Apabila mendengar sahaja tentang sinaran mengion (ionising radiation), akan timbul ketakutan dan risau memikirkan tentang bahaya sinaran tersebut. Maklumat seperti kesan sinaran sering terlintas dalam fikiran. Kesan sinaran dapat dilihat selepas kejadian pengeboman atom di bandar Hiroshima dan Nagasaki. Menjelang akhir tahun 1945, kejadian itu telah mengorbankan kira-kira 140,000 orang di Hiroshima, dan 74,000 orang lagi di Nagasaki. Tahun berikutnya, kebanyakan mangsa yang terselamat ada yang menghidap penyakit leukemia, kanser, atau mendapat kesan sampingan lain yang dahsyat akibat sinaran. Kejadian ini meninggalkan luka yang mendalam di hati mangsa yang terselamat.
Pada masa kini, aplikasi sinaran mengion telah menjadi sebahagian bidang penting terutamanya dalam aplikasi perubatan. Walaupun ia mencetuskan banyak perspektif negatif, kita tidak boleh menafikan sisi positifnya. Umumnya, sinaran mengion ialah sinaran yang membawa tenaga dan terdiri daripada alfa, beta, dan gamma. Kita boleh melihat aplikasi sinaran tersebut dalam industri. Isotop Americium yang mengeluarkan zarah alfa digunakan dalam pengesan asap. Ia akan mengionkan molekul udara. Manakala untuk sinaran beta, digunakan sebagai alat pengesan dan pemantau ketebalan bahan. Akhir sekali, sinaran gamma digunakan dalam rawatan kanser.

Gambar menunjukkan jenis-jenis sinaran mengion dan tahap penembusan bagi setiap jenis sinaran. Sumber: thumbs.dreamstime.com
Beberapa langkah boleh dilaksanakan untuk mengubah persepsi sinaran mengion. Salah satunya melalui pendidikan. Penghargaan harus diberikan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia kerana menyelitkan mata pelajaran berkaitan sinaran mengion dalam sukatan pelajaran sekolah. Pelajar boleh diajar mengikut definisi, teori, dan praktikal tentang cara menguruskan sinaran mengion. Di samping itu, pelajar boleh mempelajari langkah keselamatan semasa mengendalikan sinaran mengion. Semasa sesi kelas, guru juga boleh menjemput pakar yang berkaitan dengan sinaran mengion untuk memberikan ceramah. Pada penghujung sesi, soal jawab bersama pelajar boleh dilakukan jika pelajar mempunyai persoalan berkenaan sinaran mengion. Sesi ini adalah penting bagi membolehkan komunikasi dua hala dilakukan. Kesannya, pelajar akan lebih memahami dan menghargai apa itu sinaran mengion.

Kegunaan sinaran mengion. Sumber: www.iaea.org
Selain itu, poster dan brosur boleh menjadi media alternatif yang bertujuan sebagai pemindahan ilmu. Melalui infografik, pelajar akan belajar dan faham dengan lebih mudah. Pihak sekolah juga boleh menganjurkan pertandingan kuiz dan perbahasan untuk menggalakkan pelajar menjana idea dan menghasilkan perbincangan yang interaktif. Sungguhpun begitu, bahagian penting dalam perspektif ini adalah kerjasama daripada semua pihak, sama ada daripada pihak sekolah, guru, dan pelajar sendiri. Dengan menyampaikan maklumat yang tepat, mesej akan dapat disampaikan dengan baik.
Kesimpulannya, persepsi terhadap sinaran mengion adalah bergantung kepada individu untuk melihatnya dalam konteks positif atau negatif. Tidak ada betul atau salah dalam menyuarakan pendapat asalkan disokong dengan justifikasi yang kukuh.
Rujukan
- Hiroshima and Nagasaki bombings. Retrieved from https://www.icanw.org/hiroshima_and_nagasaki_bombings
- Frane N, Bitterman A. Radiation Safety and Protection. [Updated 2022 May 23]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2022 Jan-. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK557499/
- Types of Ionizing Radiation. Retrieve fromhttps://www.mirion.com/learning-center/radiation-safety-basics/types-of-ionizing-radiation
Disunting oleh Ismatul Nisak
MENGENAI PENGARANG
Pensyarah di Jabatan Fizik dan Kimia, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
One thought on “Kenali Sinaran Mengion”