Apakah itu Sesar San Andres
Sesar San Andres merupakan sempadan menggelosor yang terletak di antara Plat Pasifik dan Plat Amerika Utara. Sesar ini memotong California dari Cape Mendocino ke sempadan Mexico. Kawasan yang bersempadanan dengan sesar ini adalah San Diego, Los Angeles dan Big Sur di mana kawasan ini terletak di Plat Pasifik. San Fransisco, Sacremento dan Sierra Nevada pula terletak di Plat Amerika Utara. Pada tahun 1906, berlakunya gempa bumi yang kuat di California di mana gempa ini telah menyebabkan berlakunya kebakaran dan menyebabkan 3000 kematian dan memusnahkan 80% di kawasan California. Walaupun bencana ini antara bencara terburuk yang berlaku dalam sejarah peradaban manusia moden, pergerakan sesar San Andres tidak melalui kawasan California. Jika sesar San Andres melalui kawasan tersebut, disyaki kemusnahan yang berlaku berlipat kali ganda dari kejadian gempa bumi 1906. Komuniti yang tinggal di Desert Hot Springs, San Bernardino, Wrightwood, Palmdale, Gorman, Frazier Park, Daly City, Point Reyes Station dan Bodega Bay terletak di atas garisan sesar San Andres. Situasi komuniti yang tinggal di bandar-bandar ini bagaikan telur di hujung tanduk kerana pada bila-bila masa sahaja garisan sesar ini akan aktif semula.
Jenis Sesar San Andres
Sesar San Andres merupakan sesar transform di mana boleh dibayangkan dengan dua kepingan piza diletakkan di atas meja lalu dua kepingan piza ini bergeser antara satu sama lain. Pergeseran ini akan menyebabkan sebahagian daripada peperoni di atas pizza tersebut akan jatuh akibat gegaran yang berlaku. Begitulah juga diibaratkan keadaan sesar San Andres, di mana ianya mempunyai geologi dan bentuk muka bumi di sepanjang rengkahan besar yang sangat kompleks.
Pergerakan Sesar San Andres
Pergerakan sesar San Andres berlaku apabila dua kepingan plat bergerak melewati satu sama lain pada kadar beberapa inci setahun. Namun bergitu, pergerakan ini bukanlah pergerakan yang berterusan tetapi dikira secara purata kerana pergerakan kepingan plat ini juga akan berhenti untuk beberapa tahun akibat pergerakan plat-plat ini menolak antara satu sama lain. Pergerakan ini secara tidak langsung akan mewujudkan ketegangan dan akan menyebabkan plat-plat ini tergelicir apabila terkumpulnya tenaga yang kuat di kawasan sesar ini. Pecahan batuan akan menghasilkan gelombang ke semua arah dan gelombang yang dirasai ini dikenali sebagai gempa bumi.
Bolehkan Sesar dilihat di permukaan Bumi.
Di kebanyakan tempat seperti dataran Carrizo (wilayah San Luis Obispo) dan lembah Olema (wilayah Marin), sesar mudah dikenalpasti kerana adanya jujukan lereng bukit yang curam (scarps) dan tekanan di permatang. Berbeza di tempat lain pula, sesarnya tidak terlihat kerana tiada pergerakan selama beberapa tahun dan pada masa yang sama pula dilitupi oleh pokok renek atau ditutup oleh lapisan aluvium. Sesar San Andres pula boleh dilihat di permukaan bumi dan panjangnya melebihi 1126 km. Sesar ini juga merupakan antara sesar yang terkenal di dunia kerana jaringan capaian yang mudah dengan terbinanya jalan raya di sekitar sesar tersebut. Cirian khas yang terdapat pada sesar San Andres ini adalah mempunyai jenis batuan yang berbeza pada pada belah kiri dan kanan sempadan sesar. Blok granit Salinian yang terletak di bahagian tengah dan utara California, di mana setelah dikaji oleh para saintis disimpulkan berasal dari selatan California dan ada yang menyatakan juga sehingga ke bahagian utara Mexico. Terdapat mitos dan lagenda mengatakan bahawa apabila berlakunya retakan di Sesar San Andres ini, seluruh bahagian California akan tenggelam ke dasar laut. Di sini, penulis ingin menyatakan perkara ini tidak benar dan tidak akan berlaku. Walaupun retakan di sesar ini akan mengakibatkan gempa yang kuat, namun tenaga yang terkumpul itu tidak akan menenggelamkan keseluruhan California secara amnya.
Rujukan
Penulisan ini diterjemah dari laman sesawang https://geology.com/articles/san-andreas-fault.shtml
MENGENAI PENGARANG
Beliau merupakan pelajar sarjana (sains angkasa), pengkhususan dalam pengesanan petanda gempa bumi. Beliau memiliki latar belakang akademik dalam bidang geologi.