Penerokaan Potensi Bidang Pertanian Asia Melalui Persidangan Antarabangsa

Asiafruit Congress merupakan salah satu persidangan terbesar di dunia yang memfokuskan pengeluaran produk pertanian segar. Persidangan ini merupakan persidangan yang penting dalam kalangan pengeluar produk pertanian yang ingin memasarkan produk mereka dalam pasaran Asia. Persidangan ini dianjurkan secara tahunan oleh Majalah Asiafruit (Asiafruit Magazine), sebuah organisasi pemasaran antarabangsa yang berteraskan pasaran buah-buahan dan sayur-sayuran di Asia. Organisasi ini juga menerbit dan menyediakan majalah bulanan yang mengandungi berita dan makalah yang memaparkan perkembangan semasa dalam perniagaan, analisis trend pembeli, maklumat berkaitan pasaran terkini, dan lain-lain maklumat berkaitan. Pembacaan oleh pelbagai pihak terutamanya pemain industri, pembekal global, petani dan peruncit tempatan telah menjadikan Asiafruit Magazine suatu sumber utama kepada mereka yang ingin mengakses pasaran keluaran dunia secara amnya dan pasaran Asia secara khususnya.

Tangkap layar (screenshot) daripada laman utama Asiafruit Congress yang bertemakan ‘Menghubungkan kembali Asia dan seluruh dunia’ (Reconnecting Asia to the World). Sumber: www.asiafruitcongress.com

Asiafruit Congress 2021 baru sahaja melabuhkan tirainya dan persidangan ini telah diadakan secara atas talian pada 28 dan 29 September dengan menghubungkan para peserta dari seluruh dunia yang berkongsi pengalaman dan kepakaran masing-masing. Peserta yang mewakili syarikat dan organisasi mereka telah berkongsi sedikit sebanyak berkenaan impak pandemik COVID-19 kepada rutin harian serta bagaimana mereka beradaptasi untuk memastikan komunikasi, maklumat, dan hasil produk dapat terus disalurkan kepada pihak pembeli dan pengguna. Selain daripada syarikat pengeluar, Asiafruit Congress 2021 juga telah memberi platform kepada syarikat-syarikat lain yang turut terlibat dalam rantaian bekalan makanan.

Persidangan kali ini berteraskan kepada pemulihan pasaran Asia daripada COVID-19 serta kembali menghubungkan pemegang taruh di benua ini dengan pasaran global. Sebagai benua terbesar, tidak hairanlah bahawa negara-negara di Asia mempunyai keupayaan pengeluaran yang kukuh dalam memacu pasaran import-eksport di pentas antarabangsa. Antara tajuk yang dikongsikan pada hari pertama persidangan termasuklah potensi pelaburan bersasar terhadap syarikat pemula (start-ups) yang berteraskan pertanian, mengoptimumkan penggunaan kecerdasan buatan (artificial intelligence) dalam pengumpulan dan penuaian hasil tanaman, penggunaan logistik moden yang mampu mengekalkan kesegaran hasil terutama ketika penghantaran produk, serta peranan automasi dalam sektor pemprosesan hasil tanaman. Contoh tajuk khusus perbincangan pada hari pertama ialah ‘Landskap Teknologi Pertanian di Asia’ (Asia’s AgTech Landscape) yang disampaikan oleh Encik Jack Ellis, iaitu wakil syarikat AgFunder yang berpengkalan di Singapura. Beliau berkongsi peranan syarikat AgFunder dalam merealisasikan potensi syarikat-syarikat pemula dalam rantaian nilai makanan berasaskan pertanian (AgFood value chain). Secara amnya, syarikat tersebut menghubungkan syarikat pemula dengan pelabur di samping menyediakan saranan dan membantu klien untuk memasarkan produk dengan cekap. Sebuah syarikat pemula di Singapura telah dibantu untuk menanam dan memasarkan buah-buahan beriklim sederhana (temperate climate), contohnya buah strawberi, dengan menggunakan pertanian dalam bangunan (indoor farming) dan genetik tanaman (crop genetics). Bukan sahaja syarikat pemula ini membolehkan strawberi dinikmati di negara beriklim tropika, malah teknik ini dapat menjimatkan kos, ruang, dan kebergantungan kepada produk import.

Pada hari kedua pula, antara tajuk yang telah dibincangkan ialah program latihan dan peningkatan kemahiran untuk petani kecilan dari sudut digitalisasi tanaman, tuaian, dan jualan hasil. Selain daripada itu, strategi penanaman produk berkualiti tinggi dan pelbagai jenis yang mensasarkan permintaan sesuatu pasaran spesifik juga telah dikongsikan oleh wakil syarikat sayuran. Terdapat juga perkongsian mengenai kemapanan hasil produk atau lebih spesifik lagi, pembungkusan produk secara alternatif menggunakan kadbod mudah lupus untuk menggantikan plastik guna sekali (single-use plastics). Tajuk khusus perkongsian pada hari kedua ialah ‘Memangkin Penggunaan Tanaman Labu’ (Driving Pumpkin Consumption) yang disampaikan oleh dua orang wakil syarikat Enza Zaden iaitu Puan Pauline Kerbiriou dan Encik Young Han. Enza Zaden merupakan syarikat tanaman benih dan sayuran yang berpangkalan di Belanda dan mempunyai pejabat cawangan di serata dunia, termasuklah Malaysia. Mereka berkongsi bahawa potensi tanaman labu merupakan satu sayuran yang versatil kerana kepelbagaian jenis yang membolehkannya memenuhi cita rasa penduduk di seluruh dunia. Kepadatan penduduk di benua Asia bukan sahaja menjadikannya sebuah pasaran yang lumayan untuk labu, malah keluasan tanah yang berpotensi sebagai lokasi penanaman menjadikan rantau ini sesuai untuk turut memenuhi permintaan sayuran terbabit.

