Anda masih hidup pada hari ini mungkin kerana pengamalan budaya keselamatan dan penjagaan kesihatan yang mungkin telah anda lakukan secara sedar atau tidak sedar selama ini. Berasa selamat dan sihat merupakan antara elemen terpenting yang akan menyumbang kepada motivasi individu untuk melakukan sesuatu. Perkara ini telah dijelaskan dalam teori hierarki keperluan yang dikemukakan oleh Abraham Maslow pada tahun 1943. Malahan, mengikut hierarki tersebut juga, keperluan keselamatan serta kesihatan merupakan peringkat kedua tertinggi yang mesti dipenuhi terlebih dahulu sebelum elemen lain dicapai. Dalam erti kata lain, keperluan keselamatan dan kesihatan merupakan perkara asas dalam kehidupan setiap individu.
Tahukah anda juga bahawa persekitaran tempat kerja yang selamat dan sihat juga termasuk dalam hak anda sebagai individu? Dan tahukah anda juga akan kewujudan undang-undang yang membantu mempertahankan hak tersebut? Keselamatan dan kesihatan persekitaran tempat kerja atau keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di negara ini terjamin dengan kewujudan undang-undang yang telah dikuatkuasakan bermula 25 Februari 1994 yang dikenali sebagai Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994.
Keperluan bagi menjaga serta menguruskan aspek KKP dalam bidang pekerjaan yang ada di Malaysia merupakan perkara signifikan yang perlu diberikan perhatian oleh semua majikan di setiap organisasi pekerjaan. Hal ini adalah selaras dengan keperluan dalam pematuhan AKKP 1994. Dalam akta ini terdapat peruntukan tentang kewajipan bagi tiap-tiap majikan serta orang yang bekerja sendiri selagi mana yang mampu untuk dipraktikkan iaitu memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua pekerja serta mana-mana individu yang berada di tempat kerja adalah terjamin. Selain itu, kewajipan terhadap pengurusan dalam KKP juga termasuk dalam kewajipan para pekerja serta pihak pereka bentuk, pengilang serta pembekal bahan di tempat kerja.
Kewajipan-kewajipan tersebut adalah selaras dengan falsafah pembentukan AKKP 1994 sendiri yang telah mendukung konsep yang dikeluarkan oleh satu jawatankuasa yang diketuai oleh Alfred Robens pada tahun 1972 iaitu tanggungjawab terhadap pengurusan KKP adalah terletak kepada pihak yang mewujudkan risiko serta pihak yang bekerja dengan risiko tersebut.
Pihak yang mewujudkan risiko dalam konteks pekerjaan ini merupakan pihak pengurusan organisasi iaitu para majikan serta pihak yang diberi mandat secara langsung atau tidak langsung bagi menjayakan perniagaan serta operasi organisasi pekerjaan tersebut. Bagi takrifan pihak yang bekerja dengan risiko pula merujuk kepada pihak pekerja sendiri kerana tanpa sikap prihatin serta pengaturan kendiri yang diamalkan sesama pekerja, maka tempat kerja adalah lebih terdedah dengan bahaya serta kejadian kemalangan dan penyakit pekerjaan.
Jadi, ketahuilah bahawa aspek KKP adalah tanggungjawab bersama disamping keperluan bagi semua pihak untuk sentiasa prihatin dengan persekitaran tempat kerja bagi bersama mempertahankan hak masing-masing untuk bekerja dalam keadaan yang selamat dan sihat sebelum memulakan apa-apa tugasan kerja.
Rujukan
- www.academia.edu
- https://www.dosh.gov.my/index.php/ms/perundangan/acts-legislation/3773-akta-keselamatan-dan-kesihatan-pekerjaan-1994-akta-514/file
- http://www.mineaccidents.com.au/uploads/robens-report-original.pdf
Disunting oleh Mira Ashikin
MENGENAI PENGARANG
Pengarang mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran. Kini beliau bertugas sebagai Pensyarah di Melaka International College of Science and Technology (MiCoST).