Pilih Kosmetik Bernotifikasi (Bahagian 2)

Baca bahagian 2 diĀ sini.

Hati-hati dengan helah penjual kosmetik

Segelintir pengeluar produk kosmetik mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan memasukkan bahan terlarang ke dalam produk mereka. Raksa (mercury), hidrokuinon (hydroquinone) dan tretinoin dicampurkan ke dalam produk kerana bahan-bahan terlarang ini dapat memberi kesan yang lebih pantas. Dengan cara ini, orang ramai akan lebih mudah mempercayai dan membeli produk tersebut. Namun begitu, produk ini boleh menyebabkan kesan mudarat kepada penggunanya.

Sesetengah individu pula menjual vitamin C dan glutation (glutathione) dalam bentuk suntikan sebagai produk kosmetik yang dapat memutihkan kulit. Sebenarnya produk yang perlu disuntik ke dalam badan tidak dikategorikan sebagai kosmetik. Pengguna perlu sedar bahawa penggunaan suntikan vitamin C dan glutation dalam dos yang sangat tinggi boleh menyebabkan kesan mudarat kepada kesihatan seperti cirit-birit, batu karang dan kerosakan buah pinggang.

Seperti yang telah ditetapkan dalam PKDK 1984, produk kosmetik hanya boleh diiklankan bagi fungsi-fungsi yang menepati takrifan kosmetik. Penjual tidak dibenarkan sama sekali membuat dakwaan-dakwaan kesihatan, seperti dapat mengubati jerawat, membakar lemak atau menggalakkan pertumbuhan sel rambut.

Tindakan pembatalan notifikasi akan dikenakan terhadap pengeluar produk kosmetik yang gagal mematuhi keperluan garis panduan dan undang-undang. Pengilang produk kosmetik yang gagal ujian makmal NPRA pula akan diarahkan membuat panggil balik produk daripada pasaran dalam tempoh yang ditetapkan dan seterusnya melupuskan produk kosmetik tersebut.

Panduan untuk pengguna

Sebelum membeli sesuatu produk kosmetik, pengguna digalakkan menyemak status notifikasi produk tersebut melalui fungsi Carian Produk (Product Search) di laman web NPRA iaitu http://www.npra.gov.my. Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar NPRA Product Status.

Gambar menunjukkan aplikasi telefon pintar NPRA Product Status. Sumber: Google Play

Selain itu, maklumat pada label produk kosmetik perlu diteliti semasa memilih sesuatu produk kosmetik. Setiap produk kosmetik bernotifikasi perlu dilabelkan dengan nama, fungsi, cara penggunaan, senarai bahan yang terdapat dalam produk, nama dan alamat syarikat, tarikh pengilangan atau tarikh luput dan nombor kelompok.

Pengguna perlu mengelak daripada membeli produk kosmetik daripada premis yang meragukan di kaki lima atau pasar malam serta penjual dalam internet.

Usah terpengaruh dengan tuntutan palsu yang sering dijanjikan oleh penjual seperti kesan perubahan ketara dalam jangka masa singkat. Pengguna perlu tahu bahawa produk kosmetik kebiasaannya memerlukan masa untuk menunjukkan kesan.

Pengguna yang mengalami kesan sampingan selepas menggunakan produk kosmetik disaran untuk membuat aduan kepada pihak NPRA bagi siasatan lanjut. Aduan juga boleh disalurkan kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) melalui laman web https://moh.spab.gov.my/.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga jam 5 petang).

Rujukan

Disunting oleh Ismatul Nisak

MENGENAI PENGARANG

Ketua Penolong Pengarah Kanan di Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) | mawardizakaria@gmail.com | + ARTIKEL TERDAHULU

Beliau memiliki Sarjana Muda, Sarjana dalam Ijazah Sarjana Muda Farmasi, Ijazah Sarjana Penguatkuasaan Undang-undang. Kini, beliau berkerja sebagai Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

One thought on “Pilih Kosmetik Bernotifikasi (Bahagian 2)”

  1. Pingback: Pilih Kosmetik Bernotifikasi (Bahagian 1) – Angkasfera
  2. Trackback: Pilih Kosmetik Bernotifikasi (Bahagian 1) – Angkasfera

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

sixteen − eight =