Agama Islam meletakkan nilai yang sangat tinggi terhadap pendidikan yang menjadi saluran penting dalam membina ketamadunan yang berilmu, berakhlak dan mampu meneroka dunia. Bagi membina sebuah bangsa yang bertamadun dan berkeupayaan menyelusuri arus kemodenan tanpa membuang nilai-nilai yang perlu ada dalam sesuatu bangsa, maka pendidikan yang bersifat menyeluruh itu teramatlah penting.
Sungguhpun begitu, apalah erti ketamadunan jika nilai pendidikan masyarakat itu sendiri semakin rendah dan kepentingannya semakin terhakis dek desakan arus kemodenan dunia yang memandang wang itu adalah segala-galanya dan kecelikan tentang pengurusan wang yang berhemah semakin terhapus. Seperti yang diketahui, wang merupakan satu alat yang digunakan bagi transaksi kewangan dalam sistem jual beli pada hari ini. Manusia dan wang tidak dapat dipisahkan malah ia menjadi senjata utama dalam membina atau merobohkan sesebuah ketamadunan itu.
Oleh itu, pendidikan pengurusan kewangan berhemah perlu diterapkan dalam masyarakat dari awal lagi bermula dari kecil. Hal ini adalah kerana pendidikan kewangan termasuk juga sebagai salah satu pendidikan tentang ilmu kehidupan yang sememangnya elemen penting dalam mencorakkan masa depan individu itu. Ini selari hasil dapatan daripada Jabatan Insolvensi Malaysia (2021) yang mana melaporkan sebanyak 790 kes kebankrapan sehingga Oktober 2021 yang mana dalam kalangan golongan belia yang berumur antara 25 hingga 34 tahun dan 1881 kes melibatkan golongan berumur 35 hingga 44 tahun. Sudah tentu banyak faktor yang menjadi penyumbang kepada kes kebankrapan ini. Walau bagaimanapun, statistik ini menunjukkan satu penunjuk yang tidak baik kepada negara dalam melahirkan generasi yang bukan sahaja berkepimpinan dan berketrampilan tetapi rasional dalam tindak tanduk yang dilakukan.
Justeru, dapat dilihat keperluan golongan muda seperti kanak-kanak untuk didedahkan tentang ilmu asas kewangan seperti perbezaan kemahuan dan kehendak sangat utama untuk diterapkan. Apabila pelajar berkembang menjadi dewasa, mereka perlu membuat keputusan yang lebih besar untuk kerjaya mereka, hidup berdikari, menyediakan belanjawan dan membuat pilihan kewangan yang bijak untuk kehidupan seharian. Mereka perlu mengurus risiko, merancang dan bersedia untuk menghadapi ‘hari hujan’, mengelakkan hutang yang tidak terurus dan melabur untuk matlamat masa depan mereka. Jika pendidikan kewangan yang berhemah ini tidak diterapkan daripada awal lagi maka bakal menjadi satu cabaran kepada mereka apabila dewasa nanti.
Satu kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang belajar mengurus wang semasa mereka kecil akan dapat mengendalikan kewangan mereka dengan lebih baik semasa dewasa. Ini jelas menunjukkan kepentingan pendidikan kewangan berhemah perlu diajar dan diterapkan dalam diri setiap individu bermula dari kecil. Tidak dinafikan, terdapat pihak yang tertanya-tanya kaedah untuk menarik minat kanak-kanak untuk mempelajari pengurusan kewangan yang kelihatan sangat berat untuk difahami oleh mereka apalagi untuk diajar di sekolah yang ternyata banyak ilmu lain sedang dipelajari.
Di sini, mungkin boleh dilihat kaedah yang sesuai dilaksanakan secara santai yang lebih dekat dengan jiwa kanak-kanak sebagai contoh buku kartun atau buku komik yang mana pengisiannya dipenuhi maklumat pendidikan kewangan yang asas yang perlu mereka fahami terlebih dahulu. Konsep simpanan, dana kecemasan, dan perbezaan keperluan dan kehendak secara asasnya disampaikan kepada kanak-kanak supaya mereka faham dalam membuat keputusan perbelanjaan walaupun hanya perbelanjaan harian ke sekolah.
Walau bagaimanapun, pendidikan kewangan peribadi secara khusus tidak terdapat dalam kurikulum pembelajaran awal di sekolah dan ini bergantung kepada ibu bapa mereka untuk mengajar pengurusan wang yang betul kepada anak-anak mereka. Justeru, ini mengakibatkan para pelajar berhadapan kemahiran pengurusan kewangan peribadi yang lemah untuk jangka masa panjang.
Dengan didikan awal dalam pengurusan kewangan, ini sedikit sebanyak membantu mereka untuk celik kewangan yang mana salah satu kemahiran hidup yang perlu ada supaya dapat menyesuaikan diri dengan dunia yang cepat berubah dan berdaya saing.
Rujukan
- http://www.mdi.gov.my/index.php/ms/perundangan/kebankrapan/1828-statistik-kebankrapan-2021
- https://www.oecd.org/finance/financial-education/FinEdSchool_web.pdf
- https://www.financialcapability.gov.au/files/financial-education-for-youth-the-role-of-schools.pdf
- https://publications.iadb.org/publications/english/document/The_Impact_of_Financial_Education_for_Youth_en.pdf
Disunting oleh Adib Yusof
MENGENAI PENGARANG
Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Risiko) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM). Kini beliau berkhidmat sebagai Pensyarah Kewangan di Kolej Universiti Islam Melaka.