Baca Bahagian 1 dan Bahagian 2 di sini.
Terdapat pelbagai produk berasaskan herba dijual di pasaran yang mendapat permintaan yang tinggi. Produk berasaskan herba dijual di pasaran dalam tiga bentuk iaitu bahan mentah (tumbuhan segar atau tumbuhan kering), produk separa siap (ekstrak) dan produk hasilan siap (produk makanan dan produk nilai tambah lain). Pengeluaran produk farmaseutikal daripada herba terdiri daripada dua kumpulan utama iaitu ubatan herba tradisional dan ubatan farmaseutikal moden. Agensi Regulatori Farmasi Negara (National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA)) memberi definisi ubat herba sebagai ubat yang mengandungi bahan atau campuran bahan yang dihasilkan oleh pengeringan, penghancuran atau pemijian, tanpa tertakluk kepada apa-apa proses lain, suatu bahan semula jadi atau bahan-bahan asal tumbuhan, haiwan atau mineral, atau mana-mana bahagian bahan itu.
Penghasilan ubatan herba tradisional yang menggunakan semua atau bahagian tertentu tumbuhan herba diproses dalam pelbagai bentuk seperti tablet, sirap, krim, serbuk dan kapsul. Lambakan produk seperti ini senang dan banyak dipasaran terutamanya dalam talian yang menarik minat pelanggan untuk membeli. Antara produk herba yang medapat permintaan tinggi ialah produk pelangsingan badan, produk kopi herba dan produk perubatan herba lelaki. Manakala ubatan farmaseutikal moden pula menggunakan sebatian bioaktif yang terdapat di dalam herba lazimnya memberi nilai tambah paling tinggi kepada herba ubatan tetapi memerlukan teknologi dan peralatan yang canggih. Misalnya metformin yang merupakan sebatian bioaktif yang dimodifikasi dari guanidine yang ditemui dalam Galega officinalis, aspirin pula yang diubah suai dari asid salisilik yang ditemui dari pokok Willow. Selain itu, ubat kemoterapi paclitaxel sebatian bioktifnya diambil dari pokok Pacific Yew dan ubat kemoterapi vinca alkaloids dihasilkan daripada Catharanthus roseus.

Pokok Catharanthus roseus yang digunakan untuk menghasilkan ubat kemoterapi. Sumber: wikimedia.org
Pengambilan ubatan berasaskan herba ini sering dikaitkan dengan isu keselamatan penggunaan produk ini. Contohnya kesan sampingan pengambilan jangka panjang produk herba seperti kerosakan ginjal. Namun begitu bagi memastikan penggunaan herba ini selamat digunakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menggariskan tiga kriteria utama yang perlu diikuti oleh syarikat pengeluar iaitu kualiti, keselamatan dan ketosikan. Produk tersebut perlu melakukan beberapa siri ujian sebelum berjaya didaftarkan dan mempunyai nombor pendaftaran beserta label keselamatan hologram. Nombor pendaftaran yang khusus ini bermula dengan huruf ‘MAL’ diikuti lapan digit nombor pendaftaran dan diakhiri huruf ‘T’ yang bermaksud tradisional.
Satu garis panduan atau denda yang lebih berat perlu dilaksanakan oleh pihak berautoriti bagi membendung syarikat pengeluar produk berasaskan herba daripada menyalahgunakan herba dalam produk mereka. Produk atau ubatan herba juga perlu diwajibkan melakukan ujian praklinikal dan klinikal sebelum produk ini didaftarkan. Hasil penyelidikan herba yang melalui ujian praklinikal dan klinikal ini mampu melonjakkan nilai produk herba tersebut. Sebagai contoh, harga tongkat ali mentah pada harga hanya RM 2 mampu mencecah harga RM 2,800 sekilo bagi ekstrak herba tongkat ali setelah proses piawaian.
Kesimpulannya, bukti saintifik mengenai khasiat herba memberi keyakinan kepada pengguna untuk menggunakan herba tersebut. Oleh itu, kerajaan Malaysia bersama dengan pakar herba terlatih seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Pusat Teknologi Herba, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) serta para saintis perlu menjalankan kajian terhadap khasiat herba dengan lebih serius tanpa meninggalkan kesan sampingan jika digunakan dengan betul. Dengan itu, kos perubatan akan dapat dikurangkan apabila kita berjaya menghasilkan ubatan tempatan dan dapat menyaingi harga ubatan moden yang diimport dari luar negara. Penghasilan ubat berasaskan herba ini perlu dipastikan sentiasa memenuhi jaminan kualiti, keberkesanan dan keselamatan. Selain itu, industri herba negara kita mempunyai potensi besar untuk menjana ekonomi sekali gus menjadikan Malaysia sebagai salah satu negara pengeluar produk herba yang bermutu.
Di peringkat global, industri herba memberi keuntungan yang memberangsangkan menyebabkan firma farmaseutikal berlumba-lumba melakukan kajian ke atas herba bagi mengenal pasti sebatian kimia yang berpotensi untuk digunakan sebagai agen terapeutik. Pasaran perubatan herba dunia pada tahun 2016 bernilai USD 71.19 billion dan dijangka akan melonjak menjadi USD 5 trillion menjelang tahun 2050 menurut laporan Perubatan Kesihatan Sedunia (WHO). Penggunaan herba ini adalah satu usaha untuk mensyukuri dan menghargai kurniaan alam yang diberikan kepada kita. Kurniaan ini tidak patut dibazirkan sebaliknya perlu digunakan sebaiknya agar dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
Rujukan
- Abd Aziz, S. F. & Yunos, Y. (2019). Khasiat herba dalam kitab tib melayu. Akademika, 89, 151-162.
- Abd Hamid, H. (17 Febuari 2021). Penggunaan ubatan herba sebagai rawatan penyakit: manfaat atau mudarat? Dicapai pada 6 April 2021, daripada https://news.ump.edu.my
- Abd Rahman, R. & Chee, B. J. (2015). Prosiding persidangan industri herba 2015: Memperkasa jalinan industry herba kearah transformasi ekonomi, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.
- Abdul Malek, A. (27 Febuari 2019). Usaha Memanfaatkan Herba Kita. Dicapai pada 5 April 2021, daripada http://fomca.org.my.
- Alias, A. (18 Oktober 2018). Pelan industri herba akan diperkenal. Dicapai pada 14 April 2021, daripada https://www.bharian.com.my/
- Penyakit jantung iskemik kekal pembunuh nombor satu di Malaysia. (26 November 2020).Dicapai pada 5 April 2021, daripada https://www.bharian.com.my.
- Che Mat Kamel, N. S. E. (30 Jun 2019). USM peminherb bantu usahawan hasilkan minyak pati semulajadi. Dicapai pada 14 April 2021, daripada https://www.kk.usm.my.
- Herba ubatan masih berperanan penting dalam penjagaan kesihatan. (4 Febuari 2014). Dicapai pada 6 April 2021, daripada Utusan Borneo Online.
- Ismail, S., & Mohd Mokhtar, S. S. (2017). Corak pembelian produk berasaskan herba di Malaysia. International Journal of Molecular Sciences, 24(1),91-118.
- Mohd Said, S. (22 Januari 2021). Ubat, gaya hidup sihat penting bagi mengurus penyakit kronik. Dicapai pada 14 April 2021, daripada https://hpupm.upm.edu.my.
- Mohd Zaidan, M. W. A., & Othman, S. M. (2016). Potensi herba dalam merawat, mengawal dan mengurangkan penyakit diabetes. Buletin Teknologi MARDI, 10, 67 – 74.
- Osman, C. P. (20 Mei 2019). Ubatan moden dari tumbuhan. Dicapai pada 14 April 2021, daripada http://www.drcheputeh.com.
- Pin, C. H. (2013). Produk makanan berasaskan herba dan keperluan jaminan. Buletin Teknologi MARDI, 3, 79-86.
- Potensi dan nilai ekonomi pasaran herba. (3 Januari 2014). Dicapai pada 14 April 2021, daripada Blog rasmi MARDI.
- Rozano, L., Abdullah Zawawi, M. R., & Jaganath, I. B. (2016). Daripada tumbuhan kepada ubatan: aplikasi kemoinformatik dalam mengeksploitasi potensi tumbuhan bagi rawatan penyakit. Buletin Teknologi MARDI,9,21 – 29.
- Rusli, N. N., Kiat, C. J., & Ismail, I. (2017). Penjanaan kultur akar adventitius daripada Andrographis paniculata serta analisis profil metabolit. Undergraduate Research Journal for Biomolecular Sciences and Biotechnology, 1, 190-199.
- Samsudin, N. L. (27 Januari 2019). Bijak pilih ubat tradisional. Dicapai pada 14 April 2021, daripada https://www.hmetro.com.my/
- Sulaiman, N. A. Jumlah pesakit diabetes meningkat ketara. Dicapai pada 14 April 2021, daripada https://www.bharian.com.my/
- Zainal Abidin, Z., Mohamad, W. N. & Samadi, M. (2016). Pengoptimuman proses pengekstrakan klorofil daripada Gynura procumbens. Malaysian Journal of Analytical Sciences, 20 (6), 1421 – 1428.
Disunting oleh Ismatul Nisak
MENGENAI PENGARANG
Beliau memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Bioteknologi. Kini berkhidmat sebagai Pegawai Latihan Vokasional di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).