Elastin: Kegunaan, Sumber dan Potensi Halal di Malaysia

Elastin ialah protein penting di dalam tubuh manusia dan haiwan yang membentuk tisu-tisu kenyal, kukuh, serta tahan lasak seperti paru-paru, salur darah dan juga kulit. Selain daripada peranannya dalam pembentukan organ-organ penting, elastin juga merupakan protein yang mempunyai pelbagai fungsi seperti anti-bakteria, anti-oxidatif, dan anti-penuaan.  Kepelbagaian ini telah menjadikannya fokus utama penyelidikan kerana potensinya dalam bidang bioteknologi, farmaseutikal, kesihatan, perubatan, terapi molekular, nutraseutikal, kosmetik, dan lain-lain sekali gus melonjakkan permintaan dan nilai pasaran protein ini dalam pelbagai jenis, bentuk, dan kuantiti.

Barangan kosmetik yang menggunakan elastin sebagai bahan aktif termasuklah krim pelembap kulit dan sebagainya. Sumber: unsplash.com

Seperti kolagen, elastin juga terkenal dengan manfaatnya yang digunakan dalam bidang kosmetik dan penjagaan kulit. Bukan sahaja berkesan sebagai bahan aktif dalam krim pelembap dan anti-penuaan, malah ia juga boleh digunakan sebagai pemangkin utama dalam terapi luka dan parut. Tambahan pula, kajian telah dilaksanakan terhadap kesesuaian elastin sebagai makanan tambahan atau suplemen untuk membantu mengekalkan kulit yang sihat.

Elastin yang telah diekstrak dan diproses menjadi bentuk serbuk, yang sesuai untuk penyelidikan hiliran. Sumber: Pengarang

Secara komersialnya, elastin diedarkan dalam bentuk krim atau serbuk dan kebanyakannya diekstrak daripada sumber haiwan seperti bovin (lembu) dan porsin (babi). Pasaran elastin merupakan pasaran bernilai tinggi dan mahal disebabkan oleh proses pengekstrakan, pembungkusan, penyimpanan, dan penghantaran yang kompleks. Oleh itu, sumber alternatif yang mampu menghasilkan elastin yang berkualiti pada harga berpatutan adalah penting dalam pasaran protein ini. Selain daripada itu, penyakit Ensefalopati Spongiform Bovin (penyakit lembu gila) boleh menimbulkan rasa was-was kepada sumber produk elastin berasaskan bovin. Justeru, penyelidikan berkenaan sumber alternatif elastin merupakan sub-bidang yang kritikal dan mempunyai potensi yang luas.

Antara sumber alternatif elastin yang telah dikaji termasuklah sumber marin (ikan dan sotong) dan poltri (ayam). Elastin yang diekstrak daripada sumber marin sangat berkualiti serta mempunyai ciri-ciri yang stabil dan sesuai dalam bidang bioperubatan sebagai biofilem yang mampu terbiodegradasi (biodegradable biofilm). Walau bagaimanapun, isu alahan telah mengehadkan potensi penggunaan elastin daripada sumber marin ini. Kajian yang dilaksanakan oleh penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia telah membuktikan potensi bahan sampingan daripada industri poltri dalam penghasilan elastin berkualiti tinggi. Sesuai dengan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar daging poltri halal terbesar di Asia, industri ini menyediakan sumber bahan mentah yang bersih, lestari dan berkualiti tinggi untuk pengekstrakan elastin. Di peringkat pengeluar, bahan mentah terutamanya kulit dan kaki ayam dikumpulkan dalam bentuk blok yang disejukbeku setiap hari untuk digunakan oleh pengeluar daging terproses (seperti nuget dan frankfurter), dijual pada harga yang jauh yang lebih rendah berbanding potensi sebenar bahan tersebut.

Elastin yang diekstrak daripada kulit ayam bukan sahaja mempunyai nisbah ketulenan yang tinggi, malah mempamerkan ciri-ciri antioksida dan anti-hipertensif yang mempunyai nilai setanding elastin gred farmaseutikal di pasaran. Potensi sumber elastin ini wajar diterokai terutamanya dalam bidang kesihatan, nutraseutikal dan kosmetik. Selain daripada sumber haiwan, elastin sintetik juga dapat dihasilkan daripada proses biosintetik. Walaubagaimanapun, elastin sintetik ini mempunyai nic yang berfokus hanya dalam bidang bioperubatan.

Elastin merupakan bahan aktif dalam pelbagai bidang yang penting dan bernilai tinggi. Status dan sumber elastin dalam pasaran halal merupakan perkara penting kepada umat Islam memandangkan sumbernya yang boleh menjadi syubhah. Oleh itu, Malaysia seharusnya mengambil peluang daripada industri poltri halal di negara ini untuk memacu penghasilan elastin halal. Bukan sahaja tanggungjawab fardu kifayah dapat dipenuhi, malah sumber elastin ini akan memberi hasil komersial yang lumayan.

Rujukan:

  • Nadalian, M., Kamaruzaman, N., Yusop, M. S. M., Babji, A. S., & Yusop, S. M. (2019). Isolation, purification and characterization of antioxidative bioactive elastin peptides from poultry skin. Food Science of Animal Resources, 39(6), 966–979. https://doi.org/10.5851/kosfa.2019.e90
  • Kamaruzaman, N. & Yusop, S.M.  2021. Determination of stability of cosmetic formulations incorporated with water-soluble elastin isolated from poultry. Journal of King Saud University – Science 33(6): 101519. https://doi.org/10.1016/j.jksus.2021.101519
  • https://unsplash.com/photos/I-6Ap7JXHq8
  • https://unsplash.com/photos/1eX9t4U0l6E
  • https://unsplash.com/photos/OlRckR3Cfxo
  • https://unsplash.com/photos/WdJ4WnLxyDs
  • https://unsplash.com/photos/XDvEtuQ7ego
  • https://unsplash.com/photos/M3LDTJqzE-o

Disunting oleh Mira Ashikin

 

 

MENGENAI PENGARANG

shakir.yusop@gmail.com + ARTIKEL TERDAHULU

Shakir memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi) daripada Durham University, UK. Pernah berkhidmat sebagai penyelidik sambilan di Fakulti Sains & Teknologi, UKM membantu dalam aspek pencirian bahan elastin dari poltri. Kini merupakan seorang pembantu penyelidik siswazah di INBIOSIS, UKM.

salma_my@ukm.edu.my + ARTIKEL TERDAHULU

Dr. Salma Mohamad Yusop merupakan Pensyarah Kanan dan Penyelidik berkepakaran dalam bidang pemprosesan daging dari Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau sukakan ketenangan namun mampu mengikuti perkembangan sukan bola sepak kegemaran beliau iaitu Liverpool FC.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

four × five =