Cencurut (shrews) merupakan haiwan mamalia daratan kecil bermuncung panjang, berbulu hitam, kelabu atau coklat gelap. Badannya berbentuk silinder, mata kecil, telinga bulat, berekor panjang diselaputi rambut halus dan berjari lima. Oleh kerana cencurut mempunyai mata kecil dan penglihatan yang kabur, maka deria bau melalui muncungnya yang panjang amat peka terhadap persekitaran, terutamanya untuk mengesan sumber makanan. Makanan utama cencurut adalah cacing tanah dan serangga seperti cengkerik, belalang, kumbang dan ulat kecil. Selain itu, terdapat spesies tertentu mempunyai air liur yang dianggap beracun, namun kebenarannya masih dikaji. Cencurut menghasilkan bau busuk dari kelenjar yang terletak di bahagian bawah badan untuk menghalang dari ancaman musuh.
Cencurut mudah dijumpai pada waktu senja dan awal pagi. Haiwan ini sering berkeliaran di kawasan berdekatan dengan tempat tinggal atau aktiviti manusia seperti di parit, salur paip, lubang-lubang kecil, di kedai makan dan tapak pelupusan. Selain itu, sesetengah spesies cencurut juga wujud di kawasan hutan. Kehadiran haiwan ini mudah dikenal pasti melalui decitan yang sangat nyaring dan bising seperti gemerincing duit syiling sehingga masyarakat di China menggelarkannya cencurut duit (money shrew). Bunyi decitan yang dihasilkan oleh haiwan ini mempunyai pelbagai tujuan, misalnya sebagai salah satu cara berkomunikasi, memberi petanda kecemasan, interaksi antara ibu cencurut dengan anaknya dan untuk pertahanan diri.
Masyarakat umum di Malaysia sukar membezakan antara cencurut, tikus dan tupai. Secara saintifik, cencurut tergolong dalam kelas Eulipotyphla, manakala tupai dan tikus adalah dikategorikan dalam kelas Rodentia. Pelbagai gelaran diberikan seperti tikus curut, tikus mondok, tikus kasturi, munggis dan bermacam-macam lagi. Salah satu persamaan cencurut dengan tikus ialah haiwan ini dibenci oleh penduduk tempatan kerana dianggap haiwan perosak.
Di Malaysia, cencurut terbahagi kepada dua subfamili iaitu cencurut bergigi putih (Crocidurinae) dan cencurut bergigi merah (Soricinae). Cencurut bergigi putih yang wujud di penempatan manusia dan di hutan adalah terdiri daripada tujuh spesies iaitu Suncus murinus (Asian house shrew), S. malayanus (Malayan pygmy shrew), Crocidura fuliginosa (Southeast Asian shrew), C. malayana (Malayan shrew), C. negligens (Peninsular shrew), C. foetida (Borneo shrew), C. monticola (Sunda shrew) dan C. neglecta (Neglected shrew).

Cencurut yang sering berkeliaran di kawasan perumahan, Suncus murinus.
Spesies yang biasa dan mudah dijumpai di Malaysia adalah cencurut rumah, S. murinus. Saiznya adalah yang paling besar dalam kalangan cencurut yang direkodkan di Malaysia iaitu berukuran 15 sentimeter dari muncung ke hujung ekor dengan berat 100 gram. Sebaliknya dengan anggaran ukuran saiz 6.7 sentimeter seberat 2 gram, cencurut terkecil di dunia juga ada direkodkan di Malaysia iaitu S. malayanus. Dahulunya, cencurut S. estrucus (Estrucan shrew) merupakan spesies tunggal yang tersebar di seluruh dunia termasuk Malaysia. Namun, kajian terkini di Malaysia telah mengasingkan S. malayanus daripada S. estrucus melalui pengecaman genetik, walaupun saiz fizikalnya hampir serupa.

Cencurut saiz terkecil, Suncus malayanus.
Cencurut bergigi merah pula terdiri daripada cencurut air. Lebih unik, haiwan ini adalah separa-akuatik yang boleh beradaptasi di dalam air untuk menangkap ikan dan krustasea seperti udang, ketam dan kerang sebagai sumber makanan utamanya. Cencurut air tergolong dalam subfamili Soricinae kerana terdapat pengumpulan zat besi berwarna merah keperangan di lapisan luar enamel. Dua spesies cencurut air yang endemik di Malaysia adalah Chimarrogale hantu (Malayan water shrew) dan C. phaeura (Bornean water shrew). Chimarrogale hantu hanya direkodkan di Semenanjung Malaysia manakala C. phaeura di Borneo. Cencurut air mempunyai keunikan ciri-ciri luarannya tersendiri. Telinganya tidak bercuping, terlindung di sebalik bulunya yang tebal serta kalis air dan mempunyai jari berselaput (webbed feet) seperti itik yang membantu si mamalia kecil ini untuk berenang. Cencurut air kebiasaannya tinggal di kawasan hutan yang mempunyai punca air seperti sungai.

Chimarrogale hantu: cencurut separa-akuatik dan pandai berenang.
Disunting oleh Adib Yusof