Tapir Malaya: Khazanah Alam Kian Terancam

Tapir Malaya (Tapirus indicus) atau Tenuk Malaysia merupakan mamalia herbivor bersaiz anggaran 1.8 meter panjang dan 1 meter tinggi serta memiliki berat badan sekitar 250 kg hingga 320 kg seekor. Tapir atau panggilan lainnya cipan, tenuk atau badak tampung oleh penduduk tempatan mempunyai muncung pendek yang fleksibel seakan-akan belalai gajah pada hujung muncungnya. Muncung ini berkebolehan mengutip daun ketika makan serta berfungsi sebagai serombong untuk bernafas ketika berenang. Biarpun jinak dan tidak agresif, namun tapir yang berbadan besar ini mampu berlari pantas saat terancam. Tapir juga memiliki gigi dan kuku yang tajam bagi menyokong mekanisme pertahanan diri seperti menyondol, mencengkam dan menggigit. Corak dan warna pada badan pula membantunya dalam penyamaran.

Tapir tergolong dalam kalangan haiwan yang aktif pada waktu malam sungguhpun memiliki penglihatan yang lemah. Hal ini kerana tapir amat sensitif pada bau dan bunyi di sekitarnya, yang mana turut membantu memudahkan tapir untuk mencari makan di hutan. Tapir boleh dijumpai di setiap hutan di seluruh Semenanjung Malaysia, termasuklah hutan paya dan hutan pergunungan rendah. Dengan wujudnya inventori hidupan liar yang dijalankan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) pada tahun 2012, haiwan mamalia ini juga ditemui di sekitar kawasan ladang kelapa sawit dan getah berdekatan hutan.

Antara peranan terbesar tapir di hutan yang penting untuk diketahui adalah sebagai agen penyebaran biji benih. Ini kerana tapir berkebolehan menyimpan pelbagai jenis biji benih di dalam perut untuk disebarkan ke serata hutan melalui proses penyahtinjaan, memandangkan buah-buahan, dedaun pucuk, tanaman herba dan rumput merupakan makanan utamanya. Pokok buah-buahan hutan yang bermusim seperti durian hutan dan buah rambai juga dapat tumbuh dengan baik melalui bantuan penyebaran tapir secara semula jadi. Berdasarkan buku kajian bertajuk “Tapir” yang dihasilkan oleh Brooks bersama rakan-rakannya pada tahun 1997, ada dinyatakan bahawa biji benih dalam perut tapir dapat bercambah pada kadar yang sangat tinggi. Beribu biji benih turut dapat disebarkan oleh tapir dalam masa yang sama melayakkannya untuk digelar sebagai “Tukang Kebun Hutan”.

Gambar seekor tapir yang berjaya diambil melalui perangkap kamera pada waktu malam oleh Jabatan PERHILITAN. Sumber: wildlife.gov

Sungguhpun begitu, kematian tapir semakin tinggi direkodkan sejak akhir-akhir ini amat mendukacitakan. Bukan itu sahaja, populasinya juga semakin berkurangan, yang mana dianggarkan kurang daripada 1500 ekor di Semenanjung Malaysia. Hakikat yang sebenar, ancaman utama populasi tapir bukanlah pemangsa akan tetapi aktiviti manusia seperti pembalakan hutan, penukaran hutan kepada kawasan pertanian, pemburuan haram dan yang kerap didengari baru-baru ini iaitu nahas jalan raya (roadkill). Perlu diketahui sebanyak 84 ekor tapir yang maut dicatatkan dari 2013 sehingga 2019 hanya berpunca daripada dilanggar kenderaan sahaja. Baru-baru ini, laporan akhbar Berita Harian pada 31 Januari 2021 ada menyatakan kematian seekor tapir di sekitar Jalan Gua Musang – Kuala Krai akibat dilanggar kenderaan. Bayangkan pula berapa banyak bilangan kematian akibat daripada punca yang lainnya? Lebih-lebih lagi, tapir mempunyai kadar pembiakan yang rendah. Justeru itu, situasi ini harus dititikberatkan oleh semua pihak biarpun tapir telah diklasifikasikan sebagai haiwan dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). Tambahan lagi, tapir tergolong sebagai spesies terancam dalam senarai IUCN Red List.

