Tanaman Kenaf: Lubuk Pertanian Pelbagai Guna di Malaysia

Malaysia merupakan bumi bertuah yang mempunyai tanah yang subur untuk pelbagai jenis tanaman. Di antara tanaman terkenal di negara ini termasuklah kelapa sawit, getah, kayu, padi, buah-buahan tropika, dan lain-lain. Selain daripada itu, terdapat satu tanaman yang mempunyai peranan besar dalam perusahaan negara iaitu tanaman kenaf. Kenaf, atau nama saintifiknya Hibiscus cannabinus, merupakan tanaman yang diperkenalkan di Malaysia secara komersial melalui Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) pada awal 2000-an untuk memberi nilai tambah kepada perusahaan pertanian di negara ini. Kenaf mengambil tempoh kurang daripada enam bulan untuk mencapai tahap matang. Selain daripada LKTN, pelbagai institusi dan badan kerajaan seperti UPM, MARDI, dan FRIM yang telah berkerjasama dalam membuat kajian dan mengawal selia penanaman tanaman perusahaan ini. Antara contoh potensi kenaf adalah sebagai sumber makanan ternakan (livestock feed) dan sebagai asas serabut (fiber).

Kandungan protein dalam kenaf menjadikannya sesuai sebagai sumber makanan ternakan berprotein tinggi. Nisbah protein dalam kenaf boleh diterjemahkan sebagai protein tambahan dalam pelbagai bentuk makanan ternakan – pelet, silaj, kiub, jerami – yang sesuai untuk dicampurkan dengan makanan asas untuk ternakan di Malaysia. Pemprosesan kenaf sebagai sumber makanan ternakan perlu mengambil kira umur tanaman, teknik potongan, campuran bahan, serta pembungkusan dan penyimpanan. Makanan ternakan merupakan komponen penting dalam memastikan rantaian bekalan makanan negara kekal stabil, sihat, dan berterusan.

Tanaman kenaf sesuai dijadikan sumber protein untuk makanan ternakan di Malaysia. Sumber gambar hiasan: pixabay.com

Kenaf mempunyai batang yang sesuai sebagai sumber serabut (fiber) yang dituai melalui proses pengeretan (retting process). Secara amnya, pengeretan melibatkan proses pengasingan dan pemecahan batang kenaf – menggunakan mikroorganisma dan kelembapan (microorganisms and moisture) – yang akhirnya meninggalkan bahagian serabut sahaja. Serabut yang dituai daripada kenaf mempunyai kegunaan dalam penghasilan produk mesra alam seperti produk biokomposit (biocomposite) dan pelbagai perkakas rumah termasuk perabot dan bingkai gambar. Selain daripada itu, batang kenaf sesuai untuk dijadikan bahan asas penghasilan kertas berkualiti tinggi, di samping mempunyai potensi dalam nilai bioperubatan yang wajar diterokai dengan lebih lanjut.

Barangan rumah seperti perabot dan bingkai gambar boleh menjadi produk hiliran kenaf yang mampu menjana pendapatan berterusan. Sumber gambar hiasan: unsplash.com

Harga tembakau tempatan kurang kompetitif jika dibandingkan dengan sumber tembakau eksport. Projek tanaman kenaf yang banyak dipelopori di kawasan pantai timur semenanjung (Pahang, Terengganu, Kelantan) mampu menggantikan tembakau dan telahpun memberi sumber pendapatan negara bernilai sekurang-kurangnya RM300 juta (pada tahun 2020). Tidak hairanlah semakin banyak usahasama dijalankan pelbagai sektor dalam menggiatkan lagi penanaman kenaf di Malaysia. Di samping meluaskan lagi kawasan penanaman dan pemprosesan kenaf, kita mampu memperkasakan lagi penghasilan produk hiliran yang memberi nilai tambah yang berganda. Sekiranya produk hiliran berasaskan kenaf mampu mendapat tempat dalam pasaran, maka tanaman ini akan mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu komoditi yang lumayan kepada negara.

Rujukan

Disunting oleh Ismatul Nisak

MENGENAI PENGARANG

shakir.yusop@gmail.com + ARTIKEL TERDAHULU

Shakir memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi) daripada Durham University, UK. Pernah berkhidmat sebagai penyelidik sambilan di Fakulti Sains & Teknologi, UKM membantu dalam aspek pencirian bahan elastin dari poltri. Kini merupakan seorang pembantu penyelidik siswazah di INBIOSIS, UKM.

One thought on “Tanaman Kenaf: Lubuk Pertanian Pelbagai Guna di Malaysia”

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

sixteen − 7 =