Menariknya Belajar Fizik!

Apabila sebut sahaja fizik, pasti akan terbayang rumus dan teori-teori serta betapa sukarnya untuk menguasai topik-topik berkaitan subjek itu. Ditambah lagi dengan keperluan pengiraan berkaitan pengaplikasian fizik dalam kehidupan seharian seperti pergerakan, kelajuan, pecutan, momentum, ketumpatan, tenaga kinetik dan banyak lagi. Hal ini secara tidak langsung menambahkan lagi bayangan kesukaran untuk menyelesaikan sesuatu masalah dari sudut pandangan ilmu fizik.

Seringkali kita dibayangi dengan persepsi yang sebegitu sehinggakan sampai suatu tahap apabila bidang fizik tidak lagi menjadi satu keutamaan jika diberi pilihan. Hal ini juga dipengaruhi dengan laluan kerjaya yang perlu dipilih sebaik tamat pengajian.

Di sebalik tanggapan tersebut, sudah pastinya ada sinar yang terang benderang untuk mereka yang meminati fizik dan menjadikan bidang ini sebagai batu loncatan untuk berjaya. Rencana ini menghuraikan tentang fakta menarik berkenaan fizik.

Ilustrasi pecahan bidang fizik. Sumber: Dominic Waliman

  1. Fizik membantu kita memahami apa yang berlaku di sekeliling kita

Contoh: Ketika proses pengeringan baju, molekul air di permukaan pakaian akan mengalami proses penyejatan yang menukarkan molekul air kepada wap air. Proses yang berlaku selama beberapa jam itu akan menyebabkan baju menjadi kering. Faktor-faktor seperti suhu, kadar pergerakan udara dan luas dedahan pakaian juga boleh mempengaruhi kadar pengeringan baju. Melalui proses tersebut kita dapat memahami bahawa semakin lama baju terdedah di bawah sinaran matahari, semakin cepat baju menjadi kering.

  1. Fizik sentiasa berkait dengan bidang disiplin yang lain

Contoh: Jika halaju seseorang ketika berlari adalah tetap, maka pecutannya adalah sifar. Manakala, jika halaju meningkat pada kadar yang sama, nilai pecutan pula menjadi tetap. Pada waktu yang sama, kadar degupan jantung semakin meningkat. Bukan sahaja degupan jantung, malah suhu badan juga meningkat kesan daripada peredaran darah ke seluruh badan. Maka, peluh akan dikumuhkan bagi menyejukkan badan. Dalam proses ini, disiplin fizik juga berkait dengan biologi.

  1. Fizik mempengaruhi kemahiran berfikir seseorang

Contoh: Eksperimen bandul ringkas bagi mengkaji hubungan antara tempoh ayunan dan panjang bandul. Pemboleh ubah dimanipulasi (panjang bandul), bergerak balas (tempoh ayunan) dan dimalarkan (jisim bola) ditentukan bagi mengkaji hubung kait uji kaji ini.  Hasil kajian mendapati terdapat hubungan antara keduanya iaitu jika panjang bandul bertambah, maka tempoh ayunan juga akan bertambah. Tetapi jika pemboleh ubah dimanipulasi dan bergerak balas dipengaruhi dengan pelbagai parameter yang lain, hal ini akan menyebabkan keputusan uji kaji akhir adalah berbeza daripada hipotesis. Satu eksperimen yang mudah akan menjadi lebih kompleks bagi mendapatkan keputusan yang jitu.

  1. Fizik membantu dalam menyelesaikan masalah dengan menggunakan lebih daripada satu kaedah

Contoh: Bagi menentukan momentum sesebuah objek, jisim dan halaju objek perlu diketahui. Jisim objek diukur dengan menggunakan pemberat dalam unit kilogram (kg), manakala halaju objek dikira menggunakan rumus: sesaran/masa. Sesaran diukur dalam unit meter (m) dan masa diukur dengan menggunakan jam randik dalam unit saat (s). Terdapat pelbagai kaedah yang digunakan untuk mengira momentum sesebuah objek. Hal ini secara tidak langsung meningkatkan kemahiran seseorang dalam menyelesaikan masalah.

  1. Fizik memacu penerokaan terhadap sains dan teknologi

Contoh: Termometer digunakan untuk mengukur suhu. Raksa di dalam bebuli kaca akan mengembang dan naik ke satu takat tertentu apabila bertindak balas dengan suhu. Jika termometer ini pecah, raksa boleh mendatangkan bahaya kepada manusia. Bagi menangani masalah ini, raksa boleh digantikan dengan bahan kimia lain yang mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengannya namun tidak berbahaya. Hal ini secara tidak langsung mendorong kepada penerokaan terhadap sifat bahan kimia yang baru dan teknologi yang dapat menyokong sesuatu bahan.

Ilmu fizik juga diguna pakai untuk meneroka angkasa. Sumber: zdnet.com

Sesungguhnya tidak dapat dinafikan lagi sumbangan bidang fizik sama ada dalam aplikasi harian, mengasah kemahiran berfikir ataupun penyelesaian masalah. Peluang sudah terbuka di depan mata, terpulang kepada kita untuk mempelajarinya atau tidak. Seperti kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya yang bermaksud sesuatu kejayaan itu tidak akan dapat dicapai tanpa usaha. Jika kita tidak berusaha untuk memahami fizik, sudah pasti sampai bila-bila kita tidak dapat menyedari betapa menariknya fizik.

Rujukan

  • http://spmphysics.onlinetuition.com.my/2013/06/acceleration
  • htmlhttps://peribahasa.info/maksud-peribahasa-kalau-tidak-dipecahkan-ruyung-manakan-dapat-sagunya

Disunting oleh Mira Ashikin

MENGENAI PENGARANG

sitiamira@uthm.edu.my + ARTIKEL TERDAHULU

Pensyarah di Jabatan Fizik dan Kimia, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

thirteen − 10 =