Plastik Punca Haiwan Liar Terancam

Malaysia terkenal dengan keunikan biokepelbagaian (biodiversity) serta keindahan flora dan fauna. Kedudukan Malaysia yang terletak di garisan Khatulistiwa mewujudkan sistem hutan hujan tropika yang menghijau sepanjang tahun. Namun kemegahan biokepelbagaian tersebut tidak mampu menutupi realiti sebenar spesies hidupan liar terancam di Malaysia. Orang utan (Pongo spp.), tapir (Acrocodia indica), gajah pygmy Borneo (Elephas maximus borneensis), badak sumbu Sumatera (Dicerorhinus sumatrensis), harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) dan penyu belimbing (Dermochelys coriacea) merupakan antara spesies yang direkodkan terancam. Penggunaan plastik dikatakan punca utama hidupan liar ini diancam kepupusan. Saban tahun, banyak hidupan laut mati akibat termakan plastik. Anggaran 100,000 spesis, 70 peratus daripada bilangan itu adalah terdiri daripada burung laut dan manakala 30 peratus pula adalah spesies penyu. Pernyataan ini menjadi lebih kukuh lagi apabila butiran plastik telah dijumpai di dalam usus haiwan-haiwan tersebut setelah bedah siasat dilakukan.

Seekor burung ditemui mati dengan keadaan usus dan perutnya dipenuhi oleh bahan plastik . Sumber: cdn-2.tstatic.net

Plastik adalah polimer yang digunakan secara meluas di seluruh dunia. Hal demikian membuktikan bahawa penggunaan plastik dalam kehidupan seharian adalah sangat dominan. Tambahan lagi, Tan Sri Dato’ Seri Panglima Dr. Lee Lam Thye yang merupakan ahli politik Malaysia merangkap aktivis masyarakat telah menyatakan bahawa Persatuan Pengilang Plastik Malaysia mengeluarkan statistik, secara purata kira-kira 300 beg plastik dibuang oleh rakyat Malaysia pada setiap tahun. Sikap manusia yang suka membuang sisa pepejal ke dalam sungai dan di merata kawasan bukan sahaja boleh menyebabkan timbunan bahan plastik, malah mempamerkan sikap tidak bertanggungjawab serta mementingkan diri sendiri.

Timbunan sampah akibat daripada sikap masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri. Sumber: archive.sinarharian.com.my

Jadi, dalam hal ini, ibu bapa perlu memupuk perasaan cinta akan alam sekitar dalam diri anak-anak mereka sejak dari kecil lagi. Bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Sebagai contoh, ibu bapa perlu mengajar anak-anak untuk melakukan aktiviti kitar semula barangan, secara tidak langsung melalui aktiviti ini, anak-anak akan lebih peka terhadap isu yang melanda alam sekitar dan sentiasa berusaha untuk memelihara kemapanan alam semula jadi. Manakala, di peringkat global, untuk membangkitkan kesedaran akan pentingnya penjagaan alam sekeliling ini, pihak berkuasa, badan-badan kerajaan atau bukan kerajaan dan persatuan yang terlibat telah menganjurkan kempen dan ceramah seperti Kempen Pengumpulan E-waste dan Kempen Cintailah Sungai Kita. Selain itu, banyak risalah dan majalah yang berkaitan dengan alam sekitar turut diterbitkan.

Seekor penyu ingin memakan cawan polisterina yang terapung di lautan. Sumber: ohmedia.my

Dalam pada itu, majoriti kes hidupan liar yang mati disebabkan oleh plastik ini berpunca daripada kegagalan fungsi sistem pencernaan dan pernafasan. Sesetengah mamalia laut seperti paus dan penyu beranggapan bahawa plastik yang terapung di permukaan air itu adalah makanan. Sebagai akibatnya, plastik yang dimakan itu tidak dapat dicerna dan bertukar menjadi mikroplastik di dalam badan mamalia tersebut. Tambahan pula, plastik adalah bahan sintetik yang mengambil masa lebih kurang 500 tahun untuk proses biodegradasi kerana mengandungi bahan kimia seperti Phthalates, Bisphenol A (BPA) dan Polybrominated. Bahan-bahan ini kebanyakannya ditemui di dalam perut ikan dan mamalia yang mati akibat termakan plastik. Buktinya, pada tahun 2016, seekor ikan paus spesies Sei (Balaenoptera Borealis) dijumpai mati di muara Sungai Sarang Buaya, Batu Pahat, Johor. Hasil bedah siasat dan ujian histopatologi oleh unit penyelidik serta pakar Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) telah menjumpai cebisan plastik dalam usus dan perut paus tersebut.

