Teknologi Pertanian di Asia Tenggara dalam Era Digital

Pertanian ialah sektor yang penting dalam ekonomi negara-negara Asia Tenggara. Pada tahun 2020, pertanian menyumbang sekitar 11% nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi ASEAN. Sektor utama ini turut menyumbang kepada peluang pekerjaan untuk rakyat di negara masing-masing.

Cabaran utama yang didepani sektor pertanian ialah perubahan iklim. Dalam rantau ini sahaja, bencana alam berkaitan perubahan iklim telah memberi kesan kepada perusahaan tanaman dan ternakan yang mengalami kerugian bernilai sekurang-kurangnya USD21 bilion dari 2008 hingga 2018. Tambahan pula, pandemik COVID-19 telah merencatkan bekalan tenaga kerja dan mengganggu rantaian bekalan global. Pada tahun 2020, wabak tersebut telah menyebabkan pengurangan penghasilan pertanian sekitar 3.1% yang mencerminkan pengurangan KDNK sebanyak 1.4% (USD3.76 bilion) di rantau Asia Tenggara. Walaubagaimanapun, perusahaan pertanian di rantau ini telahpun mula mengamalkan inovasi dan teknologi terbaharu terutamanya dalam perusahaan tanaman bandar dan luar bandar.

Antara contoh terkemuka teknologi baru ialah penggunaan telefon pintar untuk mengurus tanaman melalui kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan analisis data raya (big data). Selain itu, penggunaan dron juga semakin mendapat tempat terutamanya dalam kalangan pekebun kecil untuk membantu melicinkan proses penanaman sekali gus berpotensi meningkatkan hasil tanaman. Hal ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi, malah melipatgandakan pendapatan para pekebun kecil dalam rantau ini.

Sebuah syarikat di Vietnam, MimosaTEK, menggunakan teknologi berasaskan pengkomputeran awan (cloud computing) dan penderia (sensor) yang bertujuan membantu pekebun kecil di negara tersebut untuk memantau tanaman mereka. Syarikat tersebut menggunakan Internet Benda (IB) (Internet of Things) untuk membangunkan sebuah sistem pengairan pintar yang mengambil kira keadaan cuaca supaya penggunaan air untuk tanaman pekebun kekal pada tahap optimum. Penggunaan teknologi ini semakin mendapat tempat di Vietnam dan berpotensi untuk digunakan pada keseluruhan kawasan sekitar Delta Mekong.

Penggunaan dron dalam pertanian mempunyai pelbagai fungsi termasuklah ramalan cuaca, pengawasan dan pemetaan kawasan tanaman, pengurusan bencana, serta penilaian kerosakan tanaman. Poladrone ialah sebuah syarikat pemula berpengkalan di Malaysia yang terlibat dalam penyelesaian masalah perosak untuk tanaman kelapa sawit. Syarikat ini menyediakan dron yang bukan sahaja mampu menyembur racun perosak secara tepat, malah mengurangkan pendedahan pekerja tanaman dengan racun perosak.

Penggunaan dron mampu membantu petani dan pekebun untuk menguruskan tanaman dengan lebih cekap. Sumber: pixabay.com

Semakin ramai yang menyedari akan kepentingan teknologi digital sebagai usaha untuk memperkukuh daya tahan petani dan pekebun dalam mendepani cabaran perubahan iklim dan COVID-19. Kedua-dua cabaran ini juga telah membuka mata banyak pihak berkenaan kepentingan dan potensi pertanian dalam bandar. Kebun dalam bandar mampu memperkasakan sumber bekalan makanan terutamanya dalam bandar yang mempunyai kebergantungan tinggi terhadap bekalan atau import dari luar. Sekiranya berlaku gangguan kepada rantaian bekalan makanan, kebun-kebun dalam bandar ini bertindak sebagai penampan dalam pasaran bekalan makanan.

Pertanian dalam bandar sinonim dengan sistem pertanian tanpa tanah sebagai contoh hidroponik dan aeroponik. Kedua-dua teknik ini bukan sahaja membolehkan pekebun bandar menanam pelbagai jenis sayuran dengan penghasilan yang tinggi, malah mampu mengurangkan masalah berkaitan penyakit dan perosak tanaman yang melibatkan penggunaan tanah. Tambahan pula, teknik pertanian ini sesuai digabungkan dengan konsep pertanian pintar yang menggunapakai teknologi digital seperti cahaya LED, penderia, dan teknologi IB. Bukan itu sahaja, pekebun juga boleh menggunakan platform atas talian untuk menjual terus hasil tanaman mereka kepada pelanggan. Banyak syarikat pemula yang telah menjalankan pendekatan sedemikian seperti contoh syarikat Sustenir dan Urban Tiller yang berpangkalan di Singapura, serta Sayurbox yang berpangkalan di Indonesia. Di Malaysia juga tidak kurang hebatnya dengan syarikat BoomGrow dan The Vegetable Co.

 

Penggunaan teknologi moden mampu memberi nilai tambah kepada tuaian hasil tanaman, sekali gus menjadikannya pelaburan yang penting dalam perusahaan pertanian. Sumber: pixabay.com

Kesimpulannya, rantau Asia Tenggara diramal bakal menjadi pasaran utama untuk pelaburan melibatkan teknologi pertanian. Dengan peningkatan kadar populasi di rantau tersebut dan benua Asia secara amnya, pemegang-pemegang taruh dalam rantau ini mampu menjadi pemangkin utama yang memacu permintaan dan penawaran dalam pasaran bekalan makanan. Malaysia wajar mengorak langkah untuk terus mengekalkan momentum supaya dapat menjadi pemain utama dalam pasaran terbaharu ini.

Nota Pengarang

Diterjemah dan diolah daripada artikel “The future of agrifood tech in Southeast Asia: Agriculture in the digital decade”.

Rujukan

Disunting oleh Mira Ashikin

MENGENAI PENGARANG

shakir.yusop@gmail.com + ARTIKEL TERDAHULU

Shakir memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi) daripada Durham University, UK. Pernah berkhidmat sebagai penyelidik sambilan di Fakulti Sains & Teknologi, UKM membantu dalam aspek pencirian bahan elastin dari poltri. Kini merupakan seorang pembantu penyelidik siswazah di INBIOSIS, UKM.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

three × three =