Epilepsi atau kejadian sawan berulang merupakan suatu penyakit neurologi yang terjadi akibat pengeluaran isyarat elektrik secara luar biasa di dalam otak mengakibatkan seseorang mengalami kejang dan kadangkala tidak sedarkan diri. Epilepsi boleh berpunca dari kecederaan kepala, tumor, strok, genetik dan jangkitan kuman. Selain komplikasi terhadap kecerdasan kognitif dan psikologi, pesakit epilepsi berdepan risiko maut iaitu sindrom kematian mengejut dalam epilepsi (Sudden Unexpected Death in Epilepsy) (SUDEP). Dalam kes-kes SUDEP, tiada sebab kematian yang jelas dan tiada punca lain disahkan apabila autopsi dijalankan. Individu yang mati akibat SUDEP didapati mengalami sawan pada detik-detik menghampiri saat kematian. Seperti yang berlaku kepada Jett, penghidap epilepsi, yang merupakan anak kepada artis terkemuka John Travolta. Pada tahun 2009, Jett yang berumur 16 tahun telah meninggal dunia semasa diserang sawan.

Contoh gambar serangan sawan. Sumber gambar: https://unifirstfirstaidandsafety.com
Kajian menunjukkan kejadian SUDEP adalah di antara satu hingga dua peratus daripada jumlah kes epilepsi di seluruh dunia. Ini bermakna bagi setiap 1,000 orang pesakit epilepsi, satu hingga dua orang akan mengalami SUDEP setiap tahun. Namun, statistik ini berbeza di setiap negara. Di Jepun, statistik yang lebih tinggi dicatatkan iaitu lima hingga 12 peratus, berbanding di Amerika Syarikat, sekitar satu hingga dua peratus daripada jumlah kes epilepsi setiap tahun. Manakala di Malaysia, menurut kajian oleh Universiti Malaya, insiden SUDEP yang dilaporkan adalah sebanyak 0.42 orang dari setiap 1,000 orang pesakit epilepsi. Harus diingat angka ini boleh menjadi lebih tinggi kerana kemungkinan banyak lagi kes yang tidak dilaporkan akibat kurang pengetahuan.
Beberapa teori berkenaan punca SUDEP telah diutarakan. Antaranya nafas yang terhenti semasa serangan sawan (apnoea) dan berlaku degupan jantung yang tidak teratur atau tidak normal (cardiac arrhythmia) semasa sawan sehingga membawa maut. SUDEP dikatakan banyak berlaku kepada mereka yang diserang sawan lebih kerap dan tidak terkawal, tidak mengambil ubat sawan secara teratur serta pesakit epilepsi yang kronik. Masyarakat harus cakna bahawa SUDEP boleh dialami oleh mana-mana pesakit epilepsi tanpa mengira umur atau jenis epilepsi yang dihidapi dan mengambil langkah-langkah pencegahan.
Antara langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil termasuk,
- Mengambil ubat sawan seperti yang disarankan:
Langkah utama untuk merendahkan risiko SUDEP adalah mengurangkan kekerapan diserang sawan. Ambil ubat-ubatan yang disarankan oleh doktor dan ahli farmasi untuk mengelakkan serangan. Kegagalan mematuhi pengambilan ubat sawan meningkatkan risiko SUDEP sebanyak lapan kali ganda.
- Menghindari faktor pencetus sawan:
Kurang tidur, meminum minuman keras, stres, dan keletihan adalah di antara faktor pencetus sawan yang perlu dielakkan oleh pesakit epilepsi untuk mengurangkan kebarangkalian diserang sawan.
- Memantau kesihatan jantung:
Beberapa kajian menunjukkan SUDEP boleh berpunca dari masalah jantung. Pesakit perlu menjalani pemeriksaan jantung secara berkala dan memastikan jantung mereka berfungsi dengan baik.
- Mendapatkan sokongan ahli keluarga:
Pesakit epilepsi memerlukan sokongan dari keluarga dan rakan-rakan untuk mencegah SUDEP. Pastikan ahli keluarga memiliki pengetahuan tentang pertolongan cemas yang boleh diberikan ketika sawan.
- Menggunakan peranti pengesan sawan:
Beberapa peranti telah dibangunkan untuk mengesan dan memberikan amaran awal tentang serangan sawan kepada pesakit dan keluarga supaya dapat bersiap sedia untuk memberikan pertolongan cemas.
Kesimpulannya, SUDEP adalah satu keadaan yang menakutkan. Justeru, pendidikan dan kesedaran pesakit serta ahli keluarga adalah kunci untuk mengurangkan risiko SUDEP.
Rujukan
- Friedman, D. (2022). Sudden unexpected death in epilepsy. Current Opinion in Neurology, 35(2), 181-188.
- Khor, S. B., Lim, K. S., Fong, S. L., Ho, J. H., Koh, M. Y., & Tan, C. T. (2022). Cause of mortality among people with epilepsy in Malaysia: A hospital-based study. Epilepsy Research, 181(February), 106887. https://doi.org/10.1016/j.eplepsyres.2022.106887
- Tan, M., Allemann, S. S., Qin, X. S., & D’Souza, W. J. (2023). Adherence patterns in antiseizure medications influencing risk of sudden unexplained death in epilepsy: A data linkage study using dispensed prescriptions. Epilepsia, 64(3), 641–653. https://doi.org/https://doi.org/10.1111/epi.17502
- Centres for Disease Control and Prevention (CDC). Sudden Unexpected Death in Epilepsy (SUDEP). https://www.cdc.gov/epilepsy/communications/features/sudep.htm Accessed on 11 March 2023.
Disunting oleh Sulaiman Ali
MENGENAI PENGARANG
Irma Wati merupakan seorang ahli farmasi yang kini melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Monash Universiti Malaysia. Beliau sedang melakukan kajian tentang epilepsi, kecederaan otak dan fungsi kognitif. Beliau suka menulis dan berkongsi artikel ilmiah di media tempatan dan jurnal.