Imam Al-Ghazali dan Falsafah

Menurut Azizah Zakaria (2004), kepakaran al-Ghazali dalam bidang falsafah adalah dalam konteks benar-benar menepati makna ilmu falsafah itu sendiri iaitu ilmu pengetahuan yang mencari hakikat segala yang ada. Selain itu, berdasarkan takrifan yang diberikan oleh al-Farabi, falsafah ialah ilmu pengetahuan tentang alam maujud dan bertujuan menyelidiki hakikat yang sebenar. Bahkan menurut beliau, al-Ghazali sendiri secara jujur mengakui bahawa telah menjadi kedahagaannya sejak dari usia remaja untuk mengkaji hakikat ilmu pengetahuan dan beliau telah berusaha dengan segala keupayaan untuk mencapai matlamatnya itu demi mencapai kedudukan di puncak kebenaran dan ‘ilm al-Yaqin, oleh itu beliau secara ekstrem menolak amalan taklid.

Menurut Azizah Zakaria (2004) lagi, kepakaran al-Ghazali dalam bidang falsafah telah memaksa beliau untuk mengkritik dan membongkar kelemahan dan kerosakan pemikiran ahli-ahli falsafah serta teori-teori mereka yang bertentangan dengan ajaran dan akidah Islam, khususnya dalam persoalan-persoalan tentang ketuhanan dan beberapa aspek dalam sains tabii. Al-Ghazali telah membuat kritikan terbuka terhadap ahli-ahli falsafah dalam karyanya al-Tahafut al-Falasifah yang mana beliau telah memberikan kritikan terhadap ahli falsafah Greek seperti Aristotle, Socrates dan Plato berasaskan pandangan Islam.

Kritikan-kritikan al-Ghazali terhadap beberapa aliran falsafah membuktikan bahawa beliau benar-benar menguasai bidang ilmu ini, malah menurut Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi, al-Ghazali adalah tokoh pertama yang telah mendalami bidang sains kenegaraan dan falsafah sehingga berjaya menghasilkan Maqasid al-Falasifah. Dalam karyanya ini, al-Ghazali menjelaskan teori-teori, aliran falsafah dan tujuan ahli-ahli falsafah secara terperinci dan bersifat terbuka.

Menurut Khairul Bariah Md Khair (1999) menukilkan daripada Sulayman Dunya bahawa karya al-Ghazali mencapai jumlah 300 buah kesemuanya yang mana sebahagian besarnya musnah akibat serangan orang Monggol yang telah membakar kota Baghdad pada abad ke-13. Beliau menyatakan bahawa karya al-Ghazali dalam falsafah ialah:

  1. Maqasid al-Falasifah (Tujuan Ilmu Falsafah) – Ini merupakan karya pertama al-Ghazali ketika usia mudanya sekitar 25 – 28 tahun. Hasil karya ini mendapat perhatian di Sepanyol dan Eropah pada abad ke-12 dan ke-13.

2. Tahafut al-Falasifah (Kesesatan Ilmu Pengetahuan) – Hasil karya al-Ghazali ketika berada di Baghdad sewaktu usianya menjangkau 35 – 38 tahun. Karya ini menunjukkan al-Ghazali berusaha membuktikan kebebasan mutlak Tuhan dan keterbatasan akal manusia untuk mengetahui masalah-masalah ketuhanan.

3. Ma’rifah al-Aqliyah (Ilmu Pengetahuan yang Rasional) – Buku ini pula mengungkapkan asal-usul ilmu yang rasional seterusnya berkaitan matlamat dan tujuan ia menghasilkannya.

Sukar untuk dinafikan bahawa karya-karya yang dihasilkan oleh al-Ghazali begitu masyhur kerana perbahasannya baik dan bersistematik di samping curahan ilmunya yang luas (Khairul Bariah Md Khair, 1999).

Menurut Mohd Zaki Ahmad (2013) al-Ghazali membahagikan golongan yang membahaskan falsafah kepada tiga iaitu ateis, natural dan teologi. Golongan ateis ialah golongan yang menafikan wujudnya pencipta yang mentadbir seluruh alam ini. Manakala golongan natural ialah golongan ilmuan yang banyak mengkaji berkaitan dengan tabiat, kejadian dan anatomi manusia, tumbuhan serta haiwan. Golongan teologi pula membincangkan soal-soal ketuhanan seperti Plato, Aristotle dan Socrates. Golongan ini membahaskan perkara-perkara berkaitan tuhan dengan bersumberkan akal.

Al-Ghazali merupakan individu pertama yang mengklasifikasikan ilmu falsafah kepada enam iaitu matematik, mantik, fizik, ketuhanan, siasah dan akhlak. Metodologi yang diasaskan oleh al-Ghazali ini adalah jelas dan dan terperinci.

Pengajaran

Menurut Mohamad Kamil Hj. Ab. Majid, Rahimin Mohd Affandi Abd Rahim & Ridzuan Ahmad (2007), para ulamak perlu menerapkan paradigma proaktif apabila berhadapan dengan sesuatu masalah yang timbul dalam kalangan masyarakat. Ia membabitkan penyelidikan lapangan atau analisis kandungan (content analysis) terhadap sesuatu masalah pilihan. Hal ini boleh dilihat dari dua contoh yang utama;

Penggunaan tiga bentuk Ta’lil (usaha intelektual untuk menemukan alasan ataupun maksud) sesuatu perintah Allah iaitu:

  1. Takhrij al-manat: Kajian sebab utama penetapan hukum daripada nas.
  2. Tanqih al-manat: Memilih dan menguji hipotesis yang terhasil daripada usaha.
  3. Tahqiq al-Manat: Memastikan ketepatan sebab (‘illah) hukum dengan masalah sebenar yang timbul dalam masyarakat.

Beliau telah melakukan penyelidikan ilmiah (lapangan) terhadap gerakan Batiniah dan golongan yang terpengaruh dengan falsafah Yunani secara melampaui, dengan mengkaji dan meneliti bahan sumber kedua golongan tersebut, yang seterusnya diikuti dengan ulasan dan jawapan ilmiah yang mendedahkan kesilapan pegangan kedua golongan tersebut.

Menurut mereka lagi zaman moden kini, kita patut menerima pakai pendekatan yang diletakkan oleh al-Ghazali bagi menolak pendekatan ala tradisionalis yang memusuhi segala elemen pemodenan Barat, termasuklah globalisasi yang kononnya ciptaan musuh Islam yang boleh merosakkan akidah umat Islam. Dalam soal ini, Wan Mohd. Nor Wan Daud telah menempelak hebat sesetengah sarjana Islam sendiri yang telah dijangkiti penyakit westofobia, sikap takut dan benci yang tidak rasional terhadap barat. Secara asasnya, penyakit ini adalah serpihan daripada penyakit akal, xenofobia yang menyebabkan penghidapnya sentiasa takut kepada unsur-unsur luar.

Menurut Mohd Zaki Ahmad (2013), al-Ghazali dapat menyelamatkan akidah umat Islam daripada terus direntap oleh fahaman falsafah ketuhanan Yunani yang tidak bertauhid dengan agama Islam yang suci. Al-Ghazali berjaya mempertahankan kemurnian Islam sekali gus dapat mengelak amalan mengagungkan falsafah Yunani tanpa menyedari ia bertentangan dengan akidah Islam.

Disunting oleh Ismatul Nisak

MENGENAI PENGARANG

asha91.selanjuuri@gmail.com | PROFIL | + ARTIKEL TERDAHULU

Ashaari Bin Selamat merupakan lepasan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis. Beliau meneruskan pencarian ilmu dengan Sijil Usuluddin UMCCED (2017) dan memperolehi Diploma Tasawwur Islam (DTI) Institut Latihan Kepemimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM) 2019. Kini, beliau merupakan pelajar separuh masa Diploma Eksekutif Usuluddin UMCCED di Universiti Malaya sejak tahun 2020.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

fourteen + ten =