Pengurusan Risiko Menghadapi Bencana Alam

Bencana alam mempunyai satu signifikan yang penting kerana kesannya yang mendalam terhadap komuniti dan masyarakat di seluruh dunia. Bencana alam seperti gempa bumi, taufan, banjir, tsunami, kebakaran hutan dan lain-lain boleh mendatangkan kesan buruk pada pelbagai peringkat termasuk kehilangan nyawa, kesan kesihatan dan kerugian ekonomi. Bencana alam ini juga boleh menyebabkan kerosakan alam sekitar yang teruk termasuk penebangan hutan, hakisan tanah dan pencemaran yang boleh membawa kesan ekologi jangka panjang kepada sesebuah negara itu.

Memandangkan sifat bencana alam yang berulang berlaku di Malaysia, pengurusan risiko bencana yang berkesan adalah penting. Dengan memahami kepentingan bencana alam ini dan kesannya yang meluas, masyarakat dan kerajaan perlu berusaha ke arah mengurangkan risiko kemudaratan, meningkatkan kesiapsiagaan dan melaksanakan langkah tindak balas yang tepat pada masanya untuk meminimumkan kemusnahan yang disebabkan oleh bencana alam.

Bencana alam seperti gempa bumi, taufan, banjir, tsunami, kebakaran hutan dan lain-lain boleh mendatangkan kesan buruk pada pelbagai peringkat termasuk kehilangan nyawa, kesan kesihatan dan kerugian ekonomi. Sumber: www.sinarharian.com.my

Pengurusan risiko dikenal pasti sebagai satu proses sistematik untuk mengenal pasti, menilai dan mengurangkan potensi risiko untuk meminimumkan kesan buruknya terhadap individu, organisasi atau komuniti. Ia melibatkan mengenal pasti potensi bahaya, menilai kemungkinan dan akibat yang berpotensi dan melaksanakan langkah untuk mengurangkan atau menghapuskan kesan negatifnya. Dalam konteks bencana alam, pengurusan risiko memainkan peranan penting dalam kesediaan dan tindak balas bencana untuk melindungi nyawa, harta benda dan alam sekitar.

Justeru, dalam pengurusan risiko yang efektif, memahami konteks bencana alam terlebih dahulu adalah penting sebelum merancang strategi meminimumkan risiko. Sebagai contoh, banjir yang kerap terjadi di kawasan-kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Banjir berlaku apabila sesuatu kawasan mengalami limpahan air ke atas tanah yang biasanya kering. Ia boleh disebabkan oleh hujan lebat, paras air laut meningkat, lonjakan ribut atau kegagalan struktur pembendungan air seperti empangan. Maka banjir tadi memberi impak kepada rumah, perniagaan dan tanah pertanian sekitar. Ia boleh menyebabkan perubahan struktur muka bumi, mengganggu pengangkutan dan komunikasi, mencemarkan sumber air dan mengakibatkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda dan kerugian ekonomi. Ini boleh dikatakan bahawa banjir boleh berlaku disebabkan gabungan faktor semula jadi dan berkaitan manusia.

Memahami faktor penyumbang ini adalah penting untuk pengurusan risiko banjir yang berkesan. Jadi, dalam usaha mengurangkan risiko banjir adalah penting untuk menangani kedua-dua faktor semula jadi dan berkaitan manusia melalui pengurusan data banjir yang komprehensif, infrastruktur yang dipertingkatkan, perancangan guna tanah, sistem amaran awal dan pendidikan masyarakat. Gabungan langkah-langkah ini boleh membantu meminimumkan kejadian dan keterukan banjir dan meningkatkan daya tahan banjir secara keseluruhan.

Kesimpulannya, pengurusan risiko yang efektif adalah asas kepada daya tahan bencana, membolehkan masyarakat menghadapi bencana alam dengan lebih bersedia dan mengurangkan kerentanan. Komuniti boleh membina dunia yang lebih selamat dan mampan yang dapat menahan cabaran yang ditimbulkan oleh bencana alam dengan melabur dalam pengurusan risiko yang proaktif. Usaha kolaboratif, penyelesaian inovatif dan kesedaran awam juga penting penting dalam membentuk masa depan yang mampu berdiri teguh dan berdaya tahan.

Disunting oleh Fatin Irdina

MENGENAI PENGARANG

Pensyarah di Kolej Universiti Islam Melaka | + ARTIKEL TERDAHULU

Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Risiko) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM). Kini beliau berkhidmat sebagai Pensyarah Kewangan di Kolej Universiti Islam Melaka.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

10 + three =