Limpahan Hidrokarbon di Bumi Mauritius

Perdana Menteri Mauritius, Pravind Jugnauth mengisytiharkan darurat alam sekitar dan meminta bantuan segera antarabangsa setelah vesel luar pesisir (vessel offshore) bocor lalu menyebabkan tumpahan minyak di laut.

Kapal MV Wakashio yang menyebabkan tumpahan minyak di Mauritius. Permukaan laut yang berwarna hitam menunjukkan minyak yang sudah terserak. Sumber www.theguardian.com

Pada 25 Julai yang lalu, kapal MV Wakashio milik Jepun telah terkandas di kawasan terumbu karang yang dikenali Pointe d’Esny di Lautan Hindi. Kapal tersebut dipercayai membawa lebih dari 4,000 tan bahan api berat (heavy fuel), minyak pelincir dan diesel. Kira-kira 800 hingga 1,200 tan minyak dipercayai tumpah di lautan. Hal ini mencetuskan krisis ekologi yang sangat membimbangkan.

Kru penyelamat telah bertindak mengepam keluar baki 3,000 tan minyak dari kapal tersebut. Namun, keadaan bertambah teruk apabila pada 15 Ogos, kapal MV Wakashio tersebut dilaporkan terbelah dua dan menyebabkan lebih banyak minyak terserak. Pembersihan kawasan yang terlibat turut dibantu oleh sukarelawan tempatan.

Kesan daripada tumpahan minyak yang berlaku, Mauritius yang sememangnya sebuah negara tumpuan pelancong, telah terjejas. Banyak hidupan laut terkesan dengan kejadian yang berlaku termasuk simpanan semula jadi Ile aux Aigrettes dan Taman Laut Blue Bay yang mana merupakan tanah bencah pantai (wetland) yang dikenali dengan kepelbagaian batu karang dan spesis ikan serta penyu hijau (green turtles) yang terancam.

Bagaimana tumpahan minyak ini boleh membahayakan hidupan laut? Apa langkah-langkah yang boleh diambil sekiranya kejadian ini berlaku?

Minyak dari kapal adalah dalam kategori bahan api berat. Minyak bahan api berat (heavy fuel oil) ini terdiri daripada hidrokarbon, sebatian heterosiklik dan sedikit logam berat. Minyak yang tumpah di lautan boleh terserak di lapisan permukaan air (littoral zone). Manakala minyak yang tidak terserak akan tenggelam di dasar lautan yang mana ia adalah kawasan terumbu karang. Tumpahan minyak boleh membahayakan hidupan laut secara dalaman atau luaran. Hidrokarbon mempunyai sifat yang meruap (volatile), jadi, penyedutan (inhalation) hidrokarbon ini akan menyebabkan kerengsaan (irritation) pada saluran pernafasan serta narkosis kepada hidupan laut. Memandangkan minyak bersifat terapung, ia boleh menjejaskan hidupan seperti memerang laut dan burung laut sekiranya berlaku sentuhan dengan permukaan air laut.

Kapal MV Wakashio yang terbelah dua. Sumber www.marineinsight.com

Terdapat beberapa cara untuk membersihkan tumpahan minyak di lautan. Antaranya adalah menggunakan bum minyak (oil boom). Bum digunakan untuk mengelakkan minyak di permukaan laut daripada tersebar dengan jauh. Kemudian, minyak yang disekat oleh bum akan disedut oleh alat pemeres (skimmer). Selain itu, bahan penyerak (dispersants) juga boleh digunakan untuk mengurai minyak (biodegradation) dengan cepat. Tetapi kaedah ini tidak digalakkan kerana ia adalah bahan kimia yang mana turut memberi kesan buruk yang lain kepada hidupan.

Kesimpulannya, laut adalah sumber makanan dan sumber ekonomi buat manusia. Sekiranya kejadian tumpahan minyak ini tidak dikawal dengan baik, kesannya bukan sahaja melibatkan hidupan laut bahkan turut memberi kesan yang buruk kepada manusia dan ekonomi negara.

Rujukan

  • www.theguardian.com/world/2020/aug/16/experts-and-volunteers-scramble-to-save-mauritiuss-wildlife-after-oil-spill
  • www.bbc.com/news/world-africa-53702877
  • www.intechopen.com/books/emerging-pollutants-in-the-environment-current-and-further-implications/impact-of-oil-spills-on-marine-life
  • www.scienceabc.com/eyeopeners/how-are-oil-spills-cleaned-up.html

Disunting oleh Johari Talib

MENGENAI PENGARANG

Penyunting di Angkasfera | ismatulnisak.idrus@gmail.com | + ARTIKEL TERDAHULU

Beliau merupakan pelajar sarjana dalam bidang sains angkasa dengan pengkhususan aplikasi metabahan dalam teknologi angkasa. Beliau menganggap bahawa suatu ilmu yang tidak dikongsi pasti akan tenggelam rugi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

5 × 4 =