Perlembagaan Persekutuan: Suatu Pengenalan (Bahagian 1)

Perlembagaan Persekutuan sebenarnya ialah dokumen undang-undang utama negara, ia tidak hanya harus dibaca secara tersurat sahaja tetapi apa-apa yang tersirat juga memainkan fungsi yang penting dalam memahami Perlembagaan Persekutuan. Menurut Zainul Rijal Abu Bakar dan Nurhidayah Muhamamd Hashim (2016) menyatakan bahawa pakar perlembagaan tanah air menyenaraikan terdapat tujuh ciri asas yang menjadi tulang belakang Perlembagaan Persekutuan itu. Ketujuh-tujuh ciri asas itu tidak boleh dihakis daripada perlembagaan kerana akan merosakkan teras perlembagaan itu sendiri [1]. Kesemua ciri ini hendaklah dipertahankan satu per satu oleh semua pihak sama ada pemimpin ataupun rakyat itu sendiri. Ciri tersebut ialah:

  • Islam sebagai agama bagi Persekutuan.
  • Malaysia sebagai sebuah negara Persekutuan.
  • Perlembagaan sebagai undang-undang utama Persekutuan.
  • Pengasingan kuasa eksekutif, legislatif (parlimen) dan kehakiman.
  • Raja berperlembagaan.
  • Demokrasi berparlimen.
  • Badan kehakiman yang terpisah daripada penguasaan parlimen dan eksekutif.

Sebarang usaha untuk membuang ciri-ciri asas ini akan dilihat sebagai menongkah arus dan membawa negara kepada kekacauan kerana kerangka perlembagaan itu sendiri telah dipersetujui sejak dahulu lagi. Pemansuhan ciri asas ini perlulah mendapat persetujuan daripada semua pihak yang terlibat seperti Raja-raja Melayu, kerajaan dan juga rakyat pelbagai kaum terutamanya orang Melayu yang merupakan anak watan negara [2].

Islam sebagai Agama Persekutuan

Oleh kerana orang semua orang Melayu di negara ini beragama Islam, maka semua Raja yang memerintah menjadi ketua agama Islam bagi negeri masing-masing [3]. Perkara 3(1) dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa, “Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.” Secara asasnya Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan kepada penganut setiap agama untuk mengamalkan agamanya dalam keadaan aman dan harmoni.  Namun, kebebasan itu juga tidaklah mutlak [4].

Seterusnya, Perkara 11 dalam Perlembagaan Persekutuan menegaskan hak semua orang untuk menganuti dan mengamalkan agama dan mengembangkan agama tersebut dengan kekecualian bahawa undang-undang negeri boleh mengawal atau menyekat perkembangan apa-apa iktikad  atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganut agama Islam. Majlis Raja-Raja boleh bersetuju bahawa sebarang perbuatan, amalan atau upacara hendaklah meliputi seluruh Persekutuan [5]. Perkara 11(4) menghadkan penyebaran agama lain kepada orang Islam melalui enakmen bagi negeri-negeri dan akta bagi Wilayah-wilayah Persekutuan. Inilah hakikat yang ada dalam Perlembagaan dan mesti diakui oleh setiap rakyat Malaysia yang menerima kedudukan Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 4 Perlembagaan [6].

Menurut Nazri Muslim dan Ahmad Hidayat Buang (2012) definisi Islam dalam perlembagaan boleh dirujuk dari dua sudut iaitu menurut tafsiran pihak mahkamah dan pandangan sarjana. Pertama, definisi yang diberikan oleh pihak mahkamah dalam kes Che Omar Bin Che Soh v Public Prosecutor (1988) seperti yang diputuskan oleh Ketua Hakim Negara iaitu Islam dalam Perlembagaan hanya terbatas kepada soal-soal upacara dan seumpamanya. Sebelum dari kes ini, dalam kes Wong Ah Fook v State of Johore (1937) telah memberikan tafsiran kepada Perkara 57 Perlembagaan Johor iaitu Islam adalah agama rasmi negeri Johor. Namun, mahkamah telah menolak dakwaan pihak pembela yang mendakwa negeri Johor adalah diperintah menurut undang-undang Islam [7].

Kedua, pandangan yang diberikan oleh sarjana seperti L.A Sheridan dan H. E Groves yang mengatakan bahawa peruntukan mengenai Islam adalah bertujuan untuk memberikan negara ini sifat dan ciri Muslim yang umumnya bersifat luaran dan untuk upacara rasmi negara [8].