Seekor tapir jantan berusia lapan tahun maut di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Felda Chiku Satu pada Ahad (31 Januari 2021). Sumber: The Star

Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi menangani masalah ini dan antaranya adalah seperti penubuhan pusat konservasi yang menumpu kepada pemeliharaan hidupan liar Tapir Malaya. Sebagai contoh, Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun, Selangor yang ditubuhkan pada tahun 1964 ada  melaksanakan konservasi pelbagai hidupan liar termasuklah Tapir Malaya sehingga ke hari ini. Menurut akhbar Sinar Harian pada 4 Jun 2019, Pusat Konservasi Tapir Kebangsaan yang pertama di Malaysia akan dibina di Taman Negeri, Hutan Simpan Kenaboi, Jelebu, Negeri Sembilan, di bawah projek Jabatan PERHILITAN. Projek ini juga salah satu usaha yang berterusan untuk menjaga populasi Tapir Malaya agar tidak pupus di Malaysia seperti yang berlaku pada badak sumbu Sumatera.

Aktiviti konservasi semestinya memerlukan dana yang tinggi bagi memastikan kelengkapan yang mencukupi dan berkesan terhadap hidupan liar yang dijaga. Oleh sebab itu, sumbangan atau dana yang berterusan daripada orang awam kepada PERHILITAN atau mana-mana pusat konservasi mahupun organisasi yang aktif menyokong hidupan liar seperti Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) amatlah digalakkan bagi memastikan kelangsungannya. Ini penting bagi memelihara populasi tapir dan hidupan liar lain yang masih wujud di bumi Malaysia.

Selain itu, pelaksanaan kempen kesedaran secara berterusan juga penting bagi menyediakan informasi terkini tentang status populasi tapir di negara ini. Cara tradisional ini masih relevan untuk menarik minat masyarakat untuk mengetahui lebih lanjut akan maklumat yang disebarkan. Namun begitu, bukan golongan dewasa sahaja yang memerlukan pendedahan ini, malahan juga golongan muda dan kanak- kanak agar mereka sedar akan pentingnya kewujudan khazanah alam. Justeru itu, ilmu hidupan liar boleh diterapkan dalam silibus pendidikan di sekolah rendah dan menengah. Di peringkat universiti pula haruslah menggalakkan golongan pelajar mengikuti aktiviti sukarelawan di pusat jagaan haiwan di zoo bagi meringankan beban pihak pengurusan haiwan. Tidak dapat dinafikan bahawa golongan ini jugalah yang akan memimpin negara kita pada masa akan datang. Maka, pendedahan awal seperti ini akan dapat melahirkan masyarakat yang lebih peka terhadap alam sekitar dan yang berkaitan.

Tapir Malaya merupakan keunikan yang perlu dihargai dan dipelihara sehingga ke generasi akan datang. Oleh itu, semua pihak kerajaan, badan bukan kerajaan dan orang awam perlu didedahkan tentang pentingnya populasi tapir ini demi menjaga keseimbangan alam. Marilah kita bersama-sama menyokong usaha pelbagai pihak dalam memastikan tapir terus hidup di muka bumi Malaysia dan khazanah alam ini tidak pupus seperti yang berlaku pada badak sumbu Sumatera melalui sambutan “Hari Tapir Sedunia” yang diadakan setiap tahun pada 27 April.

Contoh poster Hari Tapir Sedunia yang disambut pada 27 April setiap tahun. Sumber: Facebook

Rujukan

Disunting oleh Izzati Rosli

MENGENAI PENGARANG

Ahmad Suhail merupakan pelajar tahun dua dalam program Ekologi Biodiversiti, Fakulti Sains, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau berminat dengan alam sekitar dan ingin belajar lebih dalam tentang peranan haiwan dan tumbuhan dalam suatu ekosistem. Beliau berminat dan berhasrat untuk melibatkan diri dalam penyelidikan yang berkaitan konservasi haiwan terutama di Malaysia.

zaiti_1978@um.edu.my + ARTIKEL TERDAHULU

Beliau kini bertugas sebagai pensyarah kanan di Institut Sains Biologi , Fakulti Sains, Universiti Malaya, Kuala Lumpur dan mengajar dalam program Ekologi Biodiversiti. Kajian serta pengajaran beliau adalah lebih memfokuskan kepada sistematik dan evolusi molekul terhadap mamalia kecil di Asia Tenggara. Selain itu, beliau juga mempunyai minat yang mendalam terhadap kajian ke atas haiwan dari aspek genetik, ekologi,taksonomi, interaksi , dan biogeografi. Beliau telah berkolaborasi dengan beberapa industri seperti PERHILITAN dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dalam membuat kajian di samping mempunyai hubungan yang luas dan kukuh bersama pusat-pusat penyelidikan, muzium dan universiti antarabangsa.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

2 × three =