Pembentukan Formasi Green River
Batuan dari Formasi Green River (terletak di Colorado, Utah dan Wyoming pada masa kini) mampu menceritakan persekitaran yang berlaku pada 50 juta tahun lepas. Ketika itu, tenaga yang terkumpul di dalam bumi masih menjulang dan membentuk pergunungan Rocky dan lanskap pergunungan itu terdiri daripada gunung-ganang yang dipisahkan oleh lembangan pergunungan. Saliran air di kawasan pergunungan yang curam telah membawa sejumlah besar batu pasir, batu lodak, lumpur dan mineral terlarut ke dalam tasik di sekitar pergunungan tersebut. Lama-kelamaan, pasir, lodak dan lumpur mula melitupi tasik tersebut. Mineral yang terlarut kemudiannya mengubah komposisi kimia tasik dan membantu pertumbuhan di kawasan berpaya yang berkembang sehingga ke sekitar pinggir tasik.
Fosil pada minyak syal dan arang
Iklim pada kawasan Green River yang lembap dan hangat amat menggalakkan pertumbuhan tumbuh-tumbuhan secara padat di kawasan berpaya sepanjang kawasan tasik. Tumbuhan-tumbuhan ini akan meluruhkan daun-daun, dahan-dahan dan bahan berkayu ke dalam kawasan berpaya. Air paya tersebut pula berfungsi melindungi puing-puing tumbuhan daripada kerosakan dan menyebakan ia berkumpul di dalam paya dengan kadar yang pantas seterusnya menebalkan lapisan puing. Akhirnya, lapisan puing tumbuhan ini tertanam dan diubah menjadi arang batu. Keadaan tasik ini amat sesuai bagi pembiakan alga biru-hijau yang seterusnya merebak hampir ke seluruh bahagian tasik sebagai kotoran filamen hijau yang tebal. Selama beberapa juta tahun, sejumlah besar puing-puing alga ini tenggelam ke dasar tasik dan menjadi sebahagian daripada mendapan tasik tersebut. Melalui perubahan zaman, mendapan kaya alga (algae–rich) ini berubah menjadi sumber minyak syal terbanyak di atas muka bumi.
Batuan Lagerstätte Green River
Lagerstätte adalah unit batuan mendapan yang kaya dengan kandungan fosil. Paya di Green River menyediakan persekitaran yang sesuai untuk berlaku pembentukan fosil di situ. Hal ini kerana paya dan tasik di kawasan itu berada dalam keadaan yang tenang dan membolehkan tinggalan daripada haiwan atau tumbuhan mudah tertanam. Keadaan ini menyebabkan berlakunya penghasilan fosil tumbuh-tumbuhan, haiwan, serangga dan ikan yang banyak dan masih terpelihara sehingga kini.
Mendapan varv
Sedimen varv (varved sediment) merupakan satu bentuk stratifikasi batuan secara berulang sama ada lapisan atau laminasi yang terbentuk dalam tempoh setahun. Sebagai contoh, lapisan ini mengandungi pasangan lapisan berbeza dari segi saiz butiran seperti lumpur yang bersaiz kasar dan halus yang berselang yang mana setiap satu lapisan terhasil setiap tahun. Berdasarkan rajah cerapan mikroskop di bawah, lapisan nipis mendapan berwarna gelap berlaku semasa musim pertumbuhan (growing season) dan lapisan nipis mendapan berwarna cerah terhasil semasa musim sejuk. Ketebalan varv adalah dalam lingkungan beberapa milimeter. Sebahagian fosil yang dapat dicerap secara terperinci terhasil daripada varv yang terdiri daripada batu lumpur yang bersaiz halus. Apabila batu-batu lapisan nipis ini terbelah, bahagian yang halus selalunya akan menyerlahkan fosil yang terpelihara dengan sempurna. Berjuta fosil Green River telah ditemui dan dikumpul oleh ahli pengumpul fosil sama ada amatur mahupun profesional.
Formasi Green River sememangnya terkenal dalam kalangan ahli paleontologi kerana fosil ikan yang terpelihara dengan sempurna. Pelbagai spesies ikan yang telah pupus telah dijumpai di kawasan Green River, salah-satunya adalah Knightia, iaitu ikan yang bersaiz kecil tidak lebih dari 6 inci. Spesimen Knightia telah menjadi salah satu koleksi fosil yang terkemuka di dunia.
Bagi fosil tumbuhan pula, ianya banyak ditemui di mendapan yang terkumpul di sepanjang tepi tasik kawasan Green River. Daun palma, paku, dan daun sycamore adalah antara fosil-fosil yang lazim ditemui di kawasan tersebut. Selain itu, fosil penyu, kelawar, burung, mamalia, ular dan buaya turut ditemui, walaupun jumlah jumpaan fosil ini tidaklah sebanyak fosil ikan dan tumbuhan.
Usia fosil Green River
Menentukan usia yang tepat bagi unit batuan merupakan salah satu tugasan yang sukar. Walau bagaimanapun, batuan di Formasi Green River telah ditarikhkan dalam lingkungan beberapa juta tahun melalui analisis bijih mineral gunung berapi. Gunung berapi yang kini dikenali sebagai Yellowstone di bahagian utara dan medan gunung berapi San Juan di bahagian selatan menghasilkan abu awan secara berkala yang menjatuhkan lapisan nipis abu gunung berapi ke perairan tasik Green River. Lapisan abu ini mengandungi bijiran (grain) mineral kecil yang menghablur semasa berlakunya letusan gunung berapi. Melalui sampel lapisan abu tersebut, penyelidik dapat menentukan tarikh penghabluran bijiran volkanik yang kecil itu. Berdasarkan penentuan tarikh tersebut, penyelidik mendapati usia tasik tersebut adalah 50 juta tahun dan menjangkaui selang waktu beberapa juta tahun semasa awal sehingga pertengahan epok Eosen.
Catatan
Rencana ini diterjemahkan daripada Green River Formation Fossils
(https://geology.com/articles/green-river-fossils/)
MENGENAI PENGARANG
Beliau merupakan pelajar sarjana (sains angkasa), pengkhususan dalam pengesanan petanda gempa bumi. Beliau memiliki latar belakang akademik dalam bidang geologi.