Suntikan Virus Tumbuhan untuk Rawatan Barah

Tubuh manusia terdiri daripada bertrilion sel-sel hidup yang sentiasa menjalani kitaran normal secara semula jadi untuk membentuk sel baharu sebelum mencapai fasa kematian sel (cell death). Barah terjadi apabila sel-sel ini tidak mengikuti kitaran normal dan mula hidup di luar kawalan. Perbezaan utama sel barah daripada sel normal ialah keupayaannya untuk tersebar dari kawasan organ barah bermula ke organ lain di dalam tubuh. Barah yang merebak dengan cara ini dipanggil barah metastatik dan paru-paru lazimnya adalah organ utama untuk penyebaran. Sel metastatik – boleh terhasil dalam pelbagai jenis barah – yang merebak di dalam paru-paru dianggap berada pada tahap yang sangat berbahaya dan sukar untuk dirawat.

Pasukan penyelidik di Jacobs School of Engineering, University of California San Diego telah membangunkan sebuah kaedah rawatan percubaan untuk menghalang penyebaran sel barah. Kaedah ini melibatkan suntikan satu virus tumbuhan iaitu cowpea mosaic virus. Virus ini menjangkiti hos pokok kacang tunggak atau kacang mata hitam (nama saintifiknya Vigna unguiculata). Virus tumbuhan tidak mempunyai kesan terhadap haiwan dan manusia kerana ia hanya mampu menjangkiti sel tumbuhan sahaja. Walau bagaimanapun, zarah virus ini tetap mampu mengaktifkan tindak balas imuniti di dalam badan manusia yang menjadikannya sesuai untuk melawan sel barah. Proses ini lebih dikenali sebagai imunoterapi virus.

Teori yang diguna pakai dalam kaedah ini adalah dengan menjadikan sistem imun di dalam tubuh manusia untuk mengenal pasti dan membasmi sel barah di dalam paru-paru. Virus tumbuhan ini tidak akan bertindak balas dengan sel badan normal, tetapi zarah virus ini mampu memberi isyarat yang akan mengaktifkan sel imun tubuh untuk mencari, menyerang, dan melupuskan patogen asing.

Perpindahan ilmu daripada bidang bioteknologi dan teknologi nano tumbuhan mampu memberi perspektif tambahan dalam bidang perubatan barah. Sumber: www.unsplash.com

Untuk memastikan tindak balas imun ini tepat pada sel tumor paru-paru, pasukan penyelidik tersebut telah membangunkan zarah nano yang diperbuat daripada cowpea mosaic virus untuk menyasarkan satu protein di dalam paru-paru iaitu protein S100A9. Protein ini diekspres dan dirembeskan oleh sel imun tubuh untuk melawan jangkitan paru-paru. Selain itu, pengekspresan S100A9 secara berlebihan mampu memberi kesan sampingan terhadap tumbesaran tumor dan kadar penyebarannya.

Untuk membangunkan zarah nano tersebut, pasukan penyelidik menanam pokok kacang tunggak dan menjangkiti pokok tersebut dengan cowpea mosaic virus. Kemudian, virus itu diasingkan dan diambil dalam bentuk bebola zarah nano. Seterusnya, permukaan zarah tersebut ‘dipasangkan’ dengan molekul yang menyasarkan protein S100A9 untuk digunakan di dalam kajian.

Penyelidikan percubaan ini menumpukan hasil kajian bagi mencapai dua langkah penting, iaitu langkah pencegahan dan rawatan. Untuk kajian pencegahan, zarah nano virus tumbuhan disuntik ke dalam aliran darah tikus yang sihat, sebelum tikus tersebut didedahkan dengan sel kanser payudara atau melanoma. Tikus yang menerima suntikan zarah nano menunjukkan pengurangan mendadak barah di dalam paru-paru berbanding tikus yang tidak menerima zarah nano.

Untuk kajian rawatan pula, zarah nano ini disuntik ke dalam tikus yang telah mempunyai tumor metastatik di dalam paru-paru, dan hasilnya menunjukkan tikus ini mempunyai tumor paru-paru yang lebih kecil serta hidup lebih lama berbanding tikus metastatik yang tidak menerima zarah nano.

Hasil kajian ini menunjukkan keberkesanan menentang titisan sel agresif (aggressive cell lines). Dalam erti kata lain, rawatan ini mempunyai potensi untuk melindungi paru-paru pesakit barah daripada kes metastatik, terutamanya pesakit yang telah menjalani terapi atau pembedahan membuang tumor.

Walau bagaimanapun, penyelidikan lebih lanjut perlu dijalankan terutamanya kajian farmakologi dan ketoksikan imun (pharmacology and immunotoxicity) serta ujian klinikal. Selain itu, kesesuaian penggunaan zarah nano dengan rawatan konvensional – kemoterapi, sinaran, dan ubatan lazim – perlu diperhalusi untuk memastikan rawatan terbaik dapat diberikan kepada pesakit.

Artikel diterjemahkan daripada How a plant virus could help stop cancers from reaching the lungs oleh Labios L.  (2021, University of California).  https://www.universityofcalifornia.edu/news/how-plant-virus-could-help-stop-cancers-reaching-lungs.

Disunting oleh Adib Yusof

MENGENAI PENGARANG

shakir.yusop@gmail.com + ARTIKEL TERDAHULU

Shakir memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi) daripada Durham University, UK. Pernah berkhidmat sebagai penyelidik sambilan di Fakulti Sains & Teknologi, UKM membantu dalam aspek pencirian bahan elastin dari poltri. Kini merupakan seorang pembantu penyelidik siswazah di INBIOSIS, UKM.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

3 × two =