Sejak sekian lama, fosil dinosaur sering ditemui di negara-negara jiran seperti Thailand dan Laos. Namun, tahukah anda Malaysia juga mungkin menyimpan misteri serupa yang belum terungkap?
Kita bukan sahaja mempunyai hutan simpan antara yang terbesar di dunia, malah mungkin juga terdapat jejak-jejak dinosaur yang kini tersembunyi dalam tanah Malaysia. Mari kita tumpukan perhatian kepada negeri Pahang dan Kelantan. Anda mungkin pernah berjalan-jalan di sekitar Taman Negara Pahang. Tahukah anda bahawa tanah yang anda pijak tersebut juga pernah menjadi taman permainan kepada dinosaur?
Terdapat taburan batu-batuan dari zaman Jura (Jurassic) hingga zaman Kapur (Cretaceous) yang meliputi tanah pedalaman Pahang dan Hulu Kelantan. Zaman Jura merupakan satu tempoh masa antara 201.4 juta tahun hingga 145 juta tahun dahulu manakala zaman Kapur pula merupakan satu tempoh masa antara 145 juta tahun hingga 66 juta tahun dahulu.
Hal ini bermakna, kawasan ini mungkin menjadi habitat dinosaur dan haiwan-haiwan prasejarah yang lain berjuta tahun yang lalu. Siapa sangka bahawa tanah air kita begitu kaya dengan sejarah purba yang menunggu masa sahaja untuk dibongkarkan?
Sekarang, mari kita masuk ke dalam dunia Paleontologi iaitu bidang kajian fosil haiwan purba di Malaysia. Bidang ini masih berkembang dan memerlukan lebih ramai pakar. Kita memerlukan lebih banyak saintis yang genius dan teliti untuk mengkaji jejak-jejak lama yang tersembunyi dalam batuan purba di Malaysia.
Pada Februari 2014, pasukan penyelidik yang dipimpin oleh Prof. Madya Dr Masatoshi Sone dari Universiti Malaya telah menjumpai gigi Spinosaurid, spesies karnivor pemakan daging yang pertama di pedalaman Pahang. Peristiwa ini merupakan penemuan pertama fosil dinosaur di Malaysia sekaligus menjadi bukti bahawa Malaysia juga pernah didiami oleh haiwan purba tersebut.

Ilustrasi menggambarkan rupa dinosaur Spinosaurid haiwan karnivor. Sumber: Britannica.com
Bukan hanya itu, November 2014 turut membawa berita gembira yang lain. Kali ini, pasukan penyelidik yang sama menemukan fosil gigi spesies Ornithiscian dari kategori haiwan herbivor pemakan tumbuhan di lokasi yang tidak jauh dari penemuan pertama tadi.
Di sekitar Sungai Cicir, Gunung Gagau, Tasik Kenyir, para penyelidik dari Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dan Jabatan Mineral & Geosains Malaysia menjumpai gigi dinosaur spesies Iguanodon. Iguanodon merupakan dinosaur dari kategori herbivor pemakan tumbuhan. Bukan itu sahaja, jejak-jejak kaki dan tulang-tulang Sauropod turut ditemui.

Ilustrasi menggambarkan saiz dinosaur Sauropod jika dibandingkan dengan manusia. Sumber: Britannica.com
Sauropod, antara dinosaur yang popular dalam filem Jurassic Park ini merupakan dinosaur herbivor bersaiz besar sekitar 15 hingga 21 meter panjang. Pada Ogos 2020, penyelidik dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menemui fosil keempat Malaysia di Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan. Di situ, beberapa tapak kaki Sauropod ditemui.

Kronologi penemuan fosil dinosaur di Malaysia
Kisah penemuan fosil-fosil dinosaur di Malaysia merupakan bukti bahawa kajian saintifik di Malaysia bertaraf antarabangsa. Setiap tapak yang ditemui adalah seperti petunjuk dalam teka-teki besar zaman prasejarah. Malah kajian ini masih berterusan. Pakar-pakar dan saintis akan terus menggali lebih dalam, merungkai lebih banyak misteri dan membantu kita memahami kehidupan di zaman lampau melalui kajian sangat menarik ini.
Rujukan:
- https://www.britannica.com/animal/sauropod
- https://www.astroawani.com/berita-malaysia/fosil-dinosaur-berusia-hingga-65-juta-tahun-ditemui-di-hulu-terengganu-48500
- https://www.mrjazlan.com/2023/08/dinosaur-pertama-di-malaysia.html
- https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/08/721529/7-fosil-tapak-kaki-dinosour-ditemui-di-bukit-panau
Disunting oleh Mira Ashikin
MENGENAI PENGARANG
Beliau merupakan graduan ijazah sarjana muda dalam bidang Geologi di Universiti Malaya.