Bertutur dalam Bahasa Bukan Manusiawi (Bahagian Pertama)

Kita sebagai manusia mempunyai keperluan untuk berkomunikasi dengan manusia lain melalui wahana pertuturan. Perbuatan bertutur boleh dilakukan sama ada melalui bahasa lisan bagi yang sempurna deria, bahasa isyarat bagi yang berkelainan upaya mahupun bahasa tubuh bagi memahami maklumat tersirat yang disampaikan tanpa sedar.

 

Bahasa isyarat yang digunakan oleh individu cacat pendengaran. Sumber: https://www.researchgate.net

Keperluan untuk berkomunikasi ini berkembang kepada bukan manusia apabila komputer dicipta. Tujuan asal penciptaan komputer iaitu membantu memudahkan kerja-kerja manusia di mana memerlukan kita untuk memberikan arahan kepada mereka. Unit pemprosesan pusat (central processing unit atau CPU) iaitu otak sesebuah komputer hanya memahami atur cara boleh laku (executable program), juga digelar sebagai kod mesin (machine code) yang disampaikan dalam bentuk sistem perduaan (binary) iaitu 0 dan 1.

Sistem perduaan sukar difahami manusia tetapi merupakan satu-satunya bahasa yang boleh difahami oleh CPU komputer. Sumber: https://ak3.picdn.net

Kod ini memberikan arahan kepada komputer untuk melakukan tugasan-tugasan tertentu. Tugasan yang mampu dilakukan oleh komputer, secara asasnya adalah: membaca dan menulis ke dalam ingatan (memory) serta membuat pengiraan aritmetik asas. Bentuk kod perduaan digunakan kerana sesebuah CPU merupakan gabungan litar-litar elektronik yang hanya akan disambungkan apabila angka 1 diterima, diputuskan apabila ia 0. Bahasa yang difahami komputer ini merupakan binaan tahap rendah (low-level construct). Kita boleh menulis terus dalam bahasa ini tetapi ia merupakan tindakan yang sangat sukar dan tidak cekap.

Disebabkan litar elektronik boleh dimanipulasi dengan menghidup atau mematikan suis arus, maka sistem perduaan adalah paling sesuai digunakan. Sumber: https://www.cs.uaf.edu

Oleh itu, bahasa pengaturcaraan (programming language) dicipta. Bahasa pengaturcaraan merupakan binaan tahap lebih tinggi (higher-level construct) dan ia lebih mudah difahami oleh manusia kerana ia menggunakan teks dan ungkapan selain daripada angka untuk memberikan arahan. Bahasa pengaturcaraan, kadangkala disebut sebagai kod sumber (source code), ditukarkan kepada kod mesin menggunakan pengkompilasi (compiler). Mengenai bagaimana pengkompilasi berfungsi boleh difahami dengan mudah melalui tontonan video ini:

 

Antara bahasa yang paling banyak digunakan termasuklah:

  1. Java – tujuan utamanya adalah untuk pembangunan aplikasi permainan video dan aplikasi mudah alih. Ia merupakan asas pembangunan aplikasi Android.
  2. Python – serbaguna, daripada pembangunan aplikasi sesawang (web) hingga ke analisis data. Ia sering dianggap sebagai bahasa paling mudah kerana sintkasisnya yang masuk akal.
  3. C – bahasa yang mungkin paling banyak diajar di kolej/universiti sebagai bahasa pengaturcaraan pertama.
  4. C# (disebut sebagai C-sharp) – merupakan bahasa untuk membangunkan aplikasi Microsoft. Sintaksisnya mirip Java.
  5. PHP – sering digunakan bersama laman sesawang yang mengandungi data yang besar serta pembangunan aplikasi seperti Facebook. Ia merupakan bahasa sumber terbuka (open-source).
  6. MATLAB – bahasa yang dikhaskan untuk pengendalian data, operasi matematik dan pemprosesan isyarat (signal processing) terutamanya bagi para saintis dan jurutera. Tidak sepopular lima bahasa di atas tetapi akan dijadikan contoh untuk makalah selanjutnya.

Natijahnya, keupayaan manusia untuk bertutur dengan komputer merupakan keperluan bagi setiap individu pada zaman digital ini dalam mendepani Revolusi Industri Keempat. Jika anda tanya saya, saya boleh katakan bahawa mengatur cara adalah kebolehan paling hampir dengan kuasa luar biasa (superpower) yang mampu dimiliki manusia 😉

*Perkataan sintaksis digunakan berulang kali di atas. Ia akan dihuraikan lebih lanjut dalam bahagian kedua. Klik sini untuk membaca.

Rujukan

https://youtu.be/QXjU9qTsYCc

https://www.inc.com/larry-kim/10-most-popular-programming-languages-today.html

https://www.mathworks.com/products/matlab.html

MENGENAI PENGARANG

Penyunting di Angkasfera | mkhairuladibmyusof@gmail.com | + ARTIKEL TERDAHULU

Beliau merupakan penerima ijazah sarjana muda fizik (UPM) dan doktor falsafah dalam sains angkasa (UKM). Kini, beliau merupakan pensyarah kanan di Jabatan Fizik, Fakulti Sains, UPM. Beliau percaya bahawa ahli akademik merupakan wadah yang menghubungkan masyarakat dengan ilmu aras tinggi.

One thought on “Bertutur dalam Bahasa Bukan Manusiawi (Bahagian Pertama)”

  1. Pingback: Bertutur dalam Bahasa Bukan Manusiawi (Bahagian Kedua) – Angkasfera
  2. Trackback: Bertutur dalam Bahasa Bukan Manusiawi (Bahagian Kedua) – Angkasfera

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

six + 1 =