Siapakah yang Layak Menyertai Kelab Bulan?

Browse By

Sebagai penduduk Bumi, apabila disebut perkataan Bulan, kita tiada masalah untuk membayangkannya. Sebuah jasad di langit malam berbentuk sfera (tetapi kelihatan berbeza pada tarikh yang berbeza) dan menerangi Bumi dengan cahaya Matahari yang dipantulkannya. Mudah bagi kita, kerana kita hanya memiliki sebuah bulan. Tetapi bagaimana pula dengan penduduk planet Musytari (jika ada)? Pada awal penemuan, ‘mereka’ (penduduk Musytari) memiliki empat buah bulan: Io, Europa, Ganymade dan Callisto.  Kini, kita telah menemui 63 buah bulan yang mengorbit planet tersebut!

Empat buah bulan utama Musytari. Bumi dan Bulan sebagai perbandingan saiz. Sumber: https://www.universetoday.com

Selain daripada empat bulan utama yang dimiliki Musytari (Jupiter), Titan kepunyaan Zuhal (Saturn) dan Triton kepunyaan Neptun (Neptune) serta bulan yang dimiliki penduduk Bumi adalah enam bulan terbesar di Sistem Suria (Solar System) kita. Jika bilangan keseluruhan bulan hendak dijumlahkan, sehingga Julai 2009, terdapat 336 buah bulan di seluruh sistem ini! Semakin banyak penemuan dilakukan, semakin sukar bagi ahli astronomi untuk mentakrifkan istilah ‘bulan’ itu sendiri. Adakah sebarang jasad yang mengorbit sesebuah planet (juga digelar satelit semulajadi) boleh dikira sebagai bulan? Jika begitu, setiap biji batu berukuran 10 inci yang mengorbit Musytari boleh dianggap sebagai bulannya? Jika tidak, berapakah had saiz bagi bulan? Siapakah yang layak menyertai Kelab Bulan?

Ilustrasi yang menggambarkan batu-batuan kecil yang mengelilingi planet. Adakah batu-batuan ini layak digelar bulan? Sumber: http://a57.foxnews.com/images.foxnews.com

Jika saiz tidak mampu menjadi kayu ukur dalam menentukan sama ada sesuatu jasad itu boleh dikira sebagai bulan, adakah bentuknya mampu? Sekiranya kita hendak meletakkan syarat bahawa bulan mestilah berbentuk sfera, maka Phobos dan Deimos milik Marikh (Mars) sudah tentu terpaksa disingkirkan daripada Kelab Bulan dan menyebabkan Marikh terpaksa menyertai Utarid (Mercury) dan Zuhrah (Venus) sebagai ahli Kelab Planet Tiada Bulan. Mungkin juga sesebuah jasad boleh dianggap sebagai bulan jika saiz dan jisimnya cukup kecil berbanding planet yang diorbitnya. Persoalan lain pula timbul, adakah jasad-jasad yang telah pun diiktiraf sebagai bulan bagi planet masing-masing sekian lama benar-benar mengorbit planet mereka?

Phobos dan Deimos; bulan tidak berbentuk sfera yang mengorbit Marikh. Sumber: www.astronomytrek.com/

Pluto dan (mungkin) bulannya, Charon, mempunyai saiz yang hampir sama yang menyebabkan Charon tidak benar-benar mengorbit Pluto, tetapi ia mengorbit satu titik di antara kedua-dua jasad ini. Hal ini adalah disebabkan, bagi setiap jasad berjisim, ia mengenakan tarikan graviti kepada setiap jasad lain. Pernyataan ini adalah selari dengan Hukum Kegravitian Semesta Newton (Newton’s Law of Universal Gravitation). Malahan, bagi setiap objek yang sedang mengelilingi sesuatu objek lain, kedua-dua objek tersebut sebenarnya mengorbit satu-sama lain dengan suatu titik yang dinamakan baripusat (barycentre) sebagai paksi.

Imej sebenar Pluto dan bulannya Charon. Sumber: https://www.nasa.gov

Pemerhatian ini tidak begitu ketara bagi pasangan Bumi dan Bulannya kerana perbezaan saiz dan jisim antara dua jasad ini begitu besar. Tarikan graviti Bumi yang kuat (disebabkan jisimnya yang besar) mampu menyebabkan Bulan mengelilinginya dengan orbit yang jelas tetapi tarikan graviti Bulan ke atas Bumi begitu kecil dan hanya menyebabkan Bumi ‘terhuyung-hayang’ sedikit tetapi tidak cukup jelas untuk diperhatikan. Sekali lagi masalah akan timbul, jika kita hendak mengguna pakai kriteria ini, berapa kecilkah saiz dan jisim bulan berbanding planetnya untuk dianggap sebagai bulan?

Planet dan bulan yang mempunyai jisim hampir sama. Sumber: https://upload.wikimedia.org

Planet dan bulan dengan perbezaan jisim yang besar. Sumber: https://upload.wikimedia.org

Persoalan utama yang masih belum terjawab, siapakah yang layak menyertai Kelab Bulan? Sehingga kini, pertubuhan antarabangsa yang bertanggungjawab iaitu Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU) masih tidak mempunyai takrifan yang khusus selain daripada ‘satelit semulajadi’. Sekiranya kriteria sesebuah bulan dapat diperihalkan dengan jelas di masa akan datang, kemungkinan besar oleh IAU, jumlah bulan di Sistem Suria kita mungkin akan berkurang dengan ketara. Sehingga ia berlaku, perdebatan dan perselisihan antara badan-badan astronomi mengenainya akan terus berlaku.

Bulan bagi planet Bumi – Bulan. Sumber: https://cdn.vox-cdn.com

Sedar atau tidak, Bulan kita tidak mempunyai nama lain seperti bulan-bulan planet lain. Kita hanya menggelarnya Bulan, dengan huruf ‘B’ besar. Kerana kita hanya mempunyai sebuah bulan dan ia begitu istimewa – Bulan.

Rujukan

https://www.iau.org/public/themes/our_moon/
http://www.stellarplanet.co.uk/2013/01/what-is-moon.html
https://www.universetoday.com/60072/what-is-a-moon/
https://www.thoughtco.com/moons-and-rings-4164030
https://www.youtube.com/watch?v=pAI1N96t8Vk

One thought on “Siapakah yang Layak Menyertai Kelab Bulan?”

  1. Adib Yusof says:

    Terima kasih keransa sudi menerbitkan artikel saya. Semoga bermanfaat untuk semua!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

two × five =