E-Dagang: Cabaran dalam Kalangan Usahawan Luar Bandar

Covid-19 yang melanda bukan sahaja negara kita malahan seluruh dunia sejak tahun 2019 telah memaksa para usahawan untuk berganjak ke medan digital dan seterusnya mengaplikasikan penggunaan e-dagang secara hampir menyeluruh. Walaupun ia merupakan satu perubahan yang drastik, tidak dinafikan bahawa ia juga merupakan satu alternatif yang baik dari satu sudut yang lain kerana dapat memacu para usahawan untuk lebih mengadaptasikan diri mereka dengan kepentingan perniagaan secara dalam talian di era globalisasi kini. Hal ini kerana, penggunaan e-dagang dapat membantu penjualan produk mereka secara dalam talian melalui pemasaran yang lebih efektif dan global dan tidak terhad kepada pasaran tempatan semata-mata.

Namun demikian, berbanding dengan usahawan di kawasan bandar, tidak dinafikan sesetengah usahawan luar bandar masih mengharungi cabaran dalam mengadaptasikan perniagaan mereka secara dalam talian. Hal ini berlaku kerana di samping kekangan dari segi infrastruktur seperti capaian internet dan logistik, sesetengah usahawan luar bandar terutamanya dalam kalangan mereka yang berumur memerlukan bimbingan dalam penggunaan teknologi.

Contoh medium e-dagang. Sumber: www.sabreehussin.com

Salah satu dapatan dari kajian mendapati usahawan luar bandar di Sabah mengatakan bahawa mereka harus belajar menggunakan medan e-dagang daripada anak-anak mereka yang lebih mahir menggunakan teknologi. Hal ini menunjukkan bahawa adanya kesedaran dalam kepentingan penggunaan e-dagang. Namun, mereka harus dibantu agar adaptasi digital dalam kalangan usahawan luar bandar dapat dipertingkatkan. Oleh itu, pihak yang terlibat haruslah mengembleng tenaga bagi mewujudkan lebih banyak penggunaan e-dagang dalam kalangan usahawan luar bandar memandangkan ia juga merupakan salah satu elemen yang penting dalam memastikan Fokus Strategik 3 dalam Pelan Strategik Pembangunan Luar Bandar iaitu “melonjakkan daya saing usahawan luar bandar melalui ekosistem keusahawanan yang kondusif” dapat dicapai.

Sekiranya hal ini dapat dicapai, penggunaan teknologi khususnya e-dagang dapat membuka peluang yang besar dalam membantu pemasaran produk-produk yang dihasilkan oleh usahawan luar bandar seterusnya dapat menyumbang kepada ekonomi setempat. Pada akhirnya, cabaran disebabkan oleh geografi luar bandar bukan lagi merupakan satu halangan kepada usahawan luar bandar bahkan ia dapat mencipta lebih banyak peluang pekerjaan yang seterusnya dapat mengurangkan keperluan penduduk luar bandar untuk bermigrasi dari luar bandar ke bandar.

Rujukan

  • Kementerian Pembangunan Luar Bandar (2021). Pelan strategik KPLB 2021-2025. https://www.rurallink.gov.my/pengumuman-pengumuman/pelan-strategik-kplb-2021-2025/

Disunting oleh Ismatul Nisak

MENGENAI PENGARANG

Pensyarah di UiTM, Kampus Kota Kinabalu, Sabah | bibianahthomas@yahoo.com | + ARTIKEL TERDAHULU

Pengarang memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Korporat. Beliau sedang berkhidmat sebagai Pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara, Kampus Kota Kinabalu, Sabah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

12 + 3 =