Perlembagaan Persekutuan: Suatu Pengenalan (Bahagian 2)

Baca bahagian 1 di sini.

Perlembagaan sebagai Undang-undang Utama Persekutuan

Perkara 4 memperuntukkkan bahawa Perlembagaan ialah undang-undang utama dalam Persekutuan. Pada zahirnya kita boleh menjangka bahawa mana-mana undang-undang yang diperbuat sebelum atau selepas perlembagaan berjalan kuatkuasanya adalah tidak sah setakat mana undang-undang itu berlawanan dengan peruntukan Perlembagaan [12]. Tetapi Perkara 4 sendiri selepas menyatakan bahawa Perlembagaan ialah undang-undang utama dalam Persekutuan memperuntukkan, “dan mana-mana undang-undang yang dibuat selepas Hari Merdeka yang berlawanan dengan Perlembagaan ini, setakat mana yang bertentangan, adalah terbatal [13].”

Peruntukan ini ini tidak menyentuh kedudukan undang-undang yang dibuat sebelum Hari Merdeka dan kesalahan undang-undang itu tertakluk kepada Perkara 162. Perkara ini memperuntukkan bahawa undang-undang itu, “hendaklah sehingga dimansuhkan oleh pihak yang berkuasa berbuat demikian di bawah Perlembagaan ini, terus berkuasa selepas Hari Merdeka, dengan apa-apa ubahsuaian sebagaimana yang dibuat dalamnya di bawah perkara ini dan tertakluk kepada apa-apa pindaan yang dibuat oleh undang-undang Persekutuan atau undang-undag negeri [14].”

Walaubagaimanapun, dalam kes Chia Khin Sze v Menteri Besar Selangor (kes pertama yang dilaporkan berkenaan tafsiran Perlembagaan), Hakim Sutherland dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi, berpendapat bahawa Enakmen Sekatan Kediaman Selangor yang dibuat sebelum Hari Merdeka hendaklah dikenakan dalam keadaannya yang asal sungguhpun Enakmen itu bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan yang berkuat kuasa pada dan selepas Hari Merdeka [15]. Pendapat ini dikatakan tidak benar. Dalam kes Aminah v Superitendent of Prison of Pengkalan Chepa, Hakim Wan Sulaiman berpendapat bahawa Enakmen Sekatan Kediaman hendaklah dikenakan tertakluk kepada peruntukan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan dan hendaklah dimasukkan di dalam Enakmen itu hak seorang yang ditangkap untuk diberitahu dengan seberapa segera yang boleh sebab-sebab dia ditangkap. Pendapat itu telah disahkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Assa Singh v Menteri Besar Johor yang memutuskan bahawa Enakmen Sekatan Kediaman itu hendaklah dikenakan dengan apa-apa ubahsuai sebagaimana yang perlu. Ubahsuai ini perlu untuk menyelaraskannya dengan peruntukan Perlembagaan dan peruntukan-peruntukan dalam Fasal (3) dan (4) Perkara 5 Perlembagaan. Peruntukan itu hendaklah dimasukkan di dalam peruntukan-peruntukan enakmen [16].

Berkenaan dengan negeri-negeri Malaysia Timur, Seksyen 73 Akta Malaysia memperuntukkan bahawa semua undang-undang yang ada termasuk undang-undang sesebuah negeri di Malaysia Timur, yang diluluskan pada atau sebelum Hari Malaysia, hendaklah terus berkuat kuasa mengikut maksudnya dan diertikan seolah-olah Akta Malaysia itu tidak diluluskan. Tetapi, undang-undang seperti itu menjadi batal, oleh kerana sebab-sebab lain daripada sebab ketidakselarasan dengan Perlembagaan [17].

Pengasingan Kuasa Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman

Di dalam Perlembagaan terkandung idea pengasingan kuasa sebagaimana doktrin itu diikuti di England. Peruntukan untuk menjamin kebebasan kehakiman yang dimasukkan dalam Perlembagaan yang asal menyebabkan kuasa perlantikan hakim-hakim selain daripada Hakim Besar tidak diserahkan kepada kerajaan, tetapi diserahkan kepada Perdana Menteri oleh Akta Perlembagaan (Pindaan) 1960. Sepertimana amalan di England perkhidmatan awam dikeluarkan daripada pengaruh politik dan perhubungan antara badan yang memerintah dan badan yang membuat undang-undang dipandu oleh konvensyen perlembagaan iaitu berhubung dengan tanggungjawab menteri-menteri [18].

