduan Kaunseling Ubat-ubatan Edisi ke-3
  • www.myhealth.com
  • www.hellodoktor.com
  • https://www.drugs.com/cdi/nasal-decongestant-spray.html
  • https://www.webmd.com/allergies/decongestants
  • https://www.nhs.uk/conditions/steroid-nasal-sprays/
  • https://www.webmd.com/allergies/saline-spray

Disunting oleh Izzati Rosli

MENGENAI PENGARANG

Pegawai Farmasi di Klinik Kesihatan Kepala Batas | yan.abd90@gmail.com

Mariyanti memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang farmasi di Universiti Sains Malaysia. Beliau kini bertugas di Klinik Kesihatan Kepala Batas, Kubang Pasu, Kedah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

17 + ten =