Sri Lanka, yang pernah dikenali sebagai Ceylon, merupakan sebuah negara pulau di Asia Selatan yang terletak di Lautan Hindi. Kini, negara ini berada di dalam cabaran ekonomi yang semakin dahsyat; dianggap bermula disebabkan oleh janji pelaksanaan dasar polisi yang dangkal dan tidak terancang. Baru-baru ini, pentadbiran Sri Lanka telah melaksanakan polisi berkaitan pertanian yang dianggap moden, tetapi telah memberikan kesan yang teruk kepada semua pihak berkepentingan. Dasar ini melibatkan peralihan daripada teknik pertanian konvensional (penggunaan baja kimia dan racun sintetik) kepada pertanian organik (contoh termasuklah penggunaan baja najis) secara sepenuhnya. Pada April 2021, Sri Lanka telah menyekat kemasukan import serta penggunaan baja dan racun perosak sintetik, sekali gus secara tidak langsung mengarahkan hampir dua juta petani di seluruh negara untuk menerapkan teknik pertanian organik serta-merta.
Kesan polisi ini dirasai dengan pantas. Jangkaan bahawa teknik organik mampu menghasilkan pengeluaran yang cukup untuk menggantikan teknik konvensional ternyata meleset sama sekali; pengeluaran beras tempatan jatuh sebanyak 20% dalam hanya enam bulan pertama pelaksanaan polisi ini. Sri Lanka, yang telah pun mencapai status mampu-diri (self-sufficient) sebelum ini, terpaksa mengimport beras bernilai kira-kira $450 juta ke dalam pasaran tempatan. Tambahan pula, harga jualan beras meningkat sebanyak 50% berbanding sebelum ini. Selain daripada beras, pelaksanaan dasar ini juga telah memberi kesan yang teruk kepada tanaman teh yang merupakan sumber eksport utama dan pertukaran nilai matawang asing.
Tiga faktor utama – bantahan daripada golongan petani, peningkatan kadar inflasi tidak terkawal, dan nilai mata wang Sri Lanka yang semakin lemah – telah menyumbang kepada pembalikan polisi tersebut. Pada awal tahun 2022, kerajaan Sri Lanka terpaksa membenarkan semula penggunaan baja secara bersasar untuk tanaman penting seperti teh, getah, dan kelapa. Pentadbiran negara itu juga telah menawarkan bantuan bernilai sehingga $200 juta kepada para petani berserta $149 juta nilai subsidi untuk petani beras yang mengalami kerugian. Walaubagaimanapun, nilai pampasan ini masih tidak cukup untuk menebus ganti rugi keseluruhan akibat polisi tersebut, lebih-lebih lagi dalam sektor penanaman teh yang dianggarkan mengalami kerugian bernilai sekurang-kurangnya $425 juta. Ternyata, dasar pertanian ini telah mengakibatkan kemerosotan ekonomi yang besar kepada Sri Lanka.
Polisi yang dilaksanakan secara semberono ini juga dianggap telah memberi kesan sosioekonomi yang teruk kepada rakyat Sri Lanka. Kelas pertengahan atas (upper-middle-income) semakin menguncup yang menyaksikan lebih kurang 500,000 rakyat kembali tergolong di bawah garis kemiskinan. Kadar inflasi dan nilai matawang yang merudum telah mengakibatkan harga-harga barang termasuk makanan dan bahan api meningkat di luar kemampuan rakyat.
![](https://angkasfera.com/wp-content/uploads/2022/03/Picture1-1.jpg)
Golongan petani yang biasa menggunakan kaedah konvensional perlu diberi latihan dan tempoh percubaan yang cukup sebelum pelaksanaan kaedah organik. Sumber gambar hiasan: unsplash.com
Krisis ini, yang kononnya berteraskan usaha murni berasaskan pertanian lestari (sustainable agriculture), boleh dianggap berpunca daripada kegagalan pihak bertanggungjawab untuk melaksanakan analisis risiko dasar dalam konteks bidang pertanian. Penilaian risiko impak sekatan penggunaan baja seharusnya dinilai secara menyeluruh, terutamanya kesan kepada pemegang taruh (stakeholders) dalam rantaian bekalan seperti petani, pengeluar, pembekal, dan lain-lain. Ketidakupayaan pihak bertanggungjawab untuk memperhalusi dan melaksanakan polisi yang bernas ternyata memberi kesan mendadak kepada keseimbangan ekonomi dan sosial rakyat dalam sesebuah negara.
Sehingga kini, pertanian berskala besar masih bergantung kepada bahan kimia seperti baja dan racun perosak. Penggunaan bahan ini, dalam kadar yang selamat, adalah masih penting dalam memastikan pengeluaran hasil tanaman dapat memenuhi permintaan pasaran secara mapan. Golongan petani – sangat arif dalam penggunaan bahan konvensional ini untuk memastikan sumber pendapatan mereka berterusan – tidak seharusnya dipaksa untuk bertukar ke arah tanaman organik yang tidak stabil dari sudut hasil pengeluarannya. Sebaliknya, kebergantungan kepada bahan kimia hanya boleh digantikan dengan teknologi dan inovasi baharu pertanian, bukannya digantikan dengan teknik organik yang berdasarkan penggunaan pendekatan semula jadi semata-mata. Sekiranya sesuatu pendekatan pertanian itu adalah tidak sesuai serta tidak mampu untuk memenuhi pasaran tempatan dan antarabangsa secara meluas, maka mana-mana negara wajar mengambil teladan daripada kemelut pertanian di Sri Lanka. Semoga negara Asia Selatan itu dapat mengatasi keadaan ini dengan berhemah dan jayanya.
Disunting oleh Mustaqim Azman
MENGENAI PENGARANG
Shakir memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi) daripada Durham University, UK. Pernah berkhidmat sebagai penyelidik sambilan di Fakulti Sains & Teknologi, UKM membantu dalam aspek pencirian bahan elastin dari poltri. Kini merupakan seorang pembantu penyelidik siswazah di INBIOSIS, UKM.
One thought on “Krisis Ekonomi Akibat Pelaksanaan Pertanian Organik di Sri Lanka”