Masyarakat Malaysia sememangnya sinonim dengan filem Musang Berjanggut arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, namun tidak ramai yang pernah melihat musang dengan mata sendiri. Musang (civet) merupakan mamalia nokturnal yang hidup secara liar. Haiwan yang sinonim dengan sifat pemalu ini akan membuat sarang di atas pokok-pokok yang tinggi dan hanya keluar pada waktu malam untuk mencari makanan.
Dalam arus pemodenan kini, lebih banyak hutan yang diterokai demi kepentingan manusia dan perkembangan ekonomi. Musang yang sebelum ini ditemui di banyak habitat, termasuklah hutan, kebun tanaman dan pinggir kampung, kini terpaksa menyesuaikan diri untuk hidup dengan gangguan manusia. Musang sering kali dianggap sebagai haiwan perosak kerana kekerapannya menyerang kebun buah-buahan dan haiwan ternakan orang untuk mencari makan.
Kes-kes yang melibatkan musang menceroboh rumah orang untuk mencari makanan juga sering kali dipaparkan di dada-dada akhbar. Terdapat juga musang yang menyerang sangkar ayam penduduk bagi mendapatkan makanan. Kesan daripada ini, musang sering kali terjerat dalam perangkap yang dipasang oleh penduduk kampung. Lebih malang lagi, ada juga musang yang terbunuh semasa terjerat dan ada yang sengaja dibunuh bagi menghentikan mereka dari merosakkan kebun tanaman manusia. Populasi musang juga turut terjejas kerana kehilangan habitat. Banyak Musang yang telah terbunuh semasa proses penebangan hutan dilakukan. Kehilangan habitat menyebabkan musang betina sukar mencari tempat tinggal yang selamat bagi melahirkan dan melindungi anak-anaknya.
Namun begitu, tidak ramai yang menyedari kepentingan musang kepada ekosistem kita. Diet musang yang omnivor membuatkan musang menjadikan buah-buahan dan sayuran hijau sebagai sebahagian dari diet mereka. Musang adalah haiwan yang boleh dikategorikan sebagai ‘jurutera hutan’. Hal ini kerana, biji buah-buahan yang dimakan oleh musang berkemungkinan tidak dapat dicernakan sepenuhnya oleh enzim-enzim di dalam perut musang dan akan keluar bersama tinja. Biji ini akan keluar bercambah sebagai biji benih bagi menghasilkan anak pokok baharu.
Selain itu, haiwan yang juga berasal dari keluarga Viverridae ini juga boleh membantu dalam mengawal populasi haiwan kecil. Dilengkapi perut yang tahan lasak, musang boleh menghadam pelbagai makanan yang tidak boleh dihadam oleh haiwan lain. Tabiat musang yang memakan haiwan yang lebih kecil darinya seperti katak, ular dan serangga sedikit sebanyak boleh membantu manusia dalam mengurangkan masalah yang ditimbulkan haiwan ini. Musang juga berani mengambil risiko semasa memburu dan membunuh haiwan yang berbahaya. Hal ini membolehkan musang menyumbang kepada keselamatan manusia serta hidupan yang lain.
Penggemar setia kopi sudah pasti pernah mendengar istilah Kopi Luwak, namun tidak ramai yang tahu bahawa kopi itu sendiri berasal dari hasil pembuangan dari musang jenis Musang Pulut. Kopi ini dihasilkan apabila biji-biji kopi yang dimakan musang dikeluarkan sebagai hasil tinja. Hasil perkumuhan sistem pencernaan musang ini kemudian akan diproses sebelum dibancuh sebagai kopi. Kopi ini dikatakan mempunyai rasa yang terbaik kerana musang ini hanya memakan biji-biji kopi yang terbaik. Malahan, biji kopi ini hanya boleh didapatkan dari musang liar. Oleh itu, adalah amat penting untuk tidak menganggu musang dengan habitatnya kerana akan memberi kesan kepada peniaga serta peminat kopi eksotik ini.
Apabila berhadapan dengan musang, sangat penting untuk tidak mengganggunya. Sifat musang yang pemalu membuatkan musang akan cuba mengelak dari manusia. Tindakan seperti mengacah atau menyerang musang perlu dielakkan kerana ini boleh mencetus musang untuk menyerang bagi melindungi diri mereka. Seterusnya, elakkan dari meninggalkan sumber makanan di luar rumah kerana musang boleh memakan lebihan makanan kucing dan anjing.
Sebagai kesimpulan, terbuktilah bahawa musang sememangnya perosak yang diperlukan. Proses rantaian makanan musang banyak memberi sumbangan dalam mengekalkan keseimbangan kepelbagaian dan populasi spesis lain yang terdapat pada sesebuah kawasan itu. Elakkan dari melakukan perkara yang boleh membahayakan musang dan hubungi pihak berwajib jika masalah musang di kawasan anda sukar dikawal.
Disunting oleh Adib Yusof
Rujukan
- Affandi, O. (2018, January 30). Kopi Luwak – Kopi Mahal Yang Dihasilkan Daripada Penyeksaan Terhadap Binatang. Retrieved November 2, 2021, Iluminasi
- Creative, M. H. M. (2020, December 17). Mengenali dan Memahami Spesies Musang di Malaysia | MajalahSains. Retrieved November 21, 2021, Majalah Sains
- Kamarudin, S. (2019, July 1). Musang cari makan. Retrieved October 26, 2021, Harian Metro
- Musang. (2013, August 1). Retrieved October 26, 2021, Laman croped.koko.my
- New Standard Page. (2021, February 25). National Parks Board
- Oldham, C. (2019, July 18). Civet – Description, Habitat, Image, Diet, and Interesting Facts. November 2, 2021, Animals Network
- The Editors of Encyclopedia Britannica. (2017). Civet | mammal, family Viverridae. Dalam Encyclopædia Britannica.
- The IUCN Red List of Threatened Species. (2021, February). Oktober 26, 2021, IUCN Red List of Threatened Species website: