Sediakan Payung Sebelum Hujan

Sejak kebelakangan ini, kita sering sahaja diminta untuk mengisi maklumat diri jika kita tidak memiliki aplikasi MySejahtera. Jika gagal untuk berbuat demikian, kita tidak akan dibenarkan untuk memasuki sesebuah premis. Hal ini adalah sangat baik bagi mengekang pandemik COVID-19 yang telah memasuki gelombang ketiga ini.

Bukan itu sahaja, ketika artikel ini ditulis, hampir semua negeri di Malaysia kecuali Pahang, Kelantan dan Perlis telah diarah oleh pihak kerajaan untuk menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri masing-masing. Hal ini membuatkan pengisian maklumat diri ini lebih penting kerana memudahkan pihak berkuasa mengesan mereka yang telah mengunjungi premis-premis perniagaan ini jika terdapat laporan mengenai penularan wabak di kawasan-kawasan tersebut.

Selain itu, melalui pelaksanaan PKPB ini, pihak kerajaan juga menggalakkan rakyat untuk membeli makanan secara bawa pulang, pandu lalu dan penghantaran terus ke rumah. Ketiga-tiga pilihan ini adalah berkesan bagi memutuskan rantaian kebolehjangkitan virus.

Saranan ini sedikit sebanyak memajukan sektor yang menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan yang dinyatakan di atas. Ia juga membantu pekerja-pekerja yang kehilangan pekerjaan pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu untuk meneruskan kehidupan mereka. Salah satu pekerjaan yang mampu membantu golongan ini adalah dengan menjadi seorang penghantar makanan atau barangan.

Malangnya, jika sebelum ini mereka risau kerana hilang pekerjaan, kini mula timbul kegusaran yang lain pula iaitu mengenai keselamatan maklumat peribadi. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, dalam tempoh pandemik ini, telah menjadi satu kewajipan untuk mengisi maklumat diri pada buku rekod atau melalui pengimbasan kod menggunakan aplikasi MySejahtera. Ketika itu, butiran yang diminta hanyalah nombor telefon dan suhu badan sahaja.

Gambar menunjukkan pelanggan mengisi maklumat diri sebelum memasuki premis. Sumber: TheStar

Namun kini, mereka perlu merekodkan butiran tambahan jika ingin memasuki kawasan perumahan atau kediaman yang mempunyai pengawalan yang ketat. Butiran-butiran ini termasuklah pengimbasan kad pengenalan diri atau lesen memandu, nombor kad pengenalan diri, nombor kenderaan, nama dan nombor telefon bimbit. Hal ini secara tidak langsung telah mendedahkan mereka yang bekerja sebagai penghantar ini kepada risiko kebocoran maklumat.

Bagaimana kebocoran maklumat boleh berlaku? Maklumat peribadi disimpan dalam pangkalan data syarikat keselamatan. Namun, apakah jaminan yang memastikan keselamatan butiran ini tidak akan tersebar atau dijual kepada pihak lain? Selain itu, kebocoran maklumat disebabkan oleh pengawal keselamatan juga boleh berlaku sama ada secara sengaja atau tidak. Antara punca insiden sebegini adalah kecuaian pihak majikan dalam memastikan para pengawal keselamatan mematuhi prosedur operasi piawai serta memiliki latar belakang yang telah disahkan. Hal ini sangat membimbangkan kerana dikhuatiri akan membawa kepada berlakunya masalah kecurian dan penipuan identiti.

Apakah yang dimaksudkan dengan kecurian dan penipuan identiti? Menurut syarikat Credit Tip-Off Service (CTOS), kecurian identiti dan penipuan identiti adalah dua istilah yang digunakan untuk merujuk kepada semua jenis jenayah yang mana seseorang memperolehi maklumat orang lain dan menyalahgunakannya. Data peribadi yang kerap dicuri adalah nombor kad kredit dan debit serta maklumat mengenai akaun bank, polisi insurans dan rekod perubatan.

Perkara ini sangat bahaya kerana pencuri maklumat ini boleh menjalankan sebarang kes-kes yang serius menggunakan identiti yang dicuri ini untuk keganasan, imigrasi haram dan juga pancingan data (phishing). Bukan itu sahaja, jika maklumat yang diperoleh itu mencukupi, pencuri mampu berpura-pura sebagai entiti sah seterusnya boleh mendapatkan perlindungan insurans perubatan mangsa.

Oleh itu, perkara ini sangatlah membimbangkan. Semoga artikel ini dapat menyedarkan mereka yang tidak tahu mengenai hal ini. Penulis juga berharap akan ada tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa bagi mengekang masalah ini dari menjadi lebih memudaratkan.

Rujukan:

Disunting oleh Mira Ashikin

MENGENAI PENGARANG

Beliau memiliki sijil dalam bidang politik, perniagaan dan ekonomi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

two + 3 =