Antara Dua Darjat: Isi dan Kerak Bumi

Browse By

Apakah yang disebutkan sebagai ketakselanjaran Mohorovicic? Ketakselanjaran Mohorovicic (Mohorovicic discontinuity) atau Moho merujuk kepada sempadan di antara kerak bumi dan mantel. Moho memisahkan kedua-dua kerak lautan dan kerak benua dari mantel atas. Kedudukan Moho di dalam sistem bumi terletak hampir keseluruhan di kawasan litosfera iaitu di bawah permatang tengah lautan (mid-ocean ridge) yang menentukan sempadan litosfera-astenosfera. Dalam bidang geologi, istilah “ketakselanjaran” merujuk kepada permukaan bumi yang mengalami perubahan halaju (velocity) dalam gelombang seismik. Permukaan seperti ini dibuktikan dengan penemuan permukaan bumi yang terletak pada purata kedalaman 8 km di bawah lembangan lautan (ocean basin) dan 32 km di bawah kerak benua. Pada ketakselanjaran inilah gelombang seismik mula memecut menandakan berlakunya perubahan komposisi permukaan. Rajah di bawah menunjukkan kawasan di mana letaknya ketakselanjaran Mohorovicic.

Ilustrasi menunjukkan struktur dalaman bumi di mana kawasan merah adalah ketakselanjaran Mohorovicic. Sumber: yudi81.files.wordpress.com

Jadi bagaimana Moho dijumpai? Ketakselanjaran Mohorovicic ditemui pada tahun 1909 oleh seorang ahli seismologi dari Croatia, Andrija Mohorovicic. Mohorovicic mendapati halaju gelombang seismik bergantung kepada ketumpatan bahan yang dirambat (propagate). Beliau merumuskan pecutan gelombang seismik yang diperhatikan di dalam petala luar Bumi (Earth’s outer shell). Pecutan (acceleration) yang berlaku berpunca dari bahan yang mempunyai ketumpatan (density) yang tinggi pada kedalaman tersebut. Kini bahan di bawah permukaan bumi yang mempunyai ketumpatan yang rendah dirujuk sebagai kerak Bumi (Earth’s crust). Bahan di bawah permukaan bumi yang mempunyai ketumpatan yang tinggi pula disebut sebagai mantel Bumi (Earth’s mantle). Melalui pengiraan ketumpatan yang dilakukan oleh Mohorovic, beliau telah menentukan bahawa kerak lautan basalt dan kerak bumi granitik dilapisi oleh bahan yang mempunyai ketumpatan sama seperti batuan kaya-olivin seperti peridotit.

Kawasan Moho menunjukkan petanda paras bawah kerak bumi. Seperti yang dinyatakan penulis di bahagian awal pengenalan ketakselanjaran Mohorovicic, kawasan ini berlaku pada kedalaman 8 km di bawak lembangan lautan dan 32 km di bawah permukaan benua. Melalui penemuan ini juga, Mohorovicic mampu mengkaji ketebalan kerak bumi yang pelbagai. Beliau menemui bahawa kerak lautan mempunyai  ketebalan yang sekata secara sejajar tetapi lain pula bagi kerak benua yang tebal di bawah kawasan pergunungan dan nipis di bawah permukaan yang rata. Peta di bawah pula menjelaskan keadaan ketebalan kerak bumi.

Lihat pada rajah di bawah, kawasan yang mempunyai ketebalan yang tinggi (warna merah dan perang gelap) terletak pada sebahagian kawasan pergunungan yang penting di bumi seperti Pergunungan Andes (kawasan bahagian barat Amerika Selatan), banjaran Rocky (barat Amerika Utara), pergunungan Himalaya (bahagian utara India di Asia Tenggara), dan pergunungan Ural (arah utara-selatan antara Eropah dan Asia).

Peta ketebalan kerak bumi. Oleh kerana Moho berada di dasar kerak, peta juga menunjukkan kedalaman ke Moho.

Jadi persoalan yang menarik ingin ditanya penulis, adakah ketakselanjaran Mohorovicic ini pernah dilihat oleh manusia? Ketakselanjaran Mohorovicic ini hanyalah teori yang dibentuk oleh Mohorovicic disebabkan penemuannya terhadap perbezaan gelombang seismik pada bacaan seismograf. Tiada siapa pernah melihat Moho secara jelas kerana tiada penggerudian (drilling) yang berjaya menggerudi sehingga kedalaman yang mencapai ke Moho. Penggerudian untuk mencapai kedalaman Moho akan mengeluarkan kos yang terlalu tinggi di samping penggerudian  pada kedalaman tersebut amat berisiko kerana perlu mengambil kira faktor perubahan cuaca yang melampau dan tekanan di dalam lubang gerudi. Penggerudian yang paling dalam pernah dilakukan oleh manusia adalah di Semenanjung Kola yang terletak di Rusia. Penggerudian yang dijalankan hanya mencapai kedalaman 12 km sedangkan pada kawasan kerak benua, purata kedalaman Moho adalah 32 km. Penggerudian yang dijalankan melalui kerak lautan juga tidak membuahkan hasil dan menutup ruang untuk menemui Moho.

Namun begitu, perkara yang menarik perhatian tentang kewujudan Moho ini adalah dengan penemuan bahan-bahan dari mantel bumi. Terdapat beberapa lokasi langka (rare) di mana bahan tersebut dibawa ke permukaan akibat daripada kesan tektonik (tectonic). Kawasan tersebut merupakan kawasan di mana batuan tersebut pernah menjadi sempadan kerak/mantel ditemui. Gambar di bawah menunjukkan batuan yang dijumpai pada kawasan langka akibat kesan tektonik. Walaupun secara nyata tiada sesiapa yang pernah melihat kawasan Ketakselanjaran Mohorovicic ini, tetapi dengan penemuan batuan di mana cirian asalnya adalah seperti bahan di Moho, konsep Moho akan diguna pakai untuk waktu yang lama.

Ilustrasi menunjukkan batuan mantel di permukaan. Ordovisi ofiolit di Taman Negara Gros Morne, Newfoundland, Kanada. Batuan mantel kuno yang terdedah di permukaan. Sumber: domoregooddeeds.files.wordpress.com

Rujukan

https://agupubs.onlinelibrary.wiley.com/doi/pdf/10.1029/TR039i005p00947
https://yudi81.wordpress.com/2010/11/15/sekilas-tentang-diskontinuitas-mohorovicic-mohorovicic-discontinuity/
http://geocemerlang.blogspot.com/2011/06/unit-1-sistem-bumi.html
http://daily-helper.com/ml/253436
https://en.wikipedia.org/wiki/Mohorovi%C4%8Di%C4%87_discontinuity

One thought on “Antara Dua Darjat: Isi dan Kerak Bumi”

  1. yiippppppussy says:

    info sangat bagus mudah difahami dan sangat banyak info

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

5 × one =