Apakah Punca Kemerosotan Ekonomi Daulah Uthmaniyyah?

Masalah bermula apabila Belanda dan Inggeris berjaya mencari laluan perdagangan baru, kemudian menutup laluan perdagangan lama melalui Timur Tengah. Akibatnya, pendapatan kerajaan dari wilayah di Timur Tengah menurun secara drastik. Selain itu, inflasi juga merupakan masalah serius yang terpaksa dihadapi oleh Daulah Uthmaniyyah. Keadaan ini bermula pada tahun 1500 – 1600 apabila negara-negara Eropah seperti Sepanyol, England dan Perancis meneroka dan menakluk dunia baharu merentasi Atlantik. Penaklukan mereka membuahkan keuntungan ekonomi yang besar kerana mereka memperoleh emas dan perak dari kawasan taklukan, khususnya yang dibawa Sepanyol dari Mexico. Pada masa itu, ekonomi Uthmaniyyah berasaskan perak. Apabila emas dan perak hasil rampasan taklukan mereka memasuki pasaran dalam kuantiti yang banyak, keadaan mata wang Daulah Uthmaniyyah terancam. Keadaan ini menurunkan nilai mata wang daulah Uthmaniyyah secara drastik.

Peta Daulah Uthmaniyyah. Sumber: i.pinimg.com

Data statistik telah menunjukkan betapa teruknya inflasi pada tahun 1500 – 1600. Jika pada tahun 1580M, satu syiling emas berharga 60 syiling perak, kemudian 10 tahun kemudian nilai satu syiling emas telah meningkat dua kali ganda secara drastik, kepada 120 syiling perak. Malah, pada tahun 1640M ia meningkat kepada 250 syiling perak. Inflasi ini menyebabkan harga barangan keperluan di rantau ini meningkat dan menyebabkan kesengsaraan yang besar kepada masyarakat Turki Uthmaniyyah. Walaupun kerajaan pusat terus berusaha mencari sumber pendapatan lain, ekonomi Daulah Uthmaniyyah merosot secara berterusan antara tahun 1600 – 1700. Keadaan ini menyebabkan kewangan negara menjadi semakin menyusut, dan sebagai langkah untuk menangani masalah ini, Daulah Uthmaniyyah mengurangkan nilai intrinsik syiling mereka (debasement), peningkatan mendadak dalam sektor cukai, dan rampasan tanah untuk negeri dan akibatnya, rakyat mengalami tekanan ekonomi sehingga berlaku peningkatan dalam jenayah dalam masyarakat dan rasuah dalam pelbagai institusi kerajaan termasuklah menjadikan timar milik persendirian.

Inflasi perak pada abad ke-16 juga memberikan kesan buruk kepada kewangan negara. Perbelanjaan meningkat lebih cepat daripada hasil dalam tempoh ini. Inflasi ini jelas berpengaruh besar terhadap industri dan perdagangan tradisional. Pada abad ke-17 hingga ke-18, Daulah Uthmaniyyah terpaksa membuat satu siri perjanjian, terutamanya dengan Perancis dan dikenali juga sebagai penyerahan (capitulations). Perjanjian penyerahan ini memberikan para pedagang asing memiliki keistimewaan di sektor perdagangan seperti cukai yang rendah sehingga mereka boleh menjual barang dagangannya dengan harga yang lebih rendah berbanding pengusaha dalam negara. Hasil daripada pemberian hak-hak istimewa ini sungguh merugikan bagi pihak daulah. Seorang sejarawan Yunani, Wimetry Catskys berkata, sesungguhnya pemberian hak-hak istimewa ini telah menghancurkan perekonomian kekhilafahan Uthmaniyyah dengan hancurnya sistem cukai yang sebenarnya melindungi peniagaan lokal dari serangan perdagangan dan perniagaan asing.

Salinan perjanjian (Capitulations) antara Charles IX dan Selim II. Sumber: upload.wikimedia.org

Faktor lain yang mempengaruhi ekonomi Daulah Uthmaniyyah adalah pencariaan laluan baru untuk mengangkut sutera dari Iran ke Eropah. Anatolia adalah laluan untuk sutera Iran dan kapas bulu daripada Eropah. Fabrik British dihantar ke Asia Tengah dengan melalui Anatolia sehingga akhir abad ke-16. Daulah Uthmaniyyah memperoleh sejumlah besar pendapatan daripada duti kastam melalui perdagangan ini. Walau bagaimanapun, Shah Abbas (Raja Iran) mencabar Uthmaniyyah pada tahun 1603 dengan menyekat penjualan sutera kepada Uthmaniyyah. Seterusnya, untuk mengelakkan kekurangan emas dan perak yang diperoleh daripada perdagangan ini, beliau mula menjual sutera terus ke Eropah melalui Laut India. Dengan sekatan ini, Uthmaniyyah kehilangan statusnya dalam perdagangan sutera, iaitu satu daripada sumber pendapatan utamanya.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai masalah dalaman Daulah Uthmaniyyah pada abad ke 16 hingga abad ke-19 dan salah satunya merupakan daripada permasalahan ekonomi. Faktor kejatuhan nilai mata wang, inflasi, dan persaingan perdagangan ditambah keistimewaan (capitulations) yang diberikan telah memberikan kesan buruk terhadap ekonomi Daulah Uthmaniyyah pada ketika itu.

Rujukan

  • Desmadi Saharuddin, Meirison, Aplikasi Kewangan Islam dan Sistim Perekonomian Turki Utsmani, Yogyakarta:PT Kurnia Kalam Semesta, Edisi Pertama, 2021, hlm 6.
  • Sevket Pamuk, In The Absence of Domestic Currency: Debased European Coinage in the Seventeenth Century Ottoman Empire, The Journal of Economic History, Vol 57, No 2, 1997, hlm 353.
  • Mohammed Umar, The Decline of the Ottoman Empire, Markfield Institute of Higher Education, 2018, hlm 4
  • Desmadi Saharuddin, Meirison, Aplikasi Kewangan Islam dan Sistim Perekonomian Turki Utsmani, Yogyakarta:PT Kurnia Kalam Semesta, Edisi Pertama 2021, hlm 139
  • Ash-Shallabi, Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Uthmaniyah, Jakarta Timur:Pustaka Al-Kausar, Cetakan Ke-12, 2021, hlm 338
  • Erkut Duranoglu, Guzide Okutucu, Economic Reasons Behind the Decline of the Ottoman Empire, Bergen: Norges Handelshoyskole, 2009, hlm 16

Disunting oleh Ismatul Nisak

MENGENAI PENGARANG

Pelajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris | maryamnazzifah6@gmail.com

Pengarang kini sedang menyambung pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sejarah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

one × 2 =