Browse By

Mengenai kami

For English version, click here

Prakata
Angkasfera merupakan portal sains yang dibina untuk orang awam dalam usaha memasyarakatkan ilmu terutamanya dalam bahasa kebangsaan sebagai medium penyampaian. Kami mendapati bahawa para ahli akademik dan penyelidik terutamanya di institut-institut pengajian tinggi kurang kesedaran dan dorongan untuk berkongsi serba sedikit ilmu pengetahuan mereka kepada orang awam dalam bentuk yang mudah dicerna. Pemerhatian inilah yang mencetuskan idea penubuhan Angkasfera pada Jun 2018.

Mengapa Angkasfera?
Angkasfera menumpukan beberapa bidang sains angkasa dan Bumi; justeru namanya iaitu angkasa + sfera (sfera merujuk kepada Bumi). Bidang-bidang yang menjadi keutamaan kami termasuklah sains angkasa, alam sekitar, sains Bumi, geologi, teknologi & kejuruteraan, astronomi, ekonomi & pengurusan dan pendidikan & kerjaya. Angkasfera mendukung aspirasi berkhidmat kepada masyarakat justeru ia merupakan portal tidak berasaskan keuntungan.

Siapa kami?
Angkasfera diasas, dimiliki dan diuruskan sepenuhnya oleh ahli jawatankuasa Persatuan Siswazah Sains Bumi dan Angkasa, Institut Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kami terdiri daripada para pelajar pascasiswazah yang dibimbing oleh seorang pensyarah institut tersebut.

Penasihat

Dr. Kuhan Chandru merupakan felo penyelidik di Institut Perubahan Iklim UKM. Memiliki kepakaran dalam bidang astrobiologi, geokimia organik sekitaran, biologi laut dan kejadian hidupan, beliau begitu menekuni usaha penyebaran ilmu kepada masyarakat dalam bentuk khidmat bakti. Beliau juga percaya bahawa secebis ilmu yang dipunyai, walaupun kecil, perlu dikongsi dan bakal bercambah biak menjadi pohon yang memayungi seluruh masyarakat.

Ketua penyunting

Nur Izzati Mohd Rosli merupakan pelajar doktor falsafah (cuaca angkasa) dengan pengkhususan berkaitan sifat dan fenomena di lapisan ionosfera Bumi. Melihat pada kurangnya pendedahan ilmu cuaca angkasa dalam kalangan pelajar dan masyarakat, beliau berharap agar portal ini dapat menyumbang kepada perkembangan ilmu tersebut. Dalam masa yang sama, portal ini juga diharapkan mampu menarik dan memupuk minat mendalam rakyat Malaysia agar kita dapat menjadi salah satu peneraju dalam bidang ini.

Penyelaras suntingan (bahasa Melayu)

Khairul Adib Yusof merupakan pelajar doktor falsafah (geofizik) dengan pengkhususan dalam bidang peramalan gempa bumi yang juga merupakan pengasas bersama portal Fiziklah!. Beliau sentiasa percaya bahawa para ahli akademik tidak seharusnya terperangkap dalam ruang lingkup penerbitan makalah semata-mata. Mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap kemampuan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, beliau berharap agar penuturan ilmu sains dan matematik dalam bahasa warisan ini tidak lagi dianggap janggal di masa akan datang.

Penyelaras suntingan (bahasa Melayu)

Nurumira Ashikin Wahab sedang melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah dalam bidang sains angkasa. Pengkhususan bidang beliau berkaitan dengan sifat magnet dan plasma di angkasa. Berpendapat bahawa seseorang itu tidak seharusnya berhenti menuntut ilmu, beliau berharap agar dapat bekerjasama dengan rakan lain dalam menubuhkan portal ini dalam usaha menginspirasikan masyarakat untuk belajar dan lebih mengenali alam semesta kita.

Penyelaras suntingan (bahasa Inggeris)

Rishabh Saxena merupakan pelajar dan penyelidik di Pusat Sains Angkasa UKM dalam bidang sains angkasa mengkhususi kejadian kilat di kutub dalam usaha menghasilkan model berangka bagi peramalan kilat. Beliau percaya bahawa kejayaan tidak akan datang bergolek kerana ia merupakan hasil daripada ketekalan terhadap kecemerlangan, perancangan yang teliti serta usaha berfokus. Selain sebagai pelajar di UKM, beliau juga berkerja bebas sebagai penyelidik di Asgardia Space Nation, serta merupakan pengasas dan pengarah Ankurish Innovations & Technologies.

Pentadbir portal

Ahmad Hazuwan Hamid merupakan pelajar sarjana sains dengan pengkhususan dalam bidang sains alam sekitar. Beliau merupakan lepasan graduan ijazah Universiti Teknologi Petronas (UTP) dalam bidang kejuruteraan kimia. Beliau sangat menggemari cabaran dan sentiasa berusaha mencari ilmu baharu terutamanya yang berkaitan dengan sains dan komputer. Harapan beliau adalah agar portal sains ini dapat menanam sifat ingin tahu dan memupuk minat dalam kalangan masyarakat, terutamanya golongan muda

Pengurus media sosial

Johari Talib merupakan pelajar sarjana (sains angkasa), pengkhususan dalam bidang radio astronomi. Beliau memiliki latar belakang akademik dalam bidang kejuruteraan elektronik dan sains fizik serta mempunyai pengalaman kerjaya dalam sektor semikonduktor. Beliau sangat meminati bidang telekomunikasi, terutamanya dalam bidang frekuensi radio dan percaya telekomunikasi dalam sains angkasa mendukung peranan penting dalam mengkaji perihal bumi dan kaitannya dengan angkasa.

Pengurus media sosial

Amirul Mustaqim Azman merupakan pelajar sarjana sains angkasa (geofizik) dalam pengkhususan ramalan gempa melalui perkaitan anomali TEC dan seismogram. Merupakan lepasan graduan UKM dalam bidang geologi, beliau percaya bahawa dalam mencari idea yang segar, pengkaji seharusnya keluar dari ruang selesa dan meneroka bidang baharu. Beliau turut yakin bahawa bahasa Melayu mampu digunakan sebagai bahasa pengantara dalam bidang sains dalam memperkasakan bahasa ibunda secara sejagat.

Jurustrategi pemasaran

Faiz Arif menelaah ilmu ukur tanah dalam cabang ukur fotogrametri. Mengambil pendekatan moden dalam bidang ukur tanah yakni kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) yang merupakan penganjak ke arah Revolusi Industri ke-4. Percaya bahawa bahasa kebangsaan merupakan pintu kepada dunia ilmu bagi rakyat meningkatkan tahap pengetahuan. Siswazah sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia dan seorang ahli usahawan dalam dunia fesyen Muslimah.