Para penyelidik dari Institut Kosmologi Perkomputeran (Institute for Computational Cosmology) di Universiti Durham, United Kingdom telah menemui teori alternatif berkenaan asal usul pembentukan Bulan. Teori ini dijana menggunakan simulasi daripada komputer super yang melibatkan impak perlanggaran berskala besar di angkasa lepas. Impak perlanggaran ini menghasilkan suatu entiti angkasa yang mengorbit Bumi yang bertindak sebagai entiti pendahulu sebelum pembentukan Bulan. Pasukan penyelidik tersebut telah menjalankan simulasi pelbagai impak yang melibatkan dua entiti di angkasa lepas dengan mengambil kira sudut dan kelajuan perlanggaran yang berbeza, serta saiz dan kadar pusingan kedua-dua entiti terbabit, yang seterusnya membentuk Bumi dan Bulan pada hari ini. Pengiraan ini dijalankan menggunakan kod simulasi sumber terbuka (open-source) SWIFT, berlandaskan platform servis DiRAC intensif memori (Memory Intensive) yang dihoskan oleh fasiliti DiRAC (Pengkomputeran Prestasi Tinggi) High-Performance Computing di Universiti Durham.
Komputer super tersebut mempamerkan simulasi yang membolehkan aspek-aspek perlanggaran berskala besar dicerap dengan lebih teliti berbanding kajian terdahulu. Kajian ini menerokai pelbagai teori asal pembentukan Bulan dan evolusi entiti tersebut. Pembentukan sebuah entiti/satelit seakan Bulan (Moon-like satellite) pada orbit berhampiran Bumi selepas simulasi perlanggaran merupakan salah satu penemuan yang tidak dijangka oleh para penyelidik kajian ini. Simulasi beresolusi tinggi ini juga membolehkan penelitian dan maklumat berkaitan lapisan luar pada satelit seakan Bulan itu dicerap dan dibandingkan dengan lapisan bahan-bahan yang terdapat dari Bumi.
Sekiranya Bulan pada hari ini terbentuk serta-merta seusai proses perlanggaran berimpak besar tersebut, maka teori ini mampu mengubah pemahaman berkenaan struktur dalaman Bulan. Pembentukan Bulan melalui teori ini akan menjelaskan dengan lebih lanjut berkenaan persamaan komposisi isotop (isotopic composition) di antara serpihan batuan bulan (lunar rocks) berbanding lapisan mantel Bumi. Bukan itu sahaja, ketebalan kerak bulan (lunar crust) juga sedikit sebanyak membantu penyelidik untuk mengetahui jenis dan sifat perlanggaran yang berlaku yang membolehkan pembentukan Bulan di atas orbitnya yang mengelilingi Bumi.
Pembentukan Bulan pada asalnya dianggap terhasil daripada perlanggaran di antara Bumi dan objek angkasa bernama Theia pada kira-kira 4.5 bilion tahun dahulu. Kebanyakan teori mengenai pembentukan Bulan melibatkan puing yang terkumpul (accumulated debris) yang terhasil daripada perlanggaran ini. Walau bagaimanapun, teori puing ini tidak kukuh kerana terdapat kajian analisis pernah dijalankan ke atas serpihan batuan bulan yang menunjukkan komposisi serpihan tersebut mempunyai persamaan dengan komposisi mantel Bumi.
Kajian ini dijangka mampu menerokai pemahaman dan potensi berkenaan pembentukan orbit awal Bulan, di samping meramalkan evolusi komposisi dan struktur dalaman Bulan. Sejarah impak perlanggaran di angkasa lepas akan terus dikaji untuk mendapatkan maklumat lanjut yang lebih menyeluruh berkaitan pembentukan Bulan dan juga sejarah serta evolusi pembentukan Bumi. Maklumat berkenaan kajian ini dapat memberi gambaran berkenaan sejarah planet serta hidupan yang berada di atasnya. Malah, jangkaan dan simulasi berkenaan hidupan di masa mendatang juga dapat dicerap seiring dengan pemahaman komposisi Bumi.
Nota Pengarang
Artikel ini diterjemah dan diolah daripada artikel ‘Giant impact could have formed the Moon more rapidly, scientists reveal in new simulations‘.
Rujukan
- ‘Giant impact could have formed the Moon more rapidly, scientists reveal in new simulations.’ https://phys.org/news/2022-10-giant-impact-moon- rapidly-scientists.html
- Kegerreis et al., 2022. Immediate Origin of the Moon as a Post-impact Satellite. https://iopscience.iop.org/article/10.3847/2041-8213/ac8d96
- Durham University News and Events. ‘Supercomputer simulations reveal new possibilities for the Moon’s origin’. https://www.durham.ac.uk/news-events/latest-news/2022/10/supercomputer-simulations-reveal-new-possibilities-for-the-moons-origin/
Disunting oleh Izzati Rosli
MENGENAI PENGARANG
Shakir memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi) daripada Durham University, UK. Pernah berkhidmat sebagai penyelidik sambilan di Fakulti Sains & Teknologi, UKM membantu dalam aspek pencirian bahan elastin dari poltri. Kini merupakan seorang pembantu penyelidik siswazah di INBIOSIS, UKM.