Pendapat ini turut dipersetujui oleh Mohamed Suffian Hashim yang menjelaskan maksud peruntukan tersebut ialah semata-mata untuk upacara seperti membolehkan doa dibacakan di upacara rasmi iaitu semasa pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Hari Kemerdekaan dan lain-lain [9]. Menurut Hashim Yeop Sani (1973) menjelaskan bahawa Perkara 3 itu sangat jelas dan tidak boleh diputarbelitkan lagi bahawa agama negara ialah Islam. Mana-mana tafsiran yang mewujudkan satu percanggahan antara dokumen ciptaan manusia (perlembagaan) dengan perintah Allah (al-Quran dan al-Sunnah), maka tafsiran itu tidak boleh dipakai [10]. Tafsiran ini disokong oleh Ahmad Ibrahim yang mengatakan bahawa apa yang diputuskan oleh Mahkamah Agong dalam kes Che Omar Bin Che Soh v Public Prosecutor mengenai Islam dalam Perkara 3 adalah sama dengan apa yang dimaksudkan oleh pihak yang merangka perlembagaan dan ia adalah akibat pemerintahan langsung oleh British dan wujudnya institusi sekular. Jelas menunjukkan bahawa mahkamah tidak cuba mentafsirkan peruntukan itu dari keadaan perlembagaan yang telah mewujudkan sebuah negara yang merdeka dan bebas dari pengaruh penjajah dahulu, akan tetapi telah menurut tafsiran yang telah terpakai dalam masa penjajahan itu [11].

Malaysia sebagai Sebuah Negara Persekutuan

Di dalam Perlembagaan Persekutuan disebutkan bahawa,

Persekutuan dinamai Malaysia dalam bahasa Melayu dan dalam bahasa Inggeris. Negeri-negeri Persekutuan terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu.

Baca bahagian 2 di sini. 

Rujukan

[1] Zainul Rijal Abu Bakar dan Nurhidayah Muhammad Hashim, Keistimewaan Islam dan Undang-undang Syariah Di Malaysia, (Kuala Lumpur: Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad, 2016), 18.

[2] Ibid., 18-19.

[3] Ahmad Mohamed Ibrahim dan Ahilemah Joned, Sistem Undang-undang di Malaysia Edisi Kedua, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2015), 168-169.

[4] Zainul Rijal Abu Bakar dan Nurhidayah Muhammad Hashim, Keistimewaan Islam dan Undang-undang Syariah Di Malaysia, 15.

[5] Ahmad Mohamed Ibrahim dan Ahilemah Joned, Sistem Undang-undang di Malaysia Edisi Kedua, 169.

[6] Zainul Rijal Abu Bakar dan Nurhidayah Muhammad Hashim, Keistimewaan Islam dan Undang-undang Syariah Di Malaysia, 16.

[7] Nazri Muslim dan Ahmad Hidayat Buang, “Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan Dari Perspektif Hubungan Etnik Di Malaysia,” Jurnal Kemanusiaan Bil 20 (2012): 116, Dilayari pada 14 Disember 2019, ISSN: 1675-1930.

[8] Ibid., 117.

[9] Ibid., 117.

[10] Ibid., 117.

[11] Ibid., 117.

Disunting oleh Adib Yusof

MENGENAI PENGARANG

asha91.selanjuuri@gmail.com | PROFIL | + ARTIKEL TERDAHULU

Ashaari Bin Selamat merupakan lepasan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis. Beliau meneruskan pencarian ilmu dengan Sijil Usuluddin UMCCED (2017) dan memperolehi Diploma Tasawwur Islam (DTI) Institut Latihan Kepemimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM) 2019. Kini, beliau merupakan pelajar separuh masa Diploma Eksekutif Usuluddin UMCCED di Universiti Malaya sejak tahun 2020.

One thought on “Perlembagaan Persekutuan: Suatu Pengenalan (Bahagian 1)”

  1. Pingback: Perlembagaan Persekutuan: Suatu Pengenalan (Bahagian 2) – Angkasfera
  2. Trackback: Perlembagaan Persekutuan: Suatu Pengenalan (Bahagian 2) – Angkasfera

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

16 − fourteen =