Tindak Balas Fetus Terhadap Bau dan Rasa

Sekumpulan pasukan penyelidik dari Universiti Durham, United Kingdom telah membuktikan bahawa bayi mampu menunjukkan tindak balas kepada bau dan rasa yang berbeza ketika berada di dalam rahim. Kajian ini melihat serta mengukur reaksi dan ekspresi muka bayi-bayi yang terlibat.

Makmal Penyelidikan Fetus Neonatal Durham (Durham’s Fetal Neonatal Research Lab) yang mengetuai kajian ini telah memberi kapsul lobak merah atau kobis daun kepada 100 wanita mengandung, sebelum menjalankan imbasan ultrabunyi 4D (4D ultrasound scans) terhadap mereka. Imbasan yang direkodkan membolehkan pasukan penyelidik mencerap reaksi fetus-fetus terbabit.

Secara amnya, kajian ini mengelaskan bentuk tindak balas muka fetus kepada dua, iaitu “muka-tertawa” (laughter-face) dan “muka-tangisan” (crying-face). Fetus yang terdedah dengan perasa lobak merah menunjukkan “muka-tertawa” dengan lebih kerap, manakala fetus yang terdedah dengan perasa kobis daun menunjukkan “muka-tangisan” dengan lebih kerap. Pendedahan kepada salah satu perasa dalam kadar yang sedikit sudah cukup untuk membuatkan fetus menunjukkan tindak balas.

Manusia menikmati perasa melalui campuran deria rasa dan bau. Untuk fetus pula, proses ini berlaku dengan menyedut dan menelan cecair amnion di dalam rahim.

Data ini merupakan kesinambungan daripada penyelidikan terdahulu yang menyokong kemampuan deria bayi untuk merasa dan menghidu di dalam rahim. Walau bagaimanapun, bukti kajian terdahulu diperoleh daripada bayi yang telah lahir (post-birth outcomes), manakala penyelidikan terkini memberikan bukti sebelum kelahiran yang merupakan kajian pertama kali seumpamanya.

Kajian ini dijangka meluaskan pemahaman dalam pembentukan deria serta saraf rasa dan bau manusia. Para penyelidik juga beranggapan bahawa diet pemakanan wanita mengandung mampu mempengaruhi kehendak makan bayi selepas dilahirkan, sekali gus berpotensi dalam penerapan tabiat pemakanan secara sihat dalam generasi akan datang. Tambahan pula, kajian lanjutan telah mula dijalankan terhadap bayi-bayi tersebut untuk mengukur penerimaan mereka kepada makanan yang berbeza selepas dilahirkan.

Kajian seumpama ini menyokong pemerkasaan awal diet makanan seimbang yang sihat dalam kalangan bayi dan kanak-kanak. Sumber gambar hiasan: pixabay.com.

Dapatan kajian ini ternyata memberi manfaat kepada semua umat manusia di seluruh dunia termasuk Malaysia. Seiring dengan pendekatan Kementerian Kesihatan Malaysia yang ingin menangani isu pemakanan kanak-kanak dan masalah bantut dalam generasi mendatang, hasil dapatan kajian ini berpotensi diguna pakai dalam melaksanakan strategi berkesan untuk mengukuhkan diet pemakanan dalam kalangan rakyat dari peringkat awal lagi. Usahasama di antara semua pihak wajar diperkasakan agar pemakanan sihat untuk bayi, kanak-kanak, dan remaja tidak terabai.

Nota pengarang

Artikel ini diterjemah dan diolah daripada artikel ‘Fetuses React to Taste and Smell in the Womb‘.

Rujukan

Disunting oleh Ismatul Nisak

MENGENAI PENGARANG

shakir.yusop@gmail.com + ARTIKEL TERDAHULU

Shakir memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi) daripada Durham University, UK. Pernah berkhidmat sebagai penyelidik sambilan di Fakulti Sains & Teknologi, UKM membantu dalam aspek pencirian bahan elastin dari poltri. Kini merupakan seorang pembantu penyelidik siswazah di INBIOSIS, UKM.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

19 − 2 =