Astrofotografi – Angkasa dan Seni

Astrofotografi (astrophotography) merupakan suatu kaedah yang mengaplikasikan teknik fotografi dalam menghasilkan imej-imej objek angkasa. Objek angkasa yang dimaksudkan ialah objek-objek di langit seperti bulan, Matahari, planet-planet, bintang-bintang dan juga galaksi. Mencerap objek angkasa ini tidaklah semudah mengambil gambar di sekeliling kita; pencet punat kamera lalu terhasillah gambar. Kepakaran fotografi yang khusus diperlukan untuk menghasilkan imej objek angkasa yang berkualiti.

Objek-objek angkasa yang kita selalu lihat pada malam hari merupakan objek yang malap kerana cahaya yang sampai ke mata kita berada pada jumlah yang sedikit. Tidak percaya? Cuba keluar rumah dan perhatikan langit malam. Kita tidak dapat melihat bintang dengan jelas untuk seketika sebelum mata kita dapat menyesuaikan dengan keadaan yang gelap; selepas itu, baharulah bintang-bintang tersebut boleh dilihat. Cahaya yang malap ini menyukarkan pencerapan objek angkasa.

Sebelum kamera digital tercipta, ahli astronomi mencerap objek langit dengan pelbagai kaedah yang khusus. Antaranya ialah kaedah daguerotaip (daguerreotype) yang diperkenalkan oleh seorang jurugambar dari Perancis yang bernama Louis-Jacques-Mandé Daguerre. Kaedah ini dilakukan dengan mendedahkan plat tembaga bersalut argentum iodida kepada sumber cahaya lalu imej terhasil selepas melalui satu tindak balas kimia yang menggunakan merkuri dan larutan garam. Imej bulan pertama telah dihasilkan pada tahun 1840 menggunakan teknik ini.

Foto bulan pertama oleh Dr. J. W. Draper pada tahun 1840 menggunakan teknik daguerreotaip. Sumber: time.com

Sebelum kamera digital tercipta, proses mencerap imej objek angkasa adalah sangat sukar dan memerlukan kefahaman yang mendalam berkaitan teknik tersebut. Kini, proses mencerap menjadi lebih mudah dan tidak memerlukan teknik yang sukar. Setiap orang yang mempunyai kamera dan mempunyai asas penggunaan kamera pasti boleh mengambil gambar objek angkasa.

Teknik asas dalam astrofotografi ialah teknik yang dipanggil sebagai dedahan lama (long exposure). Teknik ini ialah teknik fotografi yang mana sensor kamera akan didedahkan kepada sumber cahaya untuk suatu tempoh yang lama. Objek-objek yang malap seperti objek angkasa adalah objek yang sesuai untuk diaplikasikan teknik ini. Sensor kamera akan didedahkan kepada objek angkasa pada satu tempoh supaya cahaya yang dikumpulkan adalah mencukupi untuk menghasilkan imej tersebut.

Bagi mengawal jumlah cahaya dalam gambar, terdapat beberapa tetapan kamera yang perlu dilaraskan. Ia merangkumi tiga perkara utama iaitu ISO, kelajuan pengatup (shutter speed) dan apertur (aperture).

ISO ialah tetapan yang menentukan kadar kepekaan sensor kamera terhadap cahaya. Semakin tinggi ISO, semakin sensitif sensor kamera terhadap cahaya.

Perbandingan antara imej yang berbeza ISO. Sumber: aws.amazon.com

Kelajuan pengatup adalah tetapan yang menentukan berapa pantas apertur dibuka untuk membenarkan cahaya masuk. Semakin perlahan kelajuan pengatup, semakin banyak cahaya yang masuk ke dalam kamera.

Perbandingan antara imej yang berbeza kelajuan pengatup. Sumber: bhphotovideo.com

Apertur pula adalah tetapan yang menentukan saiz bukaan lensa yang membenarkan cahaya masuk. Semakin besar bukaan, semakin banyak cahaya boleh masuk.

Perbandingan antara imej yang diambil dengan bukaan yang berbeza. Sumber: photographylife.com

Ketiga-tiga tetapan ini adalah perkara yang paling asas dalam astrofotografi. Sekiranya kita boleh mengawal tetapan ini dengan baik, maka kualiti imej yang diambil juga adalah lebih baik. Bagi memahirkan diri dalam astrofotografi, saya jadikan ia sebagai hobi dan pengalaman yang diperoleh sepanjang berkecimpung dalam bidang ini adalah sesuatu yang sangat bernilai.

Foto Buruj Belantik yang telah diambil oleh penulis

Rujukan

Disunting oleh Mira Ashikin

MENGENAI PENGARANG

+ ARTIKEL TERDAHULU

Seorang pelajar jurusan fizik di Universiti Malaya.

One thought on “Astrofotografi – Angkasa dan Seni”

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

12 − seven =