Kehebatan Laser

Jika disebut tentang laser mungkin ada segelintir berpendapat bahawa laser ini berbahaya. Laser adalah sebuah peranti yang boleh merosakkan mata atau mencederakan kulit seseorang. Memang tidak dinafikan bahawa laser boleh mendatangkan kecederaan tetapi kemalangan sedemikian boleh berlaku jika laser dikendali dengan sifat cuai dan tidak bertanggungjawab. Oleh itu, faktor keselamatan ketika mengendalikan laser perlulah dititikberatkan seperti menggunakan pelindung mata, memastikan kedudukan mata tidak menghampiri aliran sinaran laser, tidak mengarahkan laser ke arah orang lain dan banyak lagi.

Umumnya, laser telah digunakan secara meluas di seluruh dunia sama ada di industri, bidang perubatan dan dalam aspek ketenteraan. Ini membuktikan laser mempunyai banyak kebaikan dan kelebihan dalam membantu memudahkan kehidupan manusia.

Kenali laser

 Sumber: images.squarespace-cdn.com

Istilah laser berasal dari perkataan ‘laser amplification of stimulated emission by radiation’. Laser dihasilkan bermula dengan proses pengujaan elektron dari tahap tenaga stabil ke tahap tenaga yang lebih tinggi. Malangnya, elektron tersebut tidak stabil di tahap tenaga tinggi jadi ia jatuh semula ke tahap stabil asal dan melepaskan cahaya yang dikenali sebagai foton. Cahaya tersebut mempunyai tenaga, frekuensi dan panjang gelombang yang tersendiri. Sifat yang berbeza memberikan pancaran cahaya warna yang berbeza. Terdapat laser yang memancarkan cahaya hijau, biru, merah dan banyak lagi. Laser bersifat monokromatik, koheren, terarah, dan mempunyai keamatan yang tinggi.

Aplikasi laser

  1. Industri

Dalam industri, laser digunakan untuk memotong atau membentuk logam. Laser berkebolehan untuk memotong dengan ketetapan yang tinggi selain menghasilkan pemotongan yang kurang kasar. Ia juga digunakan dengan meluas untuk menandakan logam, polimer, wafer silikon dan papan litar bercetak.

Sumber: www.ulsinc.com/learn

Selain itu, laser juga boleh dilihat penggunaannya dalam urusan jual beli atau sebagai pengenalan diri seseorang. Laser digunakan untuk mengenal pasti barangan dengan mengimbas kod bar yang tertera pada sesuatu barang. Pengimbas kod bar ialah peranti yang disertakan dengan cahaya, lensa dan pengesan kod. Alat ini dapat mengesan maklumat sesuatu barang apabila bar kod diimbas. Pengimbas ini menggunakan pancaran laser dan prisma berpusing untuk mengimbas kod bar. Fotodiod akan membaca pancaran yang terpantul daripada kod bar. Isyarat analog akan menukar maklumat yang diterima daripada fotodiod kepada isyarat digital.

Sumber: china.desertcart.com

2. Perubatan

Dalam aspek perubatan, laser diaplikasikan dalam bidang dermatologi, pembedahan atau rangsangan saraf. Sebagai contoh dalam sesuatu kes perubatan, laser yang mempunyai julat panjang gelombang antara 750 hingga 1200 nm yang mana nilainya hampir dengan infra-merah akan digunakan untuk proses penyingkiran rambut atau terapi kanser. Sifatnya yang boleh menembusi tisu kulit membolehkan laser jenis ini sesuai bagi prosedur ini.

Laser yang mempunyai julat panjang gelombang antara 430 sehingga 680 nm adalah sesuai dalam prosedur fototerapi barah mulut, masalah retina dan pembuangan tatu. Kebolehannya menyerap dalam darah membolehkan laser jenis ini sesuai bagi prosedur ini. Seterusnya laser infra-merah yang mempunyai julat panjang gelombang antara 1.3 hingga 3.0 um dan  9.3 hingga 10.6 um berkebolehan menyerap dengan baik dalam air. Laser infra-merah ini juga mampu menyerap dengan baik pada lapisan permukaan tisu seperti tisu lembut dan keras.

3. Ketenteraan

Penggemar filem bergenre aksi pasti pernah menonton pelakon filem menggunakan senjata yang mempunyai pancaran cahaya yang digunakan untuk menembak. Dalam ketenteraan, cahaya tersebut merupakan sinaran laser yang digunakan sebagai penunjuk sasaran dalam membantu tentera menembak dengan lebih tepat. Walau bagaimanapun, laser yang digunakan tidak mempunyai kuasa yang tinggi sehingga boleh menyebabkan kecederaan pada kulit.

Sumber: www.indiandefencereview.com

Kesimpulannya, tidak dinafikan laser adalah peranti yang dapat membantu dalam memacu kemodenan arus kehidupan manusia. Aplikasi dan sumbangannya dalam bidang seperti perubatan, industri dan ketenteraan telah dapat menambah baik kualiti kehidupan seiring dengan globalisasi dunia. Walaupun begitu, bahaya ketika mengendalikan sinaran laser tetap ada, maka menjadi tanggungjawab kita dalam mencakna aspek keselamatan yang perlu dipatuhi ketika mengendalikannya.

Rujukan

Disunting oleh Ismatul Nisak

MENGENAI PENGARANG

Beliau merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains (Fizik Gunaan) dengan Kepujian (UTHM) dan sedang menjalani latihan Industri.

sitiamira@uthm.edu.my + ARTIKEL TERDAHULU

Pensyarah di Jabatan Fizik dan Kimia, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

twenty + 7 =