Bandar Kita Semakin Pintar

Pada 23 September 2019, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), YB Zuraida Kamaruddin, telah melancarkan Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia (Malaysia Smart City Framework) yang bakal menjadi panduan bagi semua kerajaan tempatan dalam membangunkan bandar mereka menjadi bandar pintar (smart city). Lima bandar rintis (pilot cities) akan dinaiktaraf menjadi bandar pintar iaitu Kulim, Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching.

Perdana Menteri Malaysia ke-7 berkata “Kami membayangkan bandar pintar yang menyepadukan teknologi yang mampan dalam perkhidmatan dalam bandar seperti ketersambungan (connectivity) 5G, masyarakat nirtunai (cashless), pengangkutan awam tanpa pemandu (autonomous public transport), penghantaran dron, bangunan cekap tenaga (energy-efficient), pengurusan air dan sisa pepejal pintar dan lain-lain – yang boleh menambah baik keselamatan awam dan kualiti kehidupan rakyat”.

Gambaran grafik bandar pintar. Sumber: www.thedailystar.net

Bandar pintar merupakan suatu idea menarik tentang pembangunan bandar yang mampu merevolusikan kehidupan kita dan generasi akan datang. Oleh itu, apakah maksud idea bandar pintar – yang bakal menjadi komponen penting dalam Rancangan Malaysia ke-12 ini?

Menurut International Telecommunication Union (ITU) (2016a), bandar pintar ditakrifkan sebagai bandar inovatif yang menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (information, connectivity and technology, ICT) dan kaedah lain untuk meningkatkan kualiti kehidupan, kecekapan operasi dan perkhidmatan bandar dan daya saing, di samping memastikan ia memenuhi keperluan generasi masa kini dan akan datang dari aspek ekonomi, sosial, alam sekitar dan budaya. Secara mudahnya, bandar pintar ialah pembangunan semula sebuah bandar menggunakan ICT untuk menambahbaik mutu perkhidmatan di bandar seperti tenaga, ketersambungan, pengangkutan, utiliti dan lain-lain.

Kenapa kita perlukan bandar pintar? Penduduk dunia sentiasa meningkat, dan proses pembandaran dijangka akan menambah 2.5 bilion penduduk dalam 3 dekad akan datang. Peningkatan populasi dunia ini menyumbang kepada kesesakan di bandar-bandar besar seperti New York, Tokyo, London dan Jakarta. Jabatan Pengangkutan United Kingdom melaporkan negara mereka merupakan antara yang paling sesak di dunia dan di London sahaja terdapat peningkatan penumpang sebanyak 5.4% melebihi kapasiti ketika waktu pagi berbanding 2017. Oleh itu, bandar-bandar terpaksa mencari jalan penyelesaian untuk mengurangkan tekanan penduduk dengan memperkenalkan dasar pintar dalam kehidupan seharian.

Kerajaan seantero dunia telah mula berlumba menyemai teknologi dalam pelbagai aspek perkhidmatan bandar ke arah bandar pintar. Jadi bagaimana bandar pintar berfungsi? Mari kita lihat contoh di Singapura dan Dubai.

Di Singapura, kerajaan telah mula mengatur sistem yang mampu mengesan apabila seseorang individu merokok di kawasan yang dilarang, atau membuang sampah dari bangunan tinggi. Singapura telah melancar program bandar pintar pada 2014 dan antara langkah awal yang diambil adalah menambah bilangan kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau kepadatan orang ramai, kebersihan kawasan awam, dan pergerakan setiap kenderaan. Setiap data yang diperoleh ini akan dihantar ke platform maya yang digelar Virtual Singapore untuk memberi akses kepada kerajaan tentang bagaimana bandarnya berfungsi dalam masa-nyata (real-time). Sistem Virtual Singapore ini mampu membantu kerajaan dalam membuat jangkaan, sebagai contoh, bagaimana orang ramai bergerak jika berlaku suatu letupan yang tidak diingini dalam kompleks membeli-belah, ataupun bagaimana suatu penyakit berjangkit mampu merebak.

Tangkap layar Virtual Singapore. Sumber: National Research Foundation of Singapore.

Di Dubai pula, 22 badan kerajaan telah melancarkan 50 perkhidmatan pintar sebagai sebahagian daripada pelan Smart Dubai Initiative. Dengan menggunakan aplikasi mudah alih Dubai Now,  setiap individu mampu membayar saman pandu laju yang telah dikesan oleh kamera perangkap had laju dan dihantar melalui e-mel kepada pemilik kenderaan. Aplikasi yang sama juga turut boleh digunakan untuk membayar bil elektrik, memanggil teksi, mengesan status pakej yang dipos, mencari ATM berdekatan memperbaharui cukai jalan dan membuat laporan polis.

Konklusinya, konsep bandar pintar ini semakin luas diterapkan bagi memberi manfaat dan menjaga keselamatan awam terutamanya. Jika anda telah menerima surat saman had laju AES, ketahuilah bahawa bandar pintar sedang giat melindungi orang awam daripada bahaya kemalangan misalnya.

Rujukan:

1. International Telecommunication Union (2016a). Recommendation ITU-T Y.4900/L.1600 overview of key performance indicators in smart sustainable cities

2. https://www.youtube.com/watch?v=bANfnYDTzxE&feature=youtu.be

3. https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S0264275118309120

4. https://www.thesundaily.my/local/ministry-launches-malaysia-smart-city-framework-BN1395377

MENGENAI PENGARANG

Penyunting di Angkasfera | enfaizarif@gmail.com | + ARTIKEL TERDAHULU

Beliau merupakan graduan sarjana sains geospatial berteraskan dron fotogrametri. Menegaskan penulisan ilmu kerana ilmu yang tidak ditulis bakal hilang dimamah masa.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

four + ten =