Ilmu sains merupakan sebuah cabang ilmu yang telah mempengaruhi kemajuan manusia sekian lama. Tahukah anda sebenarnya kita dikelilingi oleh konsep fizik? Pernahkah anda terfikir bagaimana sesuatu objek boleh terapung di atas permukaan air? Bagaimana sebuah feri atau kapal layar tidak tenggelam di dalam air? Fenomena yang berlaku ini menyebabkan sesuatu objek tersebut boleh terapung umpama tikar Aladdin.
Konsep fizik yang terpakai dalam menerangkan objek yang terapung ini adalah prinsip Archimedes. Prinsip ini menyatakan bahawa daya apungan yang dikenakan pada sesuatu objek yang direndam separuh atau sepenuhnya dalam bendalir, adalah sama dengan berat bendalir yang telah disesarkan oleh sesuatu objek itu.
Selain itu, konsep ini juga berhubung kait dengan daya apungan (bouyancy force) iaitu sesuatu daya ke atas (upward force) yang dikenakan oleh bendalir bertentang dengan berat objek yang tenggelam separa atau sepenuhnya di dalam bendalir. Contohnya pembinaan rakit buluh.

Daya-daya yang bertindak ke atas rakit.
Pernahkah anda terfikir sekiranya dilanda musibah banjir, bagaimanakah cara hendak menyelamatkan diri agar tidak lemas? Apakah barang di sekeliling anda yang boleh digunakan untuk menyelamatkan diri?
Melalui pemahaman yang mampan dalam konsep fizik ini, ia dapat memudahkan kita untuk menghadapi musibah seperti banjir. Contohnya, rakit boleh dibina sebagai salah satu cara untuk menyelamatkan diri. Diinspirasikan oleh seorang lelaki yang berasal dari Fiji, rakit tersebut boleh dihasilkan dengan menggunakan bahan buangan seperti botol sahaja.

Contoh rakit yang dihasilkan daripada botol. Sumber: www.flickr.com
Kesimpulannya, kehidupan kita ini sangat menarik kerana dikelilingi oleh pelbagai konsep fizik yang boleh kita terokai. Sekiranya kita ingin mencari sesuatu kelainan, tidak salah jika mencuba melakukan uji kaji dalam kehidupan agar ia berguna dan dapat membantu kita di saat genting terutamanya ketika berlaku bencana alam. Contohilah pembinaan rakit dengan menggunakan botol plastik yang berkonsepkan prinsip Archimedes dan daya apungan agar dapat terapung umpama tikar Aladdin!
Rujukan
Disunting Oleh Mustaqim Azman
MENGENAI PENGARANG
Beliau mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Pendidikan Fizik, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains (Fizik) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Kini bekerja sebagai pensyarah di Melaka International College of Science and Technology (MiCoST).