Apa yang Berlaku Setelah Kematian Bintang?

Kematian adalah suatu perkara yang pasti bagi setiap kehidupan dan ini juga berlaku kepada bintang. Bintang akan dilahirkan, membesar sehingga ia menjadi dewasa dan matang kemudian secara beransur-ansur memudar dan akhirnya mati. Bintang mati kerana kehabisan bahan bakar nuklear dan menyebabkannya menjadi tidak stabil. Perkara yang bakal berlaku di akhir kehidupan bintang adalah bergantung kepada jisimnya.

Secara amnya, semakin besar bintang, semakin pendek jangka hayatnya. Ini kerana bintang tersebut akan membakar bahan bakarnya dengan lebih cepat. Bintang yang paling besar akan terbakar dan mengalami letupan supernova setelah beberapa juta tahun melakukan proses pelakuran. Jika dibandingkan dengan bintang yang mempunyai jisim seperti matahari ia dapat terus melakurkan hidrogen selama kira-kira 10 bilion tahun. Sekiranya jisim bintang hanya 1/10 daripada jisim matahari, bintang tersebut dapat melakurkan hidrogen hingga satu trilion tahun.

Apabila bintang kehabisan hidrogen, bintang akan mengembang dan seterusnya menjadi gergasi merah. Setelah gergasi merah menyejuk, mengecut dan terasnya runtuh, ia akan menjadi bintang kecil yang dikenali sebagai kerdil putih. Kerdil putih diseliputi oleh gas yang berkembang dikenali sebagai planet nebula. Sampai masa, kerdil putih akan menjadi pudar, tetapi masih boleh bersinar selama berbilion tahun. Daripada kerdil putih, ia akan bertukar menjadi kerdil hitam. Belum ada kerdil hitam yang dapat dilihat kerana kerdil putih memerlukan masa yang lebih lama untuk memudar berbanding hayat seluruh alam ini.

Manakala, bintang dengan jisim yang jauh lebih rendah daripada matahari akan beransur hilang. Setelah kehabisan hidrogen, bintang tersebut tidak dapat menggunakan helium untuk meneruskan tindak balas kerana ianya tidak cukup besar. Bintang tersebut akan terus malap dan seterusnya menjadi sejuk.

Supernova

Sebahagian bintang mati secara dahsyat dan sukar dikawal disebabkan oleh letupan gergasi. Bintang yang mempunyai jisim lapan kali ganda atau lebih daripada matahari akan mengembang ketika bintang tersebut membakar semua hidrogen, helium dan unsur-unsur lain sebagai bahan bakarnya. Teras bintang akan runtuh dengan sendirinya. Kebanyakan bintang tersebut akan mengalami letupan yang amat besar yang dikenali sebagai supernova.

Bintang neutron

Sebilangan bintang meletup meninggalkan bintang neutron. Semasa lapisan luar bintang meletup, ia akan meninggalkan teras yang sangat berat. Graviti akan menarik unsur-unsur yang berada disekeliling bintang dan juga terasnya sediri. Ini menjadikan bintang tersebut sangat kecil dan padat. Graviti bintang neutron adalah berbilion kali ganda lebih kuat berbanding graviti yang ada di bumi. Berat 1 sudu teh bintang neutron dianggarkan lebih daripada 1 juta tan. Manakala, bintang neutron yang garis pusatnya sekitar 20-25 km mempunyai dua kali ganda jisim matahari.

Lohong hitam

Lohong hitam terbentuk dari kematian bintang yang besar. Contohnya, bintang yang telah melalui letupan supernova. Dalam beberapa kes, setelah lapisan teras bintang runtuh, titik padat akan terbentuk di angkasa lepas. Ini dikenali sebagai lohong hitam. Selain itu, kematian bintang besar juga boleh mencetuskan kelahiran bintang baharu yang lain.

Kesimpulannya, alam semesta ini adalah unik. Kelahiran dan kematian bintang pasti berlaku dan ia bergantung kepada situasi dan percaturan alam. Sebenarnya, bila dan bagaimana percaturan alam itu masih menjadi misteri sehingga hari ini.

Gambar menunjukkan kelahiran dan kematian bintang yang berlainan saiz. Sumber: NASA

Rujukan

Disunting oleh Ismatul Nisak

MENGENAI PENGARANG

sitiamira@uthm.edu.my + ARTIKEL TERDAHULU

Pensyarah di Jabatan Fizik dan Kimia, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

13 − 2 =