Ubat-ubatan Intubasi

Intubasi ialah prosedur yang dilakukan oleh pasukan perubatan terlatih ke atas pesakit apabila sistem pernafasan pesakit tidak dapat berfungsi dengan sempurna atau pesakit tidak boleh bernafas sendiri tanpa bantuan. Intubasi juga dilakukan sebelum pembedahan bagi mengelakkan sebarang komplikasi semasa pembedahan dijalankan. Semasa intubasi, doktor akan memasukkan tiub endotrakeal melalui mulut ataupun hidung ke dalam kerongkong. Tiub tersebut seterusnya disambungkan ke mesin ventilator yang mendorong udara ke dalam paru-paru untuk mengekalkan oksigen dan karbon dioksida pada paras bacaan yang normal.

Contoh gambar intubasi. Sumber https://www.healthline.com.

Apabila tiub endotrakeal dimasukkan ke dalam tekak, terdapat tindak balas badan yang dipanggil gag-reflex seperti batuk, tersedak atau muntah. Bagi menghalang gag-reflex terjadi, ubat sedatif dan ubat pelalian otot (neuromuscular blocker) diperlukan untuk menidurkan pesakit sebagai langkah mengurangkan risiko kecederaan semasa melakukan prosedur intubasi.

Ubat sedatif yang biasa digunakan semasa prosedur intubasi termasuklah etomidate, ketamin dan propofol. Ubat sedatif ini berfungsi dengan mengubah suai isyarat dalam sistem saraf pusat dan seterusnya menidurkan pesakit. Etomidate merupakan antara ubat sedatif yang paling kerap digunakan disebabkan kesannya yang cepat. Etomidate dapat memberikan kesan sedatif dalam tempoh 30 hingga 60 saat selepas diberikan kepada pesakit. Selain itu, etomidate ialah ubat sedatif pilihan bagi pesakit yang mempunyai tekanan darah rendah.

Ketamin pula ialah ubat sedatif yang turut memberi kesan melegakan sakit. Kesan sedatif ketamin dapat dirasai dalam tempoh satu hingga dua minit selepas diberikan. Bagi pesakit asma yang teruk, ketamin merupakan ubat sedatif pilihan disebabkan kesan pengembangan salur pernafasan (bronchodilation). Namun begitu, penggunaan ubat sedatif ini boleh mengakibatkan beberapa kesan sampingan seperti mual, pening dan sakit kepala.

Selain etomidate dan ketamin, ubat propofol juga sering digunakan sebagai sedatif. Ubat ini berkesan dalam tempoh yang agak singkat, iaitu sembilan hingga 50 saat selepas diberikan kepada pesakit. Sifatnya yang dapat mengurangkan tekanan dalam otak menyebabkan propofol sesuai diberikan kepada pesakit yang mengalami kecederaan otak atau sawan.

Berbeza daripada ubat sedatif, ubat pelali otot pula bertindak cepat dengan mengendurkan otot-otot pernafasan utama seperti diafragma agar prosedur intubasi dapat dilakukan dengan lancar. Antara ubat pelali otot yang biasa digunakan ialah rocuronium, vecuronium dan cisatracurium.

Dari segi tempoh kesan masa ubat-ubat ini bertindak selepas diberikan, rocuronium mula memberikan kesan dalam tempoh satu hingga dua minit manakala cisatracurium menunjukkan kesan dalam tempoh dua hingga tiga minit. Vecuronium pula bertindak selepas dua minit 30 saat.

Antara kesan sampingan ubat pelali otot termasuklah penghasilan air liur yang banyak, perubahan degupan jantung, sakit otot dan ruam. Walau bagaimanapun, semua kesan sampingan ini selalunya adalah ringan dan bersifat sementara. Pemilihan ubat adalah bergantung kepada penilaian klinikal oleh doktor yang merawat. Doktor akan memilih ubat yang paling sesuai untuk setiap pesakit sebelum menjalankan prosedur intubasi.

Kesimpulannya, prosedur intubasi dilakukan bagi melindungi saluran pernafasan dan mengekalkan tahap oksigen yang cukup di dalam badan pesakit. Ubat-ubatan yang digunakan semasa proses intubasi berperanan besar untuk memastikan proses ini berjalan lancar tanpa sebarang komplikasi. Penggunaan dengan kawalan dan pemantauan anggota perubatan profesional dapat meningkatkan kesan yang diingini dan mengurangkan risiko kesan sampingan terjadi.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, 8.00 pagi hingga 5.00 petang kecuali cuti umum).

Rujukan

  • Usha Avva; Julie M. Lata; John Kiel. Airway Management. May 2022. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK470403/
  • Mayo Clinic. Matthew JR. Endotracheal Intubation Procedures. Mayo Clinic Critical and Neurocritical Care Board Review. Chapter 115. P49.July 2019.
  • Namratta KG; Hariharan R. Intubation Endotracheal Tube Medications. National Library of Medicine. 2021 August 15.
  • Emergency airway management. (2021). http://www.rch.org.au/clinicalguide/guideline_index/Emergency_airway_management/
  • Jennifer Whitlock. What is intubation and Why is it needed? 2022 July 18. The Verywell Health Medical Expert Board Reviewed Article
  •  Russotto, V., et al. (2021). Intubation practices and adverse peri-intubation events in critically ill patients from 29 countries.
    https://jamanetwork.com/journals/jama/fullarticle/2777715

Disunting oleh Johari Talib

MENGENAI PENGARANG

Pegawai Farmasi di Hospital Seri Manjung

Chiam Zye Wei bertugas sebagai pegawai farmasi di Wad Perubatan, Hospital Seri Manjung, Perak dan kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Farmasi Klinikal di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

3 × 4 =