Permata dari Angkasa

Dahulu kala, batuan yang jatuh dari langit akan menimbulkan perasaan takut kepada manusia. Namun begitu, terdapat segelintir daripada mereka yang terpesona dengan kejadian ini. Terbit perasaan ingin tahu akan keadaan dan asal usul batuan dari angkasa sekaligus menambah ilmu sains dalam diri mereka.

Batuan dari angkasa yang sering dijadikan permata adalah meteorit dan impaktit (impactite) (batuan yang terubah akibat dari hempasan meteorit) kerana batuan ini mempunyai saiz yang sangat kecil dan cukup menarik untuk digunakan. Meteorit besi adalah aloi besi dan nikel yang boleh dipotong dan digilap menjadi permata yang indah atau dihiasi dengan bahagian logam perhiasan. Sebagai contoh, palasit (pallasite) adalah meteorit yang mengandungi kristal peridot (olivin) yang berwarna-warni yang boleh dipotong menjadi permata. Impaktit pula seringkali berbentuk kekaca yang berwarna-warni yang boleh dipotong menjadi kaboson (cabochon) atau diukir menjadi bentuk yang kecil.

Walaupun batuan dari angkasa ini sangat jarang untuk didapati dan dimiliki, namun harganya di pasaran adalah lebih rendah berbanding dengan harga permata yang popular di pasaran. Perkara ini berlaku kerana kebanyakan orang tidak begitu kenal dengan permata dari batuan angkasa, maka ianya tidak menjadi permintaan yang tinggi di kedai barang kemas.  Di samping itu, bekalan bahan-bahan ini sangat sedikit serta sifatnya yang mudah pecah menyebabkan ianya tidak boleh diletakkan secara berlonggok.

Penyelidik mendapati bahawa beberapa meteorit sarat dengan berlian bersaiz nanometer pada tahun 1980-an

Bahan batuan angkasa yang mempunyai kualiti yang bermutu tinggi kebiasaannya akan dijadikan perhiasan kepada batuan permata yang terhasil di bumi untuk menjadikan permata itu unik. Batuan angkasa yang mempunyai kualiti sederhana atau rendah pula akan dijual di pasaran untuk dijadikan koleksi kepada peminat batu angkasa ini.

Namun begitu, permintaan yang tinggi daripada orang ramai terhadap batuan angkasa ini adalah kerana penggunaannya sebagai rawatan perubatan alternatif. Kebanyakan pembeli adalah dari peminat batuan moldavit (moldavite), tektit (tactite) dan Libyan Desert Glass. Mereka yang membeli batuan ini mempercayai bahawa permata luar angkasa ini mempunyai cirian khas yang mampu memberi kesihatan dan kesejahteraan kepada pemiliknya namun tiada bukti saintifik untuk menyokong asas ini. Seterusnya, kita akan melihat contoh-contoh batuan yang dianggap sebagai permata dari angkasa ini.

Moldavit yang juga dikenali sebagai batuan Bouteille adalah sejenis bahan yang mempunyai sifat amorf iaitu tidak berbentuk tergolong dalam kategori mineraloid. Kebiasaannya berwarna hijau zaitun.
Moldavit setelah dibentuk menjadi permata
Rajah potongan kepingan nipis dari Meteorit Palasit Esquel yang jatuh berhampiran Chubut, Argentina ianya terdiri daripada kristal olivin yang berwarna hijau kekuningan.

Komposisi meteorit palasit seperti rajah di atas menunjukkan ianya pernah menjadi sebahagian daripada planet di sistem suria yang berasal dari kawasan yang mempunyai teras logam dan mantel berbatu. Bahan palasit merupakan sebahagian daripada kawasan  utama berhampiran sempadan teras-mantel. Tekanan yang berlaku semasa pembentukan meteorit ini, perjalanan merentasi angkasa seterusnya memasuki atmosfera Bumi dan semasa terhempas di permukaan Bumi telah menyebabkan berlakunya keretakan terhadap kristal olivin di dalam meteorit tersebut.  Oleh sebab itulah, olivin di dalam jumpaan meteorit sukar untuk didapati untuk dibentuk.

Libyan Dessert Glass adalah bahan yang dianggarkan terbentuk semasa meteorit terhempas di gurun Libya 26 juta tahun dahulu.

Teori pembentukan Libyan Dessert Glass ini adalah semasa meteorit terhempas di permukaan gurun Libya, letusan meteorit berlaku dimana ianya menyebabkan pasir dan permukaan sekitarnya mencair di bawah permukaan Bumi dan membentuk bahan seakan kaca. Kepingan kaca yang terbentuk mempunyai lekapan permukaan yang cetek sama seperti struktur regmaglypts pada meteorit, yang menunjukkan ablasi kerana kaca bergerak dengan laju melalui atmosfera Bumi. Seperti juga moldavit, kaca gurun ini dikategorikan sebagai impaktit.

Rujukan:

MENGENAI PENGARANG

Penyunting di Angkasfera | amirulmustaqim.azman@gmail.com | + ARTIKEL TERDAHULU

Beliau merupakan pelajar sarjana (sains angkasa), pengkhususan dalam pengesanan petanda gempa bumi. Beliau memiliki latar belakang akademik dalam bidang geologi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

19 + seven =