Sang Bumi yang Berkelana

Browse By

Dalam filem sensasi The Wandering Earth, penduduk Bumi berasa gusar akan takdir Matahari yang bakal melangkah ke peringkat hidup berikutnya iaitu Gergasi Merah (Red Giant). Peringkat ini akan menjelang dalam masa 7 bilion tahun akan datang apabila Matahari telah kehausan bahan bakar hidrogen dan heliumnya, seterusnya mengalami pengembangan yang bakal ‘menelan’ planet-planet berhampiran termasuklah Bumi. Justeru, dalam filem tersebut, para saintis berikhtiar untuk meloloskan Bumi dari Sistem Suria (Solar System) dan menjadikan Bumi sebagai sebuah kapal angkasa gergasi yang berkelana di ruang semesta. Persoalannya, munasabahkah? Bagaimana?

Peringkat kehidupan sebuah bintang seperti Matahari. Sumber: www.astronomytrek.com

Bumi mengelilingi Matahari disebabkan daya graviti, dan tenaga yang ‘memegang’ Bumi pada orbitnya dikenali sebagai tenaga keupayaan graviti (EG). Semakin jauh kita cuba untuk menyasarkan Bumi dari orbitnya, semakin tinggi tenaga yang diperlukan. Perkara ini dapat dicapai jika kita mampu membekalkan tenaga kinetik (EK) yang bersamaan atau melebihi EG:

EK = EG

0.5mv2 = GM/r

yang mana m adalah jisim Bumi, M adalah jisim Matahari, r adalah jejari orbit Bumi, dan jika kita menyelesaikan v:

v = (2GM/r)1/2

kita memperolehi halaju yang diperlukan untuk meloloskan Bumi dari Matahari, yang lazimnya dipanggil halaju pelepas (escape velocity, vE), iaitu 42 km/s.

42 km/s adalah nilai halaju yang sangat tinggi. Disebabkan Bumi sememangnya sedang mengorbit pada halaju 30 km/s, kita hanya perlu membekalkan baki halaju sejumlah 12 km/s bagi mencapai vE. Walau bagaimanapun, dalam filem tersebut, saintis tidak mahu meloloskan Bumi serta-merta, sebaliknya, mahu menganjakkan Bumi perlahan-lahan dari Matahari putaran demi putaran sehingga akhirnya Bumi tidak mengalami daya tarikan Matahari. Hal ini mengambil masa beberapa dekad.

This image has an empty alt attribute; its file name is Newton-cannon-orbit.jpg
Istilah halaju lepas lazimnya merujuk kepada halaju minimum bagi sebarang objek untuk meloloskan diri daripada graviti Bumi, tetapi dalam konteks artikel ini, ia merujuk kepada Bumi meloloskan diri daripada graviti Matahari. Sumber: www.scienceabc.com

Untuk mencapai tujuan ini, tenaga yang diperlukan jauh lebih tinggi kerana Bumi sentiasa mengalami tarikan graviti selagi ia berada berhampiran Matahari. Maka, tenaga perlu dibekalkan secara terus menerus selama tempoh beberapa dekad tersebut. Berdasarkan teknologi roket yang wujud masa kini, jumlah roket bagi menujah Bumi keluar perlahan-lahan dari Matahari bakal menutupi setiap inci separuh permukaan Bumi – di daratan dan lautan!

Teknologi roket semasa yang berasakan tindak balas kimia memerlukan jumlah roket yang besar. Adakah roket berasaskan tenaga nuklear jawapannya? Sumber: cdn.arstechnica.net

Pada pandangan anda, sekiranya kita perlu membuat pilihan, adakah Bumi harus berkelana, atau kita (umat manusia) yang harus berkelana mencari planet baharu untuk didiami?

Rujukan: https://www.youtube.com/watch?v=Dgu1syQP124

3 thoughts on “Sang Bumi yang Berkelana”

  1. Mira says:

    Interesting article! Tp possible ke? Kalau possible, bila Bumi dah keluar dari Sistem Suria, dia akan orbit bintang lain ke utk dapat tenaga, cahaya etc utk survive?

    1. Adib Yusof says:

      Terima kasih! Berdasarkan filem tersebut, saintis memang mencari bintang lain untuk diorbit. Tetapi, semasa dalam perjalanan, disebabkan tiada bintang yang berhampiran, mereka bergantung kepada haba yang dijana oleh roket-roket itu. Mereka membina penempatan di bawah tanah, di bawah setiap roket, yang mana, setiap roket mempunyai bandar bawah tanah mereka sendiri. Hal ini menyelesaikan masalah suhu sejuk melampau di permukaan Bumi.

      1. Mira says:

        Oh I see. Will watch the movie later. Thanks for the response 😁

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

six + fourteen =