Merawat Gejala Jangkitan COVID-19 di Rumah

COVID-19 ialah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh koronavirus atau virus SARS-COV-2. Gejala COVID-19 yang biasa dialami adalah seperti demam, kesejukan, menggigil, sakit badan, sakit kepala, sakit tekak, loya atau muntah, cirit birit, keletihan, selesema atau hidung tersumbat, batuk, sesak nafas, hilang deria bau, dan hilang deria rasa. Secara umumnya, penyakit ini dikategorikan kepada 5 tahap berdasarkan kriteria berikut:

  • Tahap pertama: Pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala.
  • Tahap kedua: Pesakit bergejala ringan dan tiada radang paru-paru.
  • Tahap ketiga: Pesakit bergejala dan mengalami radang paru-paru.
  • Tahap keempat: Pesakit bergejala, mengalami radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen.
  • Tahap kelima: Bergejala kritikal dan memerlukan rawatan intensif di unit rawatan rapi (Intensive Care Unit: ICU).

5 tahap jangkitan Covid-19. Tahap 1 dan tahap 2 boleh dirawat secara kendiri di rumah.

Individu yang dijangkiti COVID-19 perlu mengambil tahu akan gejala yang dialami. Sekiranya mengalami gejala seperti demam berpanjangan, kelesuan bertambah teruk, sukar untuk bernafas, sakit dada, bibir atau jari kebiruan, tidak boleh mengambil makanan atau minuman melalui mulut, kencing berkurangan, batuk, muntah, dan cirit yang semakin teruk, pesakit dinasihatkan untuk segera ke unit kecemasan bagi mendapatkan rawatan.

Pesakit yang mendapat jangkitan COVID-19 tahap pertama dan kedua dinasihatkan untuk memantau kesihatan diri menerusi Alat Penilaian Kesihatan (Health Assessment Tool (HAT)) yang boleh didapati melalui aplikasi MySejahtera. Beberapa soalan penilaian kesihatan perlu dijawab setiap hari sepanjang tempoh kuarantin kendiri di kediaman masing-masing.

Terdapat juga beberapa peranti perubatan yang boleh digunakan untuk memantau tahap kesihatan di rumah. Peranti perubatan yang dibeli hendaklah mendapat kelulusan dari Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (Medical Device Authority (MDA)) Malaysia bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan peranti tersebut terjamin. Antara alat peranti perubatan yang dicadangkan untuk kegunaan sendiri di rumah ialah kit uji kendiri COVID-19 bagi tujuan saringan awal COVID-19, mesin pemeriksaan tekanan darah untuk mengukur bacaan tekanan darah (pulse oximeter) untuk mengukur nadi dan paras oksigen dalam badan dan termometer untuk mengukur suhu badan.

Gambar hiasan.

Terdapat beberapa ubat yang boleh digunakan bagi merawat gejala-gejala COVID-19 di rumah. Ubat – ubatan ini boleh didapati di klinik dan premis farmasi setelah mendapatkan nasihat dari doktor dan ahli farmasi. Ubat paracetamol boleh digunakan untuk menurunkan suhu badan, melegakan demam dan sebagai ubat tahan sakit. Ubat ini boleh didapati dalam bentuk tablet, sirap dan supositori. Paracetamol boleh diberikan kepada bayi, ibu mengandung, ibu yang menyusukan anak dan warga emas.

Selain itu, terdapat juga ubat antihistamin untuk melegakan batuk dan selesema yang berada dalam pasaran seperti diphenhydramine, chlorpheniramine, pseudoephedrine, fexofenadine, dan desloratadine. Ubat-ubatan ini boleh diperoleh daripada klinik atau farmasi komuniti. Pemberian ubat antihistamin ini perlulah mengikut kesesuaian umur. Ubat batuk dan selesema tersebut tidak sesuai untuk diberikan kepada kanak-kanak berusia bawah 2 tahun. Walau bagaimanapun, terdapat pilihan lain yang boleh diberikan kepada kanak-kanak bawah 2 tahun seperti bromhexine yang bertindak untuk mencairkan kahak.

Sekiranya individu yang dijangkiti COVID-19 mengalami mual atau muntah, ubat metoclopramide boleh diambil bagi melegakan gejala mual, muntah, mabuk dan pening kepala. Ubat diphenoxylate atau atropine juga boleh digunakan untuk melegakan sakit perut dan cirit birit. Sakit tekak pula boleh dilegakan oleh lozeng yang mengandungi antiseptik seperti amylmetacresol atau alkohol dichlorobenzyl.

Ubat nirmatrelvir dan ritonavir juga digunakan sebagai rawatan COVID-19 untuk pesakit-pesakit yang memenuhi kriteria tertentu dengan kelulusan pakar perubatan keluarga dan pegawai perubatan bertauliah. Ubat ini hanya digunakan untuk pesakit berusia 18 tahun ke atas, dijangkiti COVID-19 tahap ringan hingga sederhana dan jangkitan COVID-19 yang dialaminya berisiko tinggi untuk menyebabkan kemasukan ke hospital atau kematian. Pesakit yang memenuhi kriteria tersebut boleh menjalani kuarantin kendiri di rumah dengan rawatan nirmatrelvir dan ritonavir.

Walaupun negara kita sudah berada dalam fasa peralihan endemik, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perlu diteruskan seperti pemakaian pelitup muka di tempat-tempat tertentu, penjarakan fizikal, elakkan tempat yang sempit dan sesak, sentiasa amalkan cuci tangan, amalkan etika batuk dan selesema, jaga kebersihan diri serta lakukan sanitasi secara berkala. Rawatan perubatan dan langkah-langkah ini tidak menggantikan manfaat vaksinasi bagi mencegah penularan jangkitan COVID-19 kerana mencegah itu lebih baik daripada merawat.

Sekiranya terdapat sebarang soalan berkaitan ubat-ubatan, anda boleh hubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre: NPCC) di talian 1800-88-6722, Isnin hingga rumaat, dari 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum.

Disunting oleh Fatin Irdina

MENGENAI PENGARANG

Pegawai Farmasi di Klinik Kesihatan Air Tawar 2

Pengarang memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Farmasi. Kini beliau berkhidmat sebagai Pegawai Farmasi di Klinik Kesihatan Air Tawar 2, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi, Johor.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

eight + twelve =