Kepentingan Vaksin Pneumokokal untuk Anak Kecil

Perlukah vaksin pneumokokal untuk anak kecil anda?
Bermula Disember 2020 suntikan vaksin pneumokokal akan diberikan secara percuma di fasiliti kerajaan melalui Program Imunisasi Kebangsaan. Ketua Pengarah Kesihatan menerusi kenyataan rasminya pada 24 November 2020 menjelaskan bahawa semua bayi yang lahir pada 1 Januari 2020 dan seterusnya adalah layak untuk mendapatkan suntikan vaksin ini.

Bahaya jangkitan Streptococcus Pneumoniae
Vaksin pneumokokal diberikan sebagai langkah awal mencegah jangkitan bakteria streptococcus pneumoniae yang biasanya menjangkiti kanak-kanak, terutamanya yang berumur bawah 2 tahun. Menurut portal myHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia, streptococcus pneumoniae boleh merebak melalui permukaan yang tercemar dari individu ke individu apabila terdapat sentuhan secara langsung. Bakteria ini juga boleh disebarkan melalui cecair daripada bersin atau batuk orang yang dijangkiti. Sesetengah individu pembawa streptococcus pneumoniae tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda jangkitan tetapi boleh menyebarkannya kepada individu yang belum dijangkiti.

Gambar streptococcus pneumoniae di bawah lensa mikroskop. Sumber: https://www.cdc.gov

Pertubuhan Kesihatan Dunia, turut dikenali sebagai World Health Organisation (WHO) menyatakan bahawa seseorang yang dijangkiti streptococcus pneumoniae akan menunjukkan gejala seperti demam, batuk berkahak, nafas yang laju, susah bernafas hingga menyebabkan sakit di bahagian dada, hidung tersumbat disebabkan oleh mukus, hilang selera makan serta tidak aktif. Bakteria ini boleh menyebabkan jangkitan pada telinga (otitis media), sinus (sinusitis), paru-paru (pneumonia), radang selaput otak dan saraf tunjang (meningitis) dan jangkitan yang lebih berbahaya seperti jangkitan dalam darah (septicaemia). Jika jangkitan ini tidak dirawat akan menyebabkan komplikasi seperti cacat pendengaran, kecacatan otak atau kematian.

Pencegahan melalui suntikan vaksin
Vaksin pneumokokal merupakan cara terbaik bagi mencegah jangkitan streptococcus pneumoniae. Vaksin ini membantu merangsang badan dalam menghasilkan antibodi terhadap streptococcus pneumoniae. Antibodi yang terhasil akan membantu tubuh membina imuniti terhadap jangkitan streptococcus pneumoniae pada masa akan datang. Dos pertama vaksin akan disuntik ketika bayi berusia empat bulan dan dos kedua adalah pada umur enam bulan. Dos penggalak atau booster diberikan apabila bayi mencapai umur 15 bulan.

Jadual pemberian vaksin untuk kanak-kanak mengikut umur. Sumber: https://kpkesihatan.com

Seperti vaksin-vaksin lain yang digunakan dalam Program Imunisasi Kebangsaan, vaksin pneumokokal adalah selamat dan tidak mengakibatkan kesan sampingan yang serius. Kesan sampingan yang biasa ialah demam dan sakit atau bengkak pada tapak suntikan. Ibu bapa atau penjaga digalakkan untuk memantau keadaan kanak-kanak selepas menerima suntikan vaksin pneumokokal.

Sekiranya kanak-kanak mengalami sebarang kesan advers, ibu bapa perlu melaporkannya kepada petugas kesihatan selepas setiap suntikan dengan melengkapkan borang pelaporan pemantauan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI). Selain itu, ibu bapa juga boleh melaporkan kesan advers secara terus kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara melalui laman sesawang http://npra.gov.my dengan mengisi Consumer Side Effect Reporting Form (CONSERF).

Nasihat untuk ibu bapa
Suntikan vaksin pneumokokal didapati berkesan dalam mengurangkan risiko jangkitan pneumokokal dalam kalangan kanak-kanak bawah umur 5 tahun. Komplikasi yang berpunca daripada jangkitan ini juga dapat dielakkan dan seterusnya mengurangkan kos rawatan yang tinggi. Inisiatif kerajaan menjadikan vaksin pneumokokal sebagai salah satu vaksin yang perlu disuntik kepada kanak-kanak melalui Pelan Imunisasi Kebangsaan merupakan langkah yang seharusnya perlu disokong oleh ibu bapa. Pastikan anak-anak mendapatkan suntikan mengikut jadual yang telah ditetapkan dalam jadual imunisasi. Ibu bapa juga boleh memilih untuk mendapatkan suntikan di fasiliti swasta ataupun klinik kesihatan kerajaan.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat ke Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre – NPCC) di talian 1800-88-6722, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).

Rujukan

  • https://kpkesihatan.com/2020/11/24/kenyataan-akhbar-kpk-24-november-2020-pelaksanaan-pemberian-vaksin-pneumokokal-di-bawah-program-imunisasi-kebangsaan-untuk-kanak-kanak/
  • https://www.cdc.gov/pneumococcal/about/infection-types.html
  • https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/pneumonia#
  • https://www.nhsinform.scot/illnesses-and-conditions/infections-and-poisoning/pneumococcal-infections

Disunting oleh Mustaqim Azman

MENGENAI PENGARANG

Hazlin Syafinar binti Hussein memiliki ijazah Sarjana Muda Farmasi. Kini, beliau bekerja di Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

nineteen − seven =