Sejarah Khazanah Tafsir di Alam Melayu: Suatu Sorotan (Bahagian 2)

Baca Bahagian 1 di sini.

Antara ulama tafsir terkenal di Malaysia satu ketika dahulu ialah Tok Pulau Manis (m. 1736M), Tok Kenali (m. 1933M), Haji Muhammad Sa’id (m. 1932M), Maulana Abdullah Nuh (m. 1947M), Muhammad Idris al-Marbawi (m. 1989M), Dato’ Hj Muhammad Noor Ibrahim (m. 1987M), dan Syeikh Abdullah Basmeih (m. 1996M).

Tokoh ulama yang terulung dalam perkembangan pengajian pondok dan pengajian tafsir di Malaysia ialah seorang ulama dari Terengganu pada kurun ke-17 iaitu Syeikh Abdul Malik bin Abdullah yang terkenal dengan panggilan Tok Pulau Manis (lahir pada 1650-an atau 1660-an). Tok Pulau Manis pernah belajar di Acheh dengan ulama besar Acheh ketika itu iaitu Syeikh ‘Abd al-Rauf Singkel yang juga seorang tokoh al-Sunnah wa al-Jama’ah. Semasa pengajiannya, Tok Pulau Manis sempat menyalin kitab Tafsir al-Baydawi yang ditulis dalam bahasa Melayu oleh gurunya itu. Walaupun Tok Pulau Manis tidak menulis kitab tafsir jika dibanding dengan bidang-bidang yang lain, tetapi beliau telah memberi sumbangan yang besar kepada pengajian tafsir terutama kepada anak-anak muridnya.

Makam Tok Pulau Manis di Serada, Terengganu. Sumber: Harian Metro

Penulisan kitab tafsir di alam Melayu bermula pada abad ke-17 Masihi. Usaha ini dimulai oleh Syeikh Abdul Ra’uf al-Sinkili (m. 1695M) dengan karyanya Tarjuman al-Mustafid. Kesinambungan kepada penulisan Syeikh Abdul Ra’uf al-Sinkili di Indonesia ini antaranya adalah Tafsir Nurul Ihsan di Malaysia karya Tuan Haji Muhammad Sa’id bin Umar (m. 1932M) dan ‘Abr al-Athir oleh Ahmad Sonhadji Mohamad (m. 2010M) di Singapura dan lain sebagainya. Usaha penulisan karya dalam bidang tafsir di alam Melayu terus berterusan hingga ke zaman kontemporari saat ini. Antara kitab tafsir terbaru yang telah ditulis oleh mufassir Melayu abad ini ialah Tafsir Pedoman Muttaqin karya Abdul Hayei Abdul Sukor.

Tokoh Tafsir Negeri Kelantan

Di negeri Kelantan, antara tokoh ulama besar ialah Muhammad Yusof bin Awang yang dikenali dengan panggilan Tok Kenali yang lahir pada tahun 1868 Masihi dan meninggal dunia pada tahun 1933 Masihi. Menurut Ismail Yusoff (1995) peranan Tok Kenali dalam perkembangan pengajian tafsir boleh dilihat pada usaha beliau sendiri dalam menterjemah sebahagian daripada kitab Tafsir al-Khazin dan Ibn Kathir tetapi tidak dicetak. Tok Kenali juga telah melahirkan murid-murid yang menulis tafsir al-Quran seperti Syeikh Muhammad Idris al-Marbawi yang menulis Tafsir Surah Yasin dan Syeikh Uthman Jalaluddin yang menterjemah sebahagian daripada Tafsir al-Jalalain.

Gambar Tok Kenali (duduk, hujung dari kiri) bersebelahan dengan Pendeta Za’ba yang bertongkat. Sumber: Azmi Mohd Saleh

Antara tokohtokoh tafsir di negeri Kelantan yang bukan sahaja mengajar tafsir di masjid dan surau bahkan menghasilkan karya tafsir ialah seperti Maulana Abdullah Awang Nuh (1905–1947) yang pernah belajar dengan ulama di Kelantan dan kemudian di India. Di India beliau mendalami tafsir dan hadith. Beliau juga terkenal sebagai ahli pidato dan ahli politik. Kuliah tafsir yang disampaikan oleh Maulana Abdullah Awang Nuh ini dicatat dan dibukukan oleh muridnya Ustaz Wan Ismail bin Wan Nawang dengan diberi nama Khulasah al-Quran. Dalam menyampaikan kelas tafsir tersebut, beliau menekankan masalah-masalah sosial, sejarah, politik dan hikmah dengan mendalam.

Selain itu, antara tokoh tafsir di Kelantan juga ialah Tuan Haji Muhammad Noor bin Ibrahim, bekas Mufti Negeri Kelantan. Beliau lahir pada tahun 1905 dan mendapat pendidikan di Mekah. Beliau pernah mengajar kelas tafsir di Masjid Muhammadi, Kota Bharu dan Masjid Kampung Penambang (kampung beliau) dan juga menulis kitab tafsir surah al-Kahfi dengan diberi nama Rumusan Rapi Dan Erti Surah al-Kahfi. Dalam kitab tafsirnya diberi penekanan kepada masalah aqidah, kemasyarakatan, hukum-hukum, pengajaran dan istinbat dari ayat-ayat. Beliau tidak menyentuh perkara-perkara khilaf.

Baca Bahagian 3 di sini.

Rujukan

  • Muhammad Yusry Affandy Bin Md Isa. Metodologi Pentafsiran Aliran Fiqh: Kajian Terhadap Ayat-Ayat Hukum Ibadat Dalam Tafsir al-Azhar. 2017.
  • Parlindungan Simbolon & Ishak Suliaman. Sejarah dan Kontribusi Ulama Melayu Dalam Bidang Tafsir : Kajian Terhadap Tafsir Pedoman Muttaqin Karya Abdul Hayei Abdul Sukor. 2012.
  • Gambar: http://azmisejarah.blogspot.com/2013/09/makam-tok-kenali.html
  • Gambar: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2016/03/125896/tak-jumpa-jalan-keluar

Disunting oleh Mira Ashikin

MENGENAI PENGARANG

asha91.selanjuuri@gmail.com | PROFIL | + ARTIKEL TERDAHULU

Ashaari Bin Selamat merupakan lepasan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis. Beliau meneruskan pencarian ilmu dengan Sijil Usuluddin UMCCED (2017) dan memperolehi Diploma Tasawwur Islam (DTI) Institut Latihan Kepemimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM) 2019. Kini, beliau merupakan pelajar separuh masa Diploma Eksekutif Usuluddin UMCCED di Universiti Malaya sejak tahun 2020.

One thought on “Sejarah Khazanah Tafsir di Alam Melayu: Suatu Sorotan (Bahagian 2)”

  1. Pingback: Sejarah Khazanah Tafsir Di Alam Melayu : Suatu Sorotan (Bahagian 1) – Angkasfera
  2. Trackback: Sejarah Khazanah Tafsir Di Alam Melayu : Suatu Sorotan (Bahagian 1) – Angkasfera

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

four × 2 =