Seekor paus yang dijumpai mati akibat termakan plastik di muara Sungai Sarang Buaya, Batu Pahat, Johor. Sumber: bharian.com.my

Manakala, pada tahun 2018, artikel Metro melaporkan bahawa seorang pengkaji dari Belanda telah menyatakan sebanyak 30 kepingan plastik telah ditemui di dalam perut serta usus seekor burung camar di Laut Utara (North Sea), Eropah. Bagi menyelesaikan kerunsingan mengenai penggunaan plastik ini, beberapa langkah proaktif telah diambil. Pertama sekali, program ‘tiada beg plastik percuma’. Sekiranya anda pergi ke pasar raya, anda pasti tidak akan mendapat beg plastik untuk membungkus barangan yang dibeli. Sebaliknya, anda dikenakan bayaran sebanyak 20 sen untuk setiap beg plastik pada hari tersebut. Walau bagaimanapun, kempen ini kurang mendapat sambutan daripada masyarakat Malaysia bahkan mereka lebih rela membayar 20 sen kerana ingin menggunakan beg plastik. Buktinya, rekod hasil kutipan wang daripada caj penggunaan beg plastik ialah RM8 juta hingga RM9 juta pada tahun 2019. Selain itu, Hari Alam Sekitar Sedunia juga turut di sambut setiap tahun pada 5 Jun dengan tema yang berlainan bertujuan untuk membangkitkan kesedaran kepada semua lapisan masyarakat berkaitan kepentingan penjagaan alam sekitar. Lain-lain inisiatif adalah seperti memperkenalkan prinsip 5R (Reduce, Reuse, Recycle, Replace, Replant), dan melancarkan kempen ‘Say No to Straws ‘.

Antara contoh beberapa kempen yang dijalankan untuk membangkitkan rasa cinta akan alam sekitar dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sumber: sinarharian.com.my

Akhir sekali, kepupusan hidupan liar telah mempamerkan budaya atau sikap segelintir masyarakat yang tidak cakna terhadap alam sekitar, serta menjadi kayu ukur terhadap mentaliti, moraliti serta kesedaran sivik penduduk di sesebuah negara. Manusia yang bertamadun adalah yang sering berusaha untuk memperbaiki kelemahan diri. Oleh itu, wajarlah kita sama-sama menyayangi alam sekitar, ekologi serta biokepelbagaiannnya kerana semua itu merupakan khazanah negara serta kurniaan Tuhan yang dipinjamkan dari generasi akan datang. Masyarakat perlu berganding bahu bagi mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah penggunaan plastik ini agar tidak terus menjadi faktor utama kepupusan hidupan liar. Persoalannya, benarkah penelitian Yayasan Ellen MacArthur yang meramalkan bahawa menjelang tahun 2050, jumlah berat plastik di lautan akan melebihi bilangan ikan pada masa ini? Jawapannya, benar jika manusia tidak mahu mengubah sikap mereka.

Rujukan

  • https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2016/02/127086/plastik-punca-paus-mati
  • https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2019/07/580104/dunia-makin-tenggelam-dek-sampah-plastik
  • https://www.astroawani.com/berita-dunia/lagi-ikan-paus-mati-selepas-telan-29kg-plastik-172714
  • https://www.sinarharian.com.my/article/108570/BISNES/Kempen-e-waste-jadi-teras-utama
  • https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2019/04/554359/caj-20-sen-beg-plastik-beri-mesej-salah
  • https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2018/06/434140/pencemaran-plastik-ancam-hidupan-laut
  • https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/01/517644/tangani-isu-beg-plastik-dengan-serius
  • https://www.hmetro.com.my/sihat/2018/12/399888/bahaya-plastik-terhadap-kehidupan
  • https://www.astroawani.com/foto-malaysia/ikan-paus-seberat-15-tan-ditemui-mati-di-pesisir-pantai-sarang-buaya-3461/ikan-paus-spesis-sei-36125
  • https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/06/346500/haramkan-penggunaan-plastik-metrotv

Disunting oleh Johari Talib

 

MENGENAI PENGARANG

Merupakan pelajar tahun dua dalam program Ekologi Biodiversiti, Fakulti Sains, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Minat untuk belajar sesuatu perkara yang baharu dan berhasrat untuk menyambung pelajaran sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang yang berkaitan dengan Sains (Biologi). Bercita-cita ingin menjadi seorang pensyarah serta mempunyai impian untuk berbakti kepada bangsa sendiri (Orang Asli) sekali gus menjadi contoh teladan kepada mereka untuk terus menceburi dan melangkah maju dalam pelbagai bidang khsususnya pendidikan.

zaiti_1978@um.edu.my + ARTIKEL TERDAHULU

Beliau kini bertugas sebagai pensyarah kanan di Institut Sains Biologi , Fakulti Sains, Universiti Malaya, Kuala Lumpur dan mengajar dalam program Ekologi Biodiversiti. Kajian serta pengajaran beliau adalah lebih memfokuskan kepada sistematik dan evolusi molekul terhadap mamalia kecil di Asia Tenggara. Selain itu, beliau juga mempunyai minat yang mendalam terhadap kajian ke atas haiwan dari aspek genetik, ekologi,taksonomi, interaksi , dan biogeografi. Beliau telah berkolaborasi dengan beberapa industri seperti PERHILITAN dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dalam membuat kajian di samping mempunyai hubungan yang luas dan kukuh bersama pusat-pusat penyelidikan, muzium dan universiti antarabangsa.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

20 + eleven =