Selain daripada itu, pihak Asiafruit Congress juga telah berkongsi laporan statistik berkenaan nilai dagangan dan import-eksport hasil pertanian 12 negara Asia, termasuklah Malaysia. Laporan ini merumuskan bahawa Malaysia mempunyai kadar kebergantungan tinggi terhadap produk buah-buahan dan sayur-sayuran import. Meskipun berada pada iklim tropika, negara kita masih menunjukkan nilai import yang signifikan dalam memenuhi permintaan buah-buahan tropika. Nilai import negara hampir mencecah enam kali ganda lebih tinggi berbanding nilai eksport, dan kecenderungan (trend) ini tidak menunjukkan sebarang perubahan sekurang-kurangnya sejak lima tahun kebelakangan. Statistik ini menunjukkan kecenderungan yang seiring dengan laporan pelbagai portal berita yang menyatakan bahawa Malaysia mempunyai kebergantungan tinggi terhadap makanan import.

 

Laporan-laporan yang konsisten menunjukkan kebergantungan Malaysia terhadap sumber pertanian dan makanan daripada luar. Sumber:  Tangkap layar oleh Pengarang

Permintaan yang tinggi terhadap buah-buahan dan sayur-sayuran dalam negara wajar dipenuhi pihak tempatan. Selain daripada pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), pelbagai syarikat pertanian dan petani kecilan boleh bekerjasama dalam usaha menyahut dan mengisi permintaan ini. Kerjasama bersepadu dapat melancarkan proses rantaian makanan supaya hasil tanaman dapat dinikmati rakyat Malaysia. Di antara contoh syarikat pemula yang menggunakan konsep pertanian pintar dan secara dalam bangunan (indoor and smart farming) ialah BoomGrow dan The Vegetable Co. Kedua-dua syarikat pemula ini menerapkan idea tanaman sayuran yang mudah untuk dipetik dan dihantar terus kepada pembeli yang menempah melalui atas talian. Perkara ini memastikan kesegaran sayuran dikekalkan dan dapat dinikmati pembeli dengan mudah. Selain daripada itu, syarikat pertanian yang lebih konvensional perlu mula menitikberatkan hasil penyelidikan dan inovasi tanaman untuk memperkasakan hasil produk. Syarikat seperti Enza Zaden Malaysia bukan sahaja telah membuka pejabat rantau Asia Tenggara dan pusat logistik di negara ini, malah turut membuka sebuah fasiliti penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijangka mampu memacu bidang tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran serantau.

Pandemik COVID-19 telah memberi impak yang besar kepada nilai dan hasil import-eksport seluruh dunia. Kesan pandemik turut mendedahkan kerentanan bekalan makanan (food supply vulnerability) di negara ini. Justeru itu, adalah penting bagi Malaysia memanfaatkan lokasi dan ruang sedia ada dalam menggalakkan industri agromakanan. Perkara ini bukan sahaja dapat memberi hasil keuntungan, malah diharapkan dapat memperkukuh dasar sekuriti makanan kebangsaan agar kita bersedia menghadapi masa hadapan kelak.

Rujukan

  • Asiafruit Congress: Reconnecting Asia to the World. 2021. Asiafruit Magazine. https://www.asiafruitcongress.com/.
  • Kebergantungan negara terhadap makanan import semakin meningkat. 2021.BH Online. https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2021/08/856377/kebergantungan-negara-terhadap-makanan-import-semakin-meningkat.
  • Malaysia Terlalu Bergantung Kepada Import Makanan. 2016. mStar Online. https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2016/04/07/import-makanan.
  • Mohd Anuar, A.N. 2021. Kebergantungan negara terhadap makanan import terus meningkat. Sinar Harian Online. https://www.sinarharian.com.my/article/157882/BERITA/Nasional/Kebergantungan-negara-terhadap-makanan-import-terus-meningkat.

Disunting oleh Mustaqim Azman

MENGENAI PENGARANG

shakir.yusop@gmail.com + ARTIKEL TERDAHULU

Shakir memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi) daripada Durham University, UK. Pernah berkhidmat sebagai penyelidik sambilan di Fakulti Sains & Teknologi, UKM membantu dalam aspek pencirian bahan elastin dari poltri. Kini merupakan seorang pembantu penyelidik siswazah di INBIOSIS, UKM.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

four × one =