Jangkitan Kutu Kepala

Kutu kepala adalah sejenis serangga atau parasit yang menghisap darah dari kulit kepala sebagai sumber nutrisi untuk terus hidup. Bertentangan dengan kepercayaan orang awam bahawa jangkitan kutu ini terjadi disebabkan kebersihan diri yang tidak dijaga, jangkitan ini sebenarnya tersebar melalui sentuhan dan perkongsian barang peribadi.

Kutu kepala adalah sejenis serangga atau parasit yang menghisap darah dari kulit kepala sebagai sumber nutrisi untuk terus hidup.

Kutu betina menghasilkan bahan melekit yang melekatkan telur pada rambut. Telur kutu ini menetas selepas 8 hingga 9 hari. Kutu yang belum matang dipanggil nimfa akan mengambil masa 3 hingga 4 minggu untuk menjadi kutu dewasa. Serangan kutu kepala menyebabkan kegatalan dan berasa seperti ada sesuatu yang merayap-rayap di kulit kepala, leher dan telinga. Selain itu, telur kutu yang berwarna putih-kuning juga dapat dilihat dengan mata kasar apabila helaian rambut diselak.

Kutu yang belum matang dipanggil nimfa akan mengambil masa 3 hingga 4 minggu untuk menjadi kutu dewasa.

Serangan kutu kepala lazimnya menular dalam kalangan kanak-kanak yang berada di pusat jagaan atau prasekolah. Mereka yang terkena jangkitan kutu ini harus mengasingkan diri dan mengambil langkah pencegahan untuk mengelakkan penularan parasit ini.

Terdapat dua jenis ubat kutu iaitu ubat am atau ubat belian kaunter (over-the-counter (OTC)) yang tidak memerlukan preskripsi dan jenis ubat terkawal yang memerlukan preskripsi doktor. Pyrethins dan permethrin adalah contoh ubat OTC yang boleh didapati di premis farmasi. Pyrethins hanya boleh membunuh kutu hidup sahaja tidak termasuk telurnya. Ubat ini selamat digunakan bagi kanak-kanak 2 tahun ke atas. Seandainya pesakit mempunyai alahan terhadap bunga kekwa, elakkan dari menggunakan ubat pyrethins kerana ubat ini adalah sebatian kimia yang diekstrak dari bunga kekwa. Permethrin pula selamat untuk digunakan bagi kanak-kanak berusia kurang 2 bulan dan boleh digunakan untuk membunuh kutu hidup dan telurnya. Rawatan kedua disyorkan selepas 9 hingga 10 hari rawatan pertama dengan pyrethins dan permethrin untuk membunuh kutu yang baru menetas.

Bagi ubat preskripsi untuk rawatan kutu, pesakit perlu berjumpa dengan doktor terlebih dahulu. Antara ubat preskripsi yang boleh digunakan adalah seperti berikut:

  • Losen benzil alkohol 5% selamat digunakan untuk bayi berusia 6 bulan ke atas dan juga warga emas namun losen ini hanya dapat membunuh kutu hidup sahaja.
  • Syampu malation 0.5% pula boleh digunakan untuk membunuh kutu hidup dan sebahagian telur kutu. Syampu ini tidak sesuai untuk digunakan oleh wanita hamil dan ibu yang menyusu. Jauhi sumber haba seperti pengering rambut semasa menggunakan produk ini kerana syampu malation adalah bahan yang mudah terbakar.
  • Losen benzena heksaklorida gama 0.1% boleh membunuh kutu hidup dan sebahagian telur kutu namun tidak boleh digunakan oleh pesakit yang mempunyai sejarah sawan.

Cara menggunakan ubat kutu

  1. Guna ubat kutu mengikut arahan yang terdapat pada kotak atau label. Gunakan mengikut kuantiti yang betul kerana ubat yang digunakan untuk merawat kutu adalah racun serangga dan boleh mendatangkan bahaya jika tidak digunakan dengan teknik yang betul atau digunakan secara berlebihan.

2. Gunakan sikat kutu bergigi halus untuk menghilangkan kutu dan telur daripada rambut selepas rawatan. Rawatan perlu diulangi selepas 8 hingga 9 hari untuk membunuh kutu yang telah menetas sejak rawatan pertama.

Gunakan sikat kutu bergigi halus untuk menghilangkan kutu dan telur daripada rambut selepas rawatan.

3. Semua ubat yang disenaraikan di atas hendaklah dijauhkan daripada mata. Jika terkena mata, harus segera dibilas.

4. Jangan menggunakan jenis ubat kutu yang berbeza pada masa yang sama melainkan diarahkan berbuat demikian oleh doktor dan ahli farmasi.

Jika pesakit mengalami tanda-tanda radang kulit seperti kemerah-merahan, bengkak, pedih, gatal-gatal dan sakit, hentikan penggunaan ubat tersebut. Dapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi untuk rawatan alternatif. Sebelum memulakan rawatan kutu kepala, pastikan pesakit memaklumkan kepada doktor tentang keadaan kesihatan atau alahan yang mungkin dialami, ubat-ubatan yang diambil, status kehamilan atau menyusu, dan sebarang informasi penting tentang kesihatan pesakit.

Penularan jangkitan kutu boleh dielakkan dengan melakukan langkah-langkah pencegahan. Kanak-kanak boleh diingatkan untuk tidak melakukan aktiviti yang melibatkan sentuhan dari kepala ke kepala. Pastikan mereka tidak berkongsi barangan peribadi seperti tudung, topi, cadar dan sarung bantal. Basuh pakaian, cadar dan sarung bantal menggunakan air panas. Barang yang tidak boleh dibasuh dengan air panas seperti mainan dan anak patung boleh disimpan di dalam plastik kedap udara selama dua minggu. Berus, sikat dan aksesori rambut juga perlu direndam dalam air panas selama 5 hingga 10 minit sebelum dikeringkan dan digunakan.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

Rujukan

  • Centre for disease control and prevention: CDC Parasite-Lice, 2019
  • Frankowski BL, Bocchini JA. “Head Lice.” Pediatrics2010; 126(2):392-403.
  • Gunning K, Pippitt K, et al. “Pediculosis and Scabies: A Treatment Update.” Am Fam Physician. 2012 Sep 15;86(6):535-41.
  • Heymann, WR. “Head lice treatments: Searching for the path of least resistance.” J Am Acad Dermatol 2009; 61(2):323-4.
  • Jones KN, English JC, “Review of Common Therapeutic Options in the United States for the Treatment of Pediculosis Capitis.” CID2003; 36(1):1355-61.
  • Ko CJ, Elston DM. “Pediculosis.” J Am Acad Dermatol2004; 50(1):1-12
  • Miteva M, Tosti A. “Hair and scalp dermatoscopy.” In Press, J Am Acad Dermatol. 2012; 67(5):1040-8.
  • S. Food and Drug Administration, “Treating Head Lice.” FDA Consumer Health Information. July 2009.1-2.
  • Roberts RJ. Clinical Practice. Head lice. N Engl J Med. 2002;346:1645-50.

Disunting oleh Fatin Irdina

MENGENAI PENGARANG

Pegawai Farmasi di Hospital Kuala Lumpur | faizatul.iman@moh.gov.my

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Farmasi. Kini berkhidmat sebagai Pegawai Farmasi di Hospital Kuala Lumpur.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

10 + 1 =