Raja Berperlembagaan

Sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan, maka diperuntukkan oleh Perlembagaan, institusi Yang Di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu di sembilan buah negeri dan Majlis Raja-raja. Raja-raja Melayu adalah diberi kuasa untuk memelihara adat istiadat orang Melayu dan pentadbiran agama Islam di negeri masing-masing. Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong adalah Ketua agama Islam bagi negeri-negeri Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah-wilayah Persekutuan. Seri Paduka Yang Di-Pertuan Agong adalah pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Negara. Baginda menjalankan tugas-tugas di bawah Perlembagaan mengikut nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri. Raja-raja pula menjadi Ketua Negeri dan menjalankan tugas mengikut nasihat Menteri Besar masing-masing [19].

Demokrasi Berparlimen

Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Perlembagaan Persekutuan telah digubal dengan mengadakan syarat-syarat sedemikian untuk membolehkan pelaksanaan sistem ini. Salah satu kriteria sistem Demokrasi Berparlimen adalah pembahagian kuasa kepada tiga bahagian di dalam pemerintahan iaitu Perundangan, Kehakiman dan Eksekutif (pentadbiran) [20].

Badan Kehakiman yang Terpisah daripada Pengasingan Parlimen dan Eksekutif

Terdapat suatu sahaja kehakiman Persekutuan yang mentadbirkan undang-undang Persekutuan dan undang-undang negeri bagi semua negeri-negeri Persekutuan; dan oleh kerana ketiadaan mahkamah awam negeri, maka tidak timbul masalah bidang kuasa mahkamah Persekutuan. Tetapi kita dapati ada badan-badan perundangan Persekutuan dan negeri-negeri dan badan-badan pemerintah Persekutuan dan negeri-negeri. Dengan demikian, Perlembagaan menyatakan pembahagian perundangan dan kuasa pemerintahan yang berkaitan dengannya.

Kuasa kehakiman (iaitu kuasa membicarakan dan menyelesaikan pertikaian dan membicarakan kesalahan serta menghukum pesalah yang diperuntukkan dalam Perkara 121 (1). Mahkamah mempunyai ketinggiannya yang tersendiri dari aspek berikut:

  • Mempunyai kuasa mentafsir Perlembagaan.
  • Mempunyai kuasa mentafsirkan sesuatu undang-undang.
  • Mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan sesuatu undang-undang kerajaan sebagai tidak sah di sisi undang-undang.
  • Mempunyai kuasa mengisytiharkan sesuatu undang-undang bertulis persekutuan atau negeri sebagai tidak sah.

Kesimpulan

Dewasa ini semakin ramai masyarakat yang ingin mengetahui pelbagai aspek undang-undang dek kerana peristiwa yang berlaku. Maka, pengetahuan melalui pengenalan asas dalam bidang perundangan ini sangat perlu diperkenalkan dalam masyarakat agar masyarakat sama-sama mengetahui keistimewaan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi kerangka asas pembentukan negara Malaysia ini.

Rujukan

[12] Ahmad Mohamed Ibrahim dan Ahilemah Joned, Sistem Undang-undang di Malaysia Edisi Kedua, 166.

[13] Ibid., 166.

[14] Ibid., 166.

[15] Ibid., 167.

[16] Ibid., 167-168.

[17] Ibid., 168.

[18] Ibid., 169.

[19] https://www.parlimen.gov.my/index.php?modload=content&action=001&id=23&uweb=web&_print=true,  Dilayari pada 18 Disember 2019.

[20] https://www.parlimen.gov.my/index.php?modload=content&action=001&id=23&uweb=web&_print=true,  Dilayari pada 18 Disember 2019.

Disunting oleh Adib Yusof

MENGENAI PENGARANG

asha91.selanjuuri@gmail.com | PROFIL | + ARTIKEL TERDAHULU

Ashaari Bin Selamat merupakan lepasan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis. Beliau meneruskan pencarian ilmu dengan Sijil Usuluddin UMCCED (2017) dan memperolehi Diploma Tasawwur Islam (DTI) Institut Latihan Kepemimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM) 2019. Kini, beliau merupakan pelajar separuh masa Diploma Eksekutif Usuluddin UMCCED di Universiti Malaya sejak tahun 2020.

One thought on “Perlembagaan Persekutuan: Suatu Pengenalan (Bahagian 2)”

  1. Pingback: Perlembagaan Persekutuan: Suatu Pengenalan (Bahagian 1) – Angkasfera
  2. Trackback: Perlembagaan Persekutuan: Suatu Pengenalan (Bahagian 1) – Angkasfera

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

4 × five =