Pentafsiran al-Quran berperanan mendedahkan kandungan al-Quran al-Karim. Para ulama telah menggunakan tiga kaedah utama pentafsiran al-Quran iaitu; al-Tafsir bi al-Ma’thur, al-Tafsir bi al-Ra’yi dan al-Tafsir bi al-Isyarah. Majoriti ulama berpendapat bahawa tafsiran al-Quran secara ma’thur adalah kaedah yang terbaik untuk memahami isi kandungan al-Quran. Ia wajar diikuti kerana mengandungi maklumat yang benar dan merupakan jalan yang paling selamat dalam memelihara diri daripada tergelincir ke arah kesesatan dalam memahami kalam Allah s.w.t.
Menurut kesepakatan ulama, tidak harus ditolak pentafsiran sahabat yang merupakan klasifikasi daripada tafsiran al-Quran secara ma’thur bahkan wajar diambil oleh mufassir tanpa disembunyikannya. Para sahabat telah mendengar al-Quran dari peringkat permulaan, menyaksikan penurunan al-Quran dan menerima daripada Rasulullah s.a.w. Terdapat pelbagai kitab-kitab tafsir karangan para ulama terdahulu yang cukup terkenal dalam dunia Islam seperti Jami’ al-Bayan fi Tafsir al-Quran oleh Abu Ja’far Muhammad bin Jarir al-Tabari (m. 310H), Tafsir al-Quran al-‘Azim oleh Ibn Abi Hatim al-Razi (m. 327H), Ma’alim al-Tanzil oleh Abu Muhammad al-Husayn bin Mas’ud al-Baghawi (m. 516H), Tafsir al-Kabir oleh Fakhr al-Din al-Razi (m. 606H), al-Jami’ li Ahkam al-Quran wa al-Mubayyin Lima Tadhammanahu Min al-Sunnah wa Aiy al-Furqan oleh al-Qurtubi (m. 671H), Tafsir al-Quran al-‘Azim oleh Ibn Kathir (m. 774H), al-Dur al-Manthur fi al-Tafsir bi al-Ma’thur oleh Jalal al-Din al-Suyuti (m. 911H) dan banyak lagi yang telah menjadi rujukan penting ulama Islam kemudian.
Menurut Ismail Yusoff (1995) pengajian al-Quran dan tafsir di Malaysia sudah bermula sejak lama dahulu, sama ada secara formal dan tidak formal. Pengajian bermula di rumah-rumah tok guru, surau, madrasah, masjid dan sebagainya. Pengajian berkenaan al-Quran lebih rasmi dan tersusun apabila sistem pengajian pondok diadakan di Malaysia dan dipelajari pula di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi.

Gambaran pengajian al-Quran di sekolah pondok di Malaysia. Sumber: https://www.bharian.com.my.
Oleh kerana al-Quran adalah sumber hidayah dan sumber pertama yang mengandungi keterangan-keterangan mengenai panduan hidup umat Islam, maka al-Quran perlu dibaca, dipelajari dan difahami isi kandungannya supaya matlamatnya dapat dicapai serta segala apa yang dituntut di dalamnya mudah dilaksanakan.
Kepentingan pengajian al-Quran telah terbukti sejak dari awal sejarah Islam lagi. Rasulullah s.a.w. sendiri telah banyak mentafsir ayat-ayat al-Quran kepada sahabat Baginda s.a.w. terutama ketika Baginda ditanya oleh mereka apabila mereka tidak memahami atau tidak dapat menentukan makna sesuatu ayat. Begitu juga para sahabat, mereka pernah saling bertanya sesama mereka apabila tidak memahami sesuatu ayat al-Quran walaupun al-Quran dalam bahasa mereka sendiri.
Mengikut catatan sarjana, penulisan karya-karya tafsir di Malaysia merupakan kesinambungan daripada pengajian tafsir yang diadakan di masjid, pondok dan institusi pengajian formal. Dengan adanya institusi-institusi pengajian Islam sama ada di dalam atau di luar negara, maka lahirlah ramai ilmuwan yang menguasai bidang keilmuan Islam termasuklah ilmu tafsir sehingga mereka dapat menghasilkan karya-karya tafsir baik secara bersendirian mahupun berkumpulan. Perkara ini dibuktikan menerusi kajian Ismail Yusoff (1995) dan Mazlan Ibrahim (2007) yang menyatakan bahawa kebanyakan mereka adalah graduan Universiti Timur Tengah seperti Mekah, Madinah, Pakistan, India dan lain-lain lagi.
Justeru, pengaruh daripada institusi-institusi tersebut telah mewarnai kepelbagaian corak pentafsiran al-Quran yang dibawa oleh mereka. Hal ini bertepatan kerana mengikut kajian Norhasnira (2013) usaha-usaha pentafsiran al-Quran di Malaysia pada abad ke-21 diteruskan oleh ulama kontemporari malahan kebanyakan mereka masih aktif dalam usaha untuk menyebarkan ilmu agama sehingga hari ini. Kesan daripada hal ini memperlihatkan bahawa karya-karya tafsir di Malaysia telah dihasilkan oleh ramai cendekiawan Islam dengan pelbagai aliran sesuai dengan latar belakang pendidikan masing-masing.
Baca Bahagian 2 dan Bahagian 3 di sini.
Rujukan
- Ismail Yusoff. “Perkembangan Penulisan dan Terjemahan Kitab-kitab Tafsir di Malaysia”. Jurnal Islamiyyat 16. 1995.
- Muhammad Yusry Affandy Bin Md Isa. Metodologi Pentafsiran Aliran Fiqh: Kajian Terhadap Ayat-Ayat Hukum Ibadat Dalam Tafsir al-Azhar. Tesis PhD. Universiti Sains Malaysia. 2017.
- Siti Nor Hanani, Tafsir al-Quran Tempatan Serta Metodologi Penafsiran dan Penulisannya. Open Unversiti Malaysia. 2017.
- Siti Wahidah binti Mustapa & Muhd Najib bin Abdul Kadir. “Corak Penulisan Tafsir di Malaysia Abad Ke-21 (2001-2005)”. Jurnal al-Turath; Vol 2, No 1. 2017: 28. e-ISSN 0128-0899.
Disunting oleh Izzati Rosli
MENGENAI PENGARANG
Ashaari Bin Selamat merupakan lepasan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis. Beliau meneruskan pencarian ilmu dengan Sijil Usuluddin UMCCED (2017) dan memperolehi Diploma Tasawwur Islam (DTI) Institut Latihan Kepemimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM) 2019. Kini, beliau merupakan pelajar separuh masa Diploma Eksekutif Usuluddin UMCCED di Universiti Malaya sejak tahun 2020.
One thought on “Sejarah Khazanah Tafsir Di Alam Melayu : Suatu Sorotan (Bahagian